Tiada keghairahan baru di Kelantan: Nik Amar jawab Dr Agus
August 10, 2013
"Dalam 100 hari nak bina bangunan pun takkan boleh siap," kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengulas mengenai dakwaan Prof Dr Agus Yusof menyatakan kerajaan negeri tidak melakukan perubahan selepas Pilihan Raya 13 lalu.
Beliau yang membidas kenyataan Prof Dr Agus itu menyifatkan andaian yang dibuat itu hanya ditafsirkan secara semborono dan rambang.
Tambah beliau sekiranya benar kerajaan negeri kering idea untuk melaksanakan perubahan bagi rakyatnya maka tidak wujudlah pengumuman Menteri Besar yang akan melaksanakan pembinaan rumah mampu milik pada bulan Mei lalu.
Menurut beliau kerajaan negeri berusaha menyiapkan rumah mampu milik ini dalam tempoh lima tahun sebagaimana yang terkandung dalam manifesto PRU 13 PAS Kelantan.
"Malah baru-baru ini kerajaan negeri juga melaksanakan dasar mesra keluarga untuk menempatkan kakitangan dan pegawai yang berkhidmat dekat dengan ahli keluarga mereka jadi adakah dia terlepas pandang perkara begini, "katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.
Beliau memberitahu projek Lebuh Raya Rakyat dan Stadium itu juga tidak harus dijadikan isu kerana pihak kerajaan negeri kini dalam proses memperhalusi projek tersebut.
Jelas beliau mengenai projek Lebuh Raya Rakyat itu, yang hendak diteliti sekarang ialah dari segi teknikal kerana Kerajaan Pusat juga mengistiharkan akan turut bersama bagi projek tersebut.
"Sekarang ini apabila dia kata begitu saya persoalkan balik apa yang dia mahu kerajaan negeri buat dalam masa 100 hari, dia tidak bolehlah tuduh sebarangan,” tegas beliau.
The Malaysian Insider hari ini ada menyiarkan rencana Prof Dr Agus yang mendakwa tiada keghairahan baru dalam politik Kelantan.
Prof Dr Agus mempersoalkan selepas 100 hari menerajui Kelantan selepas PRU lalu tiada sebarang perubahan dilakukan kerajaan negeri cuma meneruskan dasar lama sahaja.
Malah beliau turut mempersoalkan status projek Lebuh Raya Rakyat dan Stadium yang dikatakan sehingga sekarang masih belum menunjukkan perkembangan pembinaannya.
Bagaimanapun melalui tulisan itu beliau tidak menafikan terdapat perubahan dari segi pengurusan kerajaan tempatan.
"Saya melihat pengurusan kerajaan tempatan, khususnya kebersihan bandar dan hubungan keajaan pusat-negeri adalah lebih baik dari sebelum ini.
"Semoga hubungan tidak lagi tegang dan kerajaan pusat-negeri boleh saling bekerjasama dengan menghormati prinsip persekutuan," kata beliau. – 10 Ogos 2013.
Tiada keghairahan baru dalam politik Kelantan - Prof Dr Agus Yusof
August 10, 2013
Kenapa begitu kering dan miskinnya idea kerajaan baru Kelantan ini?
Adakah cukup sekadar menjadi kerajaan ‘punch card’ sahaja—masuk pejabat jam 8pagi dan balik jam 5ptg?
Persoalannya, jika sekadar meneruskan dasar lama sahaja, mengapa tidak meneruskan projek Lebuh Raya Rakyat? Mengapa diam sahaja dengan projek stadium? Teruskanlah sahaja dua projek lama tersebut kerana ia membawa manfaat untuk rakyat, khususnya Projek Lebuh Raya Rakyat.
Kerajaan negeri perlu tahu bahawa rakyat yang tinggal di Kuala Lumpur sudah tidak tahan lagi memandu kereta sehingga 15 jam untuk sampai ke Kota Bharu semata-mata kerana jalannya sesak.
Projek ini nampaknya sudah macam tertangguh kerana tidak ada maklumat dan pengumuman baru mengenainya. Kontraktor utama juga sudah menarik diri kerana tidak ada jaminan daripada kerajaan negeri tentang pembayaran pelaksanaan projek ini.
Saya ingin katakan kepada kerajaan negeri, jika tidak ada duit untuk meneruskan projek ini, cari jalan penyelesaiannya.
Sekiranya jalannya adalah dengan memohon bantuan dari kerajaan pusat, maka teruskan perundingan itu secepatnya. Yang penting projek ini perlu diteruskan dan diselesaikan.
Ini kerana telah banyak kos awal pengambilan tanah dan lain-lain telah dibelanjakan dan wang rakyat pun telah dikutip.
Jika sekadar meneruskan dasar lama, mengapa juga diam terus dengan projek stadium? Memang projek stadium tidak sepenting projek Lebuh Raya Rakyat, tetapi pembinaannya boleh menjana ekonomi negeri.
Harga tanah berdekatan stadium akan melonjak, banyak rumah baru boleh dibina, kawasan padat di bandar boleh dikurangkan dan perniagaan baru boleh dibuka oleh rakyat.
Projek pembinaan stadium ini mudah sahaja dilaksanakan jika kerajaan negeri serius mahu meneruskannya.
Cuma dalam melaksanakan projek ini, kerajaan negeri dan barisan kepemimpinannya perlu kreatif dan berusaha sedikit mencari idea bagaimana mahu membina, membangun dan mengembangkannya.
Satu yang saya lihat ada sedikit perubahan ialah dari segi bekalan air. Saya lihat kuantiti airnya semakin banyak, tetapi tidak kualiti airnya.
Sistem perawatan air masih banyak yang perlu ditingkatkan kerana airnya masih kuning. Saya dikhabarkan oleh sumber yang boleh dipercayai bahawa isu air ini akan selesai pada akhir tahun ini. Semoganya!
Sebahagian penduduk Kampung Tualang menunjukkan air telaga yang terpaksa digunakan untuk pelbagai tujuan ekoran ketiadaan bekalan air bersih Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Maka, apa yang baharunya dengan dasar kerajaan sekarang?
Satu yang dapat saya perhatikan ialah membenarkan wanita menyertai musabaqah Al-Quran. Lain-lain tidak ada.
Radziah Ibrahim qariah dari Kelantan
Jika betullah pemerhatian ini, saya kira ini amat malang bagi rakyat Kelantan yang mengharapkan kerajaan negeri lebih baik dari yang dahulunya.
Dari aspek lain, saya fikir ada beberapa pencapaian kerajaan negeri yang boleh direkodkan.
Saya melihat pengurusan kerajaan tempatan, khususnya kebersihan bandar dan hubungan keajaan pusat-negeri adalah lebih baik dari kerajaan sebelum ini. Semoga hubungan tidak lagi tegang dan kerajaan pusat-negeri boleh saling bekerjasama dengan menghormati prinsip persekutuan.
Tapi soal tuntutan royalti minyak, itu perlu teruskan kerana ia hak Kelantan.
Jika kerajaan pusat mempunyai tafsiran yang berbeza tentang hak Kelantan ini, uruskan hal ini di mahkamah untuk mendapatkan keputusan yang lebih autoritatif.
Dengan kekurangan kerajaan Kelantan hari ini, maka apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan negeri untuk membangunkan rakyatnya?
Banyak hal baru yang boleh saya cadangkan. Cuma dalam tulisan ringkas ini, saya mahu mencadangkan kerajaan negeri menghidupkan kembali program pertanian dan penternakan kambing Jamnapari yang tergendala.
Projek kambing ini memang gagal, tapi ia merupakan projek baik untuk rakyat.
Saya lihat di Kelantan sekarang ini jika ada majlis kenduri kendara, rakyat bercakap tentang kambing panggang dan nasi Arab.
Ini menunjukkan projek kambing ini ada sambutan rakyat, tetapi kerajaan negeri pula tidak menyambutnya. Exco Pertanian perlu mengambil perhatian tentang hal ini.
Begitu juga dengan projek pertanian yang lain. Banyak yang boleh ditanam dan dikembangkan.
Projek padi organik di Tunjong sudah tidak kedengaran lagi. Apapun kegagalan projek lepas, saya harap selepas ini kerajaan negeri dapat menjadikan Kelantan yang mempunyai tanah luas itu sebagai negeri yang mampu sara diri dari segi keselamatan makanan.
Kelantan dekat dengan Thailand, maka ambillah sedikit ‘bau’ dari kejayaan pertanian Thailand untuk dibawa ke Kelantan.
Selepas dari Hari Raya ini, apabila pejabat dibuka semula, saya harap barisan Exco dapat kembali berbincang semula perancangan pembangunan Kelantan selepas 100 hari pemerintahannya.
Kerajaan negeri tidak boleh hanya selesa dengan slogan mengekalkan tradisi kepimpinan lama.
Jika buat projek, rancanglah projek pembangunan itu untuk rakyat Kelantan, bukannya hanya untuk ahli parti PAS sahaja.
Jadikan pengalaman projek Ladang Rakyat untuk merakyatkan pembangunan Kelantan, bukannya memPASkan pembangunan Kelantan.
Berubahlah. Jangan biarkan rakyat menjerit!
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin. - 10 Ogos 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment