Gelombang 1 Mei membara
Aksi Himpunan 1 Mei di Dataran Merdeka akan menggegar ibu kota , Detik penuh mendebarkan ini bagai tidak sabar untuk dinantikan oleh seluruh rakyat khasnya anak muda di bandar yang sangat terkesan dengan keputusan kerajaan mahu melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) selain penyertaan dalam Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA).
Dataran Merdeka akan sekali lagi menjadi ‘padang luas’ untuk aksi ini berjalan.Bagi mendapatkan pandangan mengenai kerahan anak muda ke himpunan ini, wartawan Harakah, ROY RASUL mengutip pandangan Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Sany Hamzan pada 23 April lalu. Beliau menyeru semua pemuda termasuk Umno turun dalam perhimpunan 1 Mei ini. Perhimpunan aman itu bagi menyuarakan ketidakpuasan hati tentang pelaksanaan GST yang diibaratnya ‘bencana’ kepada rakyat.
HARAKAH: Boleh jelaskan mengapa rakyat mesti menyertai Himpunan 1 Mei nanti?
SANY HAMZAN: Himpunan ini adalah satu himpunan rakyat sebab ia bertujuan bagi menyatakan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Sebab ia membebankan rakyat. Apabila dilaksanakan semua rakyat akan terpalit. Oleh sebab itu, kita kira ini satu gerak gempur menolak malapetaka atau bencana kepada rakyat.
Jadi sebagai rakyat Malaysia perlu keluar untuk membantah secara aman pelaksanaan cukai GST yang akan dikena oleh kerajaan kepada seluruh rakyat di negara ini. Tidak kira mereka berada di kampung atau bandar.
Begitu juga sama ada nelayan, buruh, petani, pemandu teksi kita semua akan dikenakan GST. Kita akan dibebankan dengan GST kerana kita adalah pengguna.
Cuma yang menjadi masalah kepada kita sepatutnya apabila kerajaan menyatakan mahu menggunakan cukai kita melihat sepatutnya kerajaan Umno- BN perbaiki sistem urus tadbir negara.
Ketua Audit Negara mengatakan duit tiris setiap tahun hampir RM20 hingga RM30 bilion. Sepatutnya hasil kewangan negara banyak tetapi disebabkan ketirisan berlaku itu yang menyebabkan kerajaan terpaksa mengenakan cukai untuk mendapat kewangan negara. Jadi kita melihat bagi mengelakkan bebanan itu mereka mengenakan cukai kepada rakyat.
Di beberapa buah negara, GST telah dilaksanakan, jadi apa masalahnya jika GST dilaksanakan di Malaysia?
Di sesetengah negara walaupun GST diperkenalkan tetapi mungkin kos hidupnya murah. Tiada dikenakan tol malah harga kenderaan mereka pun murah. Pendidikannya percuma. Harga minyak pun murah, jika dibandingkan di Malaysia ini kehidupan rakyat kita semakin hari semakin dibebankan dengan pelbagai kos kenaikan. Kenaikan harga barangan, perkhidmatan dan sebagainya. Jika dibandingkan dengan negara luar contoh harga kereta, di Thailand lebih murah daripada Malaysia.
Di Thailand pula negara mereka ada tol. Jadi kalau hendak banding dengan Malaysia juga ada negara-negara harga minyaknya murah. Tetapi di Malaysia yang kita tahu harga minyaknya tidak turun.
Jadi dia ada perbezaan walaupun cukai GST di perkenalkan kos sara hidup di setengah-tengah negara kos sara hidupnya murah. Ini bezanya Malaysia berbanding negaranegara lain yang mengenakan GST.
Pakatan Rakyat meletakkan syarat agar kerajaan menghentikan penyelewengan, ketirisan sebelum melaksanakan GST. Adakah kesedaran rakyat dalam soal penyelewengan BN ini sekata?
Masalah di Malaysia ini yang saya nampak terutamanya di bandar masyarakat sedar sebab mereka mengakses media baharu seperti internet dan sebagainya.
Tetapi yang menjadi masalah ialah kepada mereka yang tinggal di kampung-kampung.
Mereka lebih banyak didoktrinkan dengan bahan hebahan media pro kerajaan.
Jadi mereka tidak dapat maklumat alternatif kedua.
Macam di bandar pula, mereka ada internet untuk akses media baharu dan sebagainya. Mereka dapat bahan ataupun mereka dapat berita kedua.
Sebab itu kita lihat Umno dan BN menang di kawasan kampung dan Felda yang masyarakat tidak terdedah dengan maklumat.
Masyarakat masih tidak terdedah dengan maklumat sebenarnya tentang apa yang berlaku dalam negara.
Sebab itu, Pakatan Rakyat sentiasa turun berjumpa rakyat malah peringkat Dewan Pemuda PAS sentiasa turun bertemu masyarakat bagi menrang tentang kenaikan kos harga barang, GST bahkan baru-baru ini kita turun di Baling, Kedah kerana harga getah turun.
Tujuan kita untuk menyedar masyarakat. Itu sahaja alternatif yang kita ada.
Namun begitu, rakyat masih lesu daripada bercakap tentang kerosakan oleh Umno- BN ini? Apakah puncanya?
Sebagaimana saya katakan tadi, satunya kerana masyarakat kita ini mungkin tidak sama dengan masyarakat di negara Indonesia. Lebih-lebih lagi Umno menggula-gulakan mereka dengan pemberian.
Bantuan Rakyat 1Malasia (BR1M) mereka jadi diam dan tidak bangkit bersuara dengan penyelewengan dan sebagainya.
Masyarakat di luar bandar khususnya tidak terdedah dengan berita-berita yang disiarkan media baharu.
Jadi Himpunan 1 Mei ini boleh jadi medan kesedaran baharu rakyat?
Insya-Allah, walau tidak banyak kita akan dapat sedikit.
Contohnya semasa himpunan Bersih dahulu walaupun kita tidak lepas semua yang kita tuntut, paling tidak pun daftar pemilih, soal undi pos, dakwat kekal ada juga diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan. Tetapi soal tuntutan tidak boleh hanya dalam sekali perhimpunan kerajaan terus menerima.Maksudnya tuntutan itu kena berterusan dan parti politik, Badan Bukan Kerajaan (NGO) kena sentiasa bangkit dan menyuara tentang ketidakpuasan hati kepada kerajaan.
Hebahan himpunan ini juga nampaknya sedikit lesu. Mengapa?
Saya rasa tidak kerana melalui media-media baharu seperti Facebook, Whatsapp, blog dan lain-lain mereka bercakap tentang himpunan itu.
Mungkin kaedah kita lebih mengguna penyebaran melalui media-media maya. Kita tidak mengguna cara tradisi seperti banner, poster, emel dan lain-lain. Tetapi kalau kita lihat dalam emel, blog-blog mereka bercakap mengenai perhimpunan GST.
Apa saranan saudara mengenai perhimpunan 1 Mei nanti?
Saya minta semua pemuda tidak kira PAS, KeADILan, DAP atau Umno sekalipun dan semua pemuda Malaysia keluar untuk cetuskan rasa tidak puas hati kepada kerajaan yang mahu melaksanakan GST. Perhimpunan aman itu sebagai tanda solidariti kita semua.