KUALA LUMPUR – Calon bukan Islam yang bakal mewakili Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada April depan merupakan ahli penuh parti itu sendiri dan bukan sekadar penyokong parti itu semata-mata.

Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir berkata Amanah tiada halangan untuk menurunkan calonnya daripada pelbagai kaum dan agama namun mensyaratkan keahlian parti itu sebagai syarat wajib untuk masuk bertanding pada pilihan raya di negeri itu.

“Kita mengalu-alukan (Pas menurunkan calon bukan Islam) tapi mereka bukan sebagai ahli Pas, hanya sebagai calon Pas menggunakan simbol Pas.

“Tapi kami akan menurunkan ahli penuh Amanah bukan Islam termasuk dari Hindu, Buddha atau Kristian, tapi dia ahli kita, bukan sekadar orang dinamakan oleh parti. Itu kelainan kita dengan Pas,” katanya pada sidang media, di Wisma Amanah, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Sabtu lalu bahawa parti Islam itu akan menurunkan calon bukan Islam dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dalam PRN Sarawak, April ini.


Bagaimanapun kata Tuan Ibrahim, calon dan 11 kerusi Dun Sarawak yang bakal ditandingi Pas hanya akan diumumkan pada 12 Mac ini.

Dalam pada itu, Anuar juga menafikan rakan politiknya, PKR menjadi jurucakap kepada Pakatan Harapan dalam melakukan rundingan kerusi dengan Pas untuk mengelakkan berlakunya pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya negeri itu nanti.

Anuar menegaskan rundingan itu hanya berlaku jika ketiga-tiga parti komponen Pakatan Harapan memberi persetujuan dan membuat keputusan secara bersama.

“Tidak, kita belum lagi buat keputusan di peringkat Pakatan Harapan untuk membolehkan sesiapa membuat rundingan uniliteral dengan mana-mana pihak.

“Dalam perjanjian kita, tiada mana-mana pihak boleh mengadakan rundingan dan hubungan secara langsung dengan pihak ketiga tanpa persetujuan daripada kami dalam Pakatan Harapan,” ujarnya.

Anuar turut menafikan dakwaan PKR menjadi jurucakap kepada Amanah dan DAP untuk berunding kerusi dengan Pas susulan parti Islam itu masih mempunyai kerjasama politik dengan PKR.

“Kalau PKR atau Amanah nak diberikan kerja itu, ia bergantung kepada keputusan yang tercapai dalam Pakatan Harapan.

“PKR bukan jurucakap kepada Pakatan Harapan untuk berunding dengan Pas setakat ini. Kalau berlaku pun kita akan periksa perkara ini,” katanya lagi.
SH.