Umno mahu rampas Kelantan semula, guna kelemahan Pas
BORHAN AHMAD
Ketika ahli parlimen Pasir Mas, Nik Abduh bertaawun dengan Raja Nong Chik, Mustpha berkata Umno akan rampas Kelantan dari Pas.
Ketika sesetengah pemimpin Pas dan Umno kelihatan berusaha mendekati antara satu sama lain, Umno Kelantan mempergiatkan usaha untuk merampas negeri Kelantan dari tangan Pas dalam pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, Umno akan menggiatkan sesi penerangan kepada rakyat negeri itu dalam usaha menyedarkan mereka mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan negeri Pas yang memerintah negeri itu sejak tahun 1990.
Mustapa berkata antara isu yang akan dibangkitkan kepada pengundi termasuklah masalah pemilikan tanah, setinggan dan kurangnya peluang ekonomi.
"Rakyat telah beri peluang kepada PAS untuk majukan Kelantan sejak 27 tahun lepas, namun masih tiada perubahan...kalau ada pun (pembangunan) ia jasa kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama anggota jawatankuasa Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Gris, Dabong, Kuala Krai semalam, lapor Bernama.
Hadir sama Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Datuk Ramzi Ab Rahman.
Katanya, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Umno Kelantan akan memperkukuhkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) terutama di luar Kelantan bagi mendekati pengundi muda yang tinggal di luar negeri itu.
Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata Umno turut merancakkan program mendekati golongan mahasiswa agar mereka tidak mudah dikelirukan dengan fitnah pembangkang.
Hubungan antara Umno dan Pas semakin intim sejak kebelakangan ini bermula dari presiden kedua-dua parti hingga ke beberapa pemimpin kedua-dua parti peringkat pusat.
Hubungan ini mula turun ke akar umbi walaupun sesetengah pihak dari kedua-dua parti itu menolak usaha taawun atau bekerjasama itu.
Yang terbaru, Ketua Pemuda Pas Nik Mohamad Abduh Nik Aziz menyertai ketua Umno bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik dalam satu majlis di Lembah Pantai.
Di majlis itu, Nik Abduh yang diberikan peluang memberikan kuliahnya berkata, penyatuan antara Umno dan Pas ini menjadi sukar kerana adanya pihak yang melampau samada dalam Umno dan juga Pas.
"Hanya pihak yang melampau tidak suka kepada penyatuan ini," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, "Allah benarkan kita memerangi pihak yang melampau sehingga yang melampau balik kepada Allah."
Cina Jho Low berfoya-foya Melayu jadi kuda – Datuk A Kadir Jasin
oleh A Kadir Jasin
APA yang membezakan Malaysia dengan banyak negara bekas tanah jajahan di segi kemajuan ekonomi dan kemasyarakatan ialah kita memulakan proses perindustrian awal. Masa kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 industri yang ada hanyalah memproses bahan-bahan mentah untuk eksport macam kilang papan, peleburan timah, mengilang getah dan kelapa.
Segala barang keperluan pengguna seperti makanan, pakaian, alat jentera, elektrik dan ubat-ubatan diimport, khususnya dari England, United Kingdom atau daripada “empire” iaitu tanah-tanah jajahan Inggeris seperti Hong Kong dan India yang sudah ada industri. Kita memulakan proses perindustrian secara terancang pada pertengahan tahun 1960-an dengan menjemput pelabur tempatan dan asing mengeluarkan barang-barang gantian import seperti makanan diproses, pakaian, kelengkapan elektrik dan jentera ringan.
Itulah asal usul bertapaknya pelaburan asing selepas merdeka di negara kita. Dengan itu juga pergantungan kita terhadap modal Inggeris berkurangan dan kita memperoleh pelaburan daripada negara-negara Eropah yang lain dan paling ketara daripada Jepun. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya akibat jangkitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dasar pelaburan asing kita telah berubah. Kerajaan telah mula menjual industri strategik yang kita bina sendiri kepada orang asing dan sejak setahun dua ini hatta tanah pun mula dijual, dipajak dan digadai kepada orang asing.
Skandal penipuan 1MDB terus merebak jangkiti ekonomi, kewangan dan kedaulatan negara kita. Pada awal bulan ini, akhbar Financial Times melaporkan yang 1MDB sedang bersiap sedia membayar balik hutang sebanyak AS$6.5 bilion (kira-kira RM26 bilion) dengan pertolongan negara China.
1MDB berhutang kepada syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC), tapi tak ada duit nak bayar balik. Macam mana nak bayar balik bila perniagaan tak untung. Rugi ada.
IPIC telah kemuka saman ke atas 1MDB di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London. Dua orang pegawai IPIC yang subahat tipu 1MDB telah ditangkap oleh kerajaan Abu Dhabi.
Duit sendiri memang tak ada. Bukan saja berniaga tak untung tapi banyak dah dilesapkan dan dibawa lari ke luar negara. Pejabat Peguam Negara Switzerland yang sedang siasat pengalihan duit haram (money laundering) syak sebanyak AS$4 bilion (RM16 bilion) duit 1MDB telah disonglap.
Skandal 1MDB bukan saja memalukan negara kita malah sangat berbahaya. Singapura telah pun bicara dan dapati bersalah beberapa orang yang jadi orang tengah mencuri dan menggelapkan duit 1MDB.
Tapi Peguam Negara Malaysia Apandi Ali kata tak ada bukti perbuatan salah di Malaysia. Macam saya dah kata banyak kali, 1MDB adalah perniagaan atas angin ala skim cepat kaya Pak Man Telo yang direka oleh seorang Cina Pulau Pinang bernama Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Kalau dia berniaga atas angin bersendirian itu hak dialah. Di negara kita ada macam-macam skim perniagaan atas angin dan haram sampai ketua samseng pun boleh jadi kaya raya dan dibagi gelaran ‘datuk’ oleh Raja Melayu. Tapi dalam hal 1MDB ini ia babitkan kerajaan Malaysia – ertinya kita semua – melalui Kementerian Kewangan. 1MDB adalah anak syarikat Kementerian Kewangan. Oleh sebab itu hutang 1MDB sebanyak RM50 bilion jadi hutang kita semua. Secara teknikal Malaysia dah “insolvent” atau tak cukup duit nak bayar hutang. Lebih kurang dah muflis akibat hutang 1MDB.
Jho Low sudah lama cabut dari Malaysia. Dia dan konco-konco yang termasuk anak tiri Perdana Menteri, Najib Razak, berfoya-foya di pusat-pusat hiburan dan perjudian dunia di Amerika Syarikat, Eropah dan Timur Tengah.
Ikut taksiran Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ), Jho Low dan gengnya, termasuk Riza Aziz, dah guna kira-kira AS$1 bilion (RM4 bilion) duit yang dicuri dari 1MDB untuk beli harta di Amerika Syarikat saja.
Sekarang, akibat perbuatan kaki putar Cina Pulau Pinang yang berupa sahabat akrab keluarga Najib itu, negara kita terpaksa minta sedekah kepada China. Umno takut-takutkan orang Melayu terhadap DAP tapi yang menipu kita semua adalah Cina kawan Perdana Menteri sendiri.
Kita tahu negara komunis China tak akan bantu 1MDB atau kerajaan Malaysia cara percuma atau sukarela. Mesti ada kira bicara di sebaliknya. Dalam bahasa Inggeris dia kata quit pro quo. Dalam bahasa mudah, engkau garu belakang aku, aku garu belakang engkau. China akan bantu pasal sudah pun dibagi kontrak dan projek beratus bilion ringgit oleh kerajaan Najib macam Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur berharga RM55 bilion, pembelian 10 buah kapal peronda persisiran berharga RM300 juta tiap satu, Projek Bandar Malaysia di atas tapak Lapangan Terbang TUDM Sungai Besi dan kilang penjana elektrik. Dalam masa tak sampai 10 tahun, China muncul sebagai pelabur, pemaju hartanah dan kontraktor asing yang paling agresif dan dapat layanan istimewa di Malaysia sampai jejaskan kedudukan pemaju tempatan.
Pada 22 November lepas agensi berita ekonomi antarabangsa Bloomberg siar rencana berkenaan “bandar raya China” bernilai AS$100 bilion (RM400 bilion) yang sedang dibina di Johor.
Antara lain berita itu kata, pemaju dari China yakin Johor Bahru yang dekat dengan Singapura akan jadi Shenzhen baru. Shenzhen ni adalah bandar raya baharu di tanah besar China ke utara Hong Kong.
Ungkapan “the next Shenzhen” atau Shenzhen baharu itu sangat menarik. Tapi kalau kita faham sangat menakutkan. Johor Bahru akan jadi Shenzhen baharu sebab kebanyakan harta yang sedang dimajukan di situ ditujukan khas kepada pembeli dari China dan Singapura.
China banyak duit dan selera pelabur China sangat besar. Menurut Bloomberg, projek yang akan jadi “Shenzhen baharu” itu dikenali sebagai Forest City dan mampu tempatkan 700,000 penduduk. Pembinaan bermula Februari lalu dan 8,000 unit apartmen dah dijual. Ia adalah projek terbesar di antara kira-kira 60 projek di Iskandar Malaysia yang semuanya akan menambah setengah juta kediaman yang ditujukan kepada pembeli luar negara, khususnya dari China dan Singapura.
Kalau kita tak jaga-jaga dan kita biar orang tamak bermaharajalela, boleh jadi kita akan alami masalah kependudukan dan percanggahan budaya yang sangat besar. Sekarang pun sudah ramai rakyat tempatan, khususnya Bumiputera dan bukan Bumiputera miskin, dah terpinggir dan tertindas akibat persaingan daripada pendatang Singapura yang lebih kaya.
Sebaliknya rakyat jelata kita yang ada kemampuan tak berminat dengan harta di “next Shenzhen” sebab mereka dah ada rumah di Australia, New Zealand, England, Amerika Syarikat dan Kanada atau sedang berkira-kira berhijrah ke luar negara. Kita juga tak boleh pandang ringan kemungkinan negara kita, khususnya Johor, dibanjiri pemastautin asing yang beza bahasa dan budaya dengan kita atau yang tak hormati kepelbagaian kaum kita.
Sifat tamak dan gila duit orang kita yang berkuasa boleh sebabkan negara dijajah semula melalui pemilikan ekonomi dan pemberian hutang. Akhirnya kita terpaksa hantar “bunga emas” kepada China macam raja-raja kita buat pada zaman dulu kala.
Inilah bencana yang sedang timpa kita akibat sabotaj ekonomi dalam bentuk 1MDB. Dalam Umno berkempen menakut-nakutkan orang Melayu, orang kampung dan orang Felda terhadap Cina DAP tapi di belakang mereka, kerajaan yang Umno pimpin dah ditipu oleh Cina Jho Low kawan keluarga Najib.
Banyak tanah dan harta pusaka dah dijual-gadai kepada negara China kerana nak tampung hutang RM50 bilion yang Jho Low bebankan ke atas kita semua melalui skandal 1MDB. Dia curi duit untuk bersuka-suka, negara kita yang jadi hina dan berhutang beribu-ribu juta yang kita, anak dan cucu kita jadi kuda, jadi mangsa. Inikah wasatiyyah?
*Datuk A Kadir Jasin adalah tokoh wartawan negara. Artikel ini pertama kali disiarkan di blog beliau
1. Kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat yang berjalan sepanjang tahun 2016 amat kotor dengan wujudnya pelbagai usaha pembunuhan karakter yang didedahkan kepada orang ramai. Dalam temu bual terhadap Hillary Clinton, beliau mengaku bahawa ISIS dan kumpulan militan bersenjata sebenarnya dibiayai oleh Amerika dan mereka jugalah yang melahirkan kumpulan Al-Qaeda dan seumpamanya yang berjuang mendapatkan kuasa bukan melalui proses demokrasi.
2. Donald Trump dalam kempennya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang dibuat oleh kerajaan Amerika terdahulu. Beliau berjanji akan memerangi kumpulan militan dan ISIS serta seumpamanya. Akhirnya dalam pertarungan yang hebat, Donald Trump mencapai kemenangan walaupun dipertikai dan telahpun mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat yang sah. Setelah mengangkat sumpah, dalam masa dua minggu beliau telah menunjukkan sifatnya yang sebenar. Beliau bukan ingin memerangi kumpulan militan dan kumpulan yang tidak menghormati demokrasi tetapi lebih bersifat memerangi Islam.Dalam kempen sebelum ini Donald Trump berkata bahawa beliau tidak akan membenarkan orang Islam masuk ke Amerika Syarikat. Kita menganggap itu hanyalah kempen biasa untuk menarik golongan kanan Amerika untuk menyokong beliau. Namun selepas mendapat kuasa, beliau benar-benar melaksanakannya tetapi pilihan negara-negara yang mula disekat amat mengejutkan kita.
3. Negara seperti Iraq, Libya, Syria, Yaman, Iran, Somalia serta Sudan dinamakan secara borong dan diisytiharkan tidak boleh memasuki Amerika. Donald Trump sepatutnya mengotakan janjinya untuk memerangi golongan militan dan ISIS, tetapi apa yang kita lihat beliau hanya menyepi terhadap negara yang melahirkan ramai ISIS ini. Sekarang kita bertambah yakin bahawa Donald Trump hanya mengulangi sikap kerajaan terdahulu.
4. Oleh itu, umat Islam dan kemanusiaan sejagat bersama negara-negara besar seperti Kanada, England dan Jerman mesti mengkritik dan membantah polisi Donald Trump ini. Negara-negara OIC yang bermaruah perlu bersidang segera untuk mengutuk tindakan yang diambil oleh Donald Trump dan kerajaan Amerika ini di samping perlu berani menyatakan kebenaran hak kebebasan beragama untuk masuk ke mana-mana negara, bukan di atas kebencian suatu agama, kaum atau puak.
AMANAH DEMI NEGARA
MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
31 Januari 2017
DAPSY anjur protes di kedutaan Amerika, Perdana Menteri masih belum bersuara?
KUALA LUMPUR, 30 JAN: Sudah lebih dua hari berlalu setelah Donald Trump mengeluarkan arahan eksekutif menghalang kemasukan pelarian ke Amerika, selain mengenakan larangan ketat ke atas warga tujuh negara Islam untuk tempoh tiga bulan mendatang.
Namun apa yang mengecewakan ialah sikap membisu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke atas arahan yang begitu kejam oleh pentadbiran presiden Amerika yang baru itu.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tindakan Najib untuk menjauhkan diri daripada gelombang kemarahan global terhadap dasar baru Trump itu sebagai sangat membimbangkan.
Menurut Kit Siang, Najib begitu bersemangat mengkritik pentadbiran Aung San Suu Kyi dalam isu Rohingnya, namun kelihatan begitu ‘jinak’ di saat dunia Islam begitu berang dengan penindasan Trump ke atas para pelarian dan warga Iran, Iraq, Syria, Sudan, Somalia, Libya dan Yaman.
“PAS juga nampaknya langsung membisu terhadap arahan Trump yang begitu kejam.
“Ini langsung berlainan dengan sikap pimpinan PAS yang selalunya paling awal menyanggah dasar Trump itu,” ujar Kit Siang, menyifatkan sikap membisu PAS sebagai isyarat kerjasama antara Perdana Menteri dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Kedua-dua Najib Razak dan Hadi Awang sebelum ini telah berganding bahu duduk sepentas di acara Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya, Disember tahun lalu.
Kedua-duanya turut dijangka muncul bersama sekali lagi Jumaat nanti bagi melancarkan flotila bantuan kemanusiaan Rohingya.
“Alangkah baiknya jika program hari Jumaat nanti turut disertai protes terhadap arahan eksekutif Trump,” tambah Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.
“Atau adakah Najib sedang menjauhkan diri daripada kemarahan dunia terhadap Trump ekoran saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat melibatkan skandal pengubahan wang 1MDB?” soal beliau.
Pada hari Jumaat yang sama, Sosialis Muda DAP (DAPSY) bakal mengemukakan memorandum bantahan ke Kedutaan Amerika Syarikat, membantah sekatan Trump terbabit. Orang ramai dijemput hadir menyertai protes terbabit bermula jam 2.30 petang, selepas solat Jumaat, di perkarangan Kedutaan Amerika, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. – Roketkini.com
Pemuda Umno, PAS tak sertai demo anti-AS Jumaat ini
Pemuda Umno dan PAS tidak akan menyertai himpunan membantah sekatan imigresen Amerika Syarikat (AS) terhadap warganegara tujuh negara Islam, yang digerakkan Pakatan Harapan, Jumaat ini.
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Razlan Rafii memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya tidak akan terlibat dalam sebarang pergerakan yang dianjurkan oleh pembangkang.
Pemuda PAS ambil langkah sendiri
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PAS Mohd Khairul Nizam Khairuddin juga ketika dihubungi berkata mereka tidak akan menyertai himpunan HARAPAN itu.
Katanya, mereka akan mengambil langkah sendiri melarang bantahan itu.
“Parti lain mereka boleh buat apa yang mereka mahu,” katanya.
Hanya beberapa jam selepas Tan Sri Annuar Musa digantung jawatannya dalam Majlis Amanah Rakyat, Tengku Mahkota Johor memuat naik klip video pendeknya yang mencetuskan tanda tanya.
Hanya sepanjang empat saat, video tanpa dialog itu jelas mengundang pelbagai rasa.
Pada klip itu Tunku Ismail Sultan Ibrahim hanya senyum sinis dan mengangkat keningnya.
Sebelum ini memang diketahui ramai Tunku Ismail dan Annuar saling berbalas kenyataan - walaupun secara tidak langsung atau memetik sebarang nama.
Ketika skuad JDT tumpas di tangan Kedah bagi merebut Piala Sumbangsih, Annuar memuat naik status sinis di media sosial dengan menggunakan emoticon ketawa seolah-olah menyindir kelab milik Tunku Ismail itu.
Sejak berita penggantungan Annuar dilaporkan media hari ini, memang dijangkakan Tunku Ismail akan memberi reaksi sama ada secara langsung atau tidak.
Malah tindakan MARA ke atas Annuar itu dilihat berpunca daripada pendedahan Tunku Ismail berkaitan penajaan syarikat Pelaburan MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk skuad bola sepak Kelantan. Tunku Ismail memuat naik kenyataan itu pada 12 Januari lalu.
Annuar pada awalnya menafikan pendedahan itu.
Menulis di Facebook, Ketua Penerangan Umno itu berkata "MARA tidak pernah menaja" walau satu sen pun untuk skuad The Red Warriors (TRW).
Penggunaan logo 50 Tahun MARA pada bahagian lengan jersi pasukan TRW itu pula, kata Annuar, dipamerkan secara percuma walaupun ia bernilai RM250,000.
Namun, keesokan harinya Annuar memberi kenyataan berbeza.
Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu berkata, beliau "difahamkan” terdapat surat menyurat, baucar dan dokumen lain antara The Red Warrior Sdn Bhd dan UniKL.
“Bagi saya, kita ucapkan terima kasih atas edaran itu kerana ia menunjukkan kedua-dua pihak lakukan dengan begitu teratur. Ada surat tawaran, ada rundingan dan tawar menawar, ada kontrak, ada baucar, ada resit dan lain-lain.
“Saya percaya bukan dengan UniKL sahaja tapi semua penaja lain. Semuanya di buat secara tertib dan berperaturan,” katanya.
Skuad JDT kini berada di Thailand untuk bertarung pada pusingan kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL) berdepan kelab Bangkok United.
Anak buah Benjamin Mora itu muncul sebagai pasukan pertama dari Malaysia yang layak ke saingan itu untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.
Malaysiakini.
SPRM siasat Annuar Musa
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan satu kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa Tan Sri Annuar Musa yang digantung tugas sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini.
Dalam kenyataan medianya, SPRM berkata, agensi berkenaan akan bekerjasama dengan bahagian audit dalaman MARA bagi menjalankan siasatan melibatkan beberapa isu rasuah dan salah guna kuasa didakwa dikaitkan dengan ketua penerangan Umno itu.
"Ingin ditegaskan, siasatan SPRM hanya tertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penglibatan dalam penajaan pasukan bola sepak Kelantan.
"Siasatan berhubung salah tadbir urus pula akan dijalankan oleh pasukan audit dalaman MARA," kata kenyataan tersebut.
Pagi tadi Ahli Majlis MARA mengadakan mesyuarat tergempar di ibu negara dan memutuskan untuk menggantung jawatan Annuar.
Pada 12 Januari lalu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat pendedahan berhubung penajaan Pelaburan MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk menaja skuad bola sepak Kelantan.
Annuar pada awalnya menafikan pendedahan itu.
Menulis di Facebook, Ketua Penerangan Umno itu berkata "MARA tidak pernah menaja" walau satu sen pun untuk skuad The Red Warriors (TRW).
Penggunaan logo 50 Tahun MARA pada bahagian lengan jersi pasukan TRW itu pula, kata Annuar, dipamerkan secara percuma walaupun ia bernilai RM250,000.
Namun, keesokan harinya Annuar memberi kenyataan berbeza dan bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu berkata, beliau "difahamkan” terdapat surat menyurat, baucar dan dokumen lain antara The Red Warrior Sdn Bhd dan UniKL.
Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berpendapatan ketetapan dibuat MARA itu hanya cadangan.
Katanya, kuasa melantik atau menggantung jawatan pengerusi MARA terletak pada bidang kuasa menteri selepas ia mendapat persetujuan perdana menteri.
Memberi respon kepada isu penggantungan beliau, Annuar berkata beliau tidak dimaklumkan pihak terbabit bermesyuarat hari ini walaupun ada mesyuarat dijadualkan berlangsung pada 14 Februari nanti.
Namun, Annuar yang kini anggota parlimen Ketereh berkata, beliau menerima keputusan berkenaan dengan berlapang dada dan bertanggungjawab.
SPRM menegaskan supaya semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes tersebut dan memberi ruang bagi menjalankan siasatan.
Penyebaran meluas berkaitan dakwaan harga minyak petrol akan naik mulai tengah malam ini masih tidak dapat disahkan.
Bagaimanapun, Persatuan Pengedar Petroleum (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz menjangkakan kenaikan akan benar-benar berlaku.
“Mesej viral itu tidak dapat disahkan... tetapi berdasarkan kiraan kami, kami jangkakan ada kenakan (untuk Februari).
“Bagaimanapun, akhirnya terpulanglah kepada kerajaan untuk tetapkan harga,” kata Khairul Annuar kepada Malaysiakini.
Harga runcit petrol sekarang ditetapkan pada RM2.10 seliter untuk RON95, RM2.05 seliter (diesel) dan RM2.40 seliter (RON95).
Kerajaan menentukan kadarnya berdasarkan sistem apungan terkawal yang mengambil kira pelbagai faktor, termasuk harga minyak mentah dunia dan kekuatan mata wang negara pada bulan sebelumnya.
Harga minyak mentah Brent terus meningkat selepas Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) mengurangkan pengeluaran untuk membendung lebihan penawaran, sekali gus menstabilkan harga.
Ia turut melibatkan negara yang tidak menganggotai Opec, seperti Malaysia, yang menyaksikan Petronas bersetuju mengurangkan pengeluaran bermula tahun depan.