Dewan Negara dipercepat tanda Parlimen bubar April
Sidang Dewan Negara telah dipercepatkan jadi ia akan berakhir pada hari yang sama dengan sidang Dewan Rakyat pada 5 April 2018 ini.
Menurut surat pekeliling kepada para senator, sidang Dewan Negara yang pada awalnya dijadualkan berlangsung dari 16 April ke 30 April ini akan diadakan serentak dengan Dewan Rakyat pada Isnin minggu hadapan.
Perubahan ini jadi petanda kuat Parlimen mungkin akan dibubarkan selepas 5 April.
Sebelum ini, kedengaran desas-desus yang mengatakan Parlimen mungkin akan dibubarkan pada awal Mac, selepas sempadan baru pilihan raya dibentangkan di Dewan Rakyat.
Hujah pembubaran awal parlimen ini berdasarkan fakta persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya memerlukan kelulusan Dewan Rakyat menjadikan sidang Dewan Negara bukan faktor penting.
Bagaimanapun, rang undang-undang bajet tambahan yang dibentangkan di Dewan Rakyat meminta tambahan dana berjumlah RM7.12 bilion.
Walaupun persempadanan baru kawasan pilihan raya tidak memerlukan kelulusan Dewan Negara, tetapi bajet tambahan memerlukan kelulusan dewan itu.
Pembubaran awal Parlimen berdasarkan jadual awal (sebelum ditukar) Dewan Negara akan menyebabkan bajet tambahan tidak diluluskan.
Kerajaan mungkin terpaksa menunggu sehingga tempoh separuh kedua tahun ini sebelum mendapat dana belanjawannya.
Namun, permasalahan ini selesai dengan sidang Dewan Negara dipercepatkan berjalan serentak dengan Dewan Rakyat.
Desas-desus mengatakan PRU14 akan diadakan pada awal Mei atau berdasarkan undang-undang pada tarikh tamat tempoh berakhir, pada penghujung Ogos ini.
Pilihan raya umum tidak mungkin diadakan di antara Mei dan Ogos kerana bulan puasa, pesta menuai di Malaysia Timur dan diikuti dengan musim haji.
Oi Ei Sun yang merupakan bekas setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil pendapat berbeza dan menjangkakan PRU14 akan berlangsung pada bulan Ogos, menyebut kekangan masa untuk persiapan sebagai alasannya.
Namun demikian, dengan penjadualan semula sidang Dewan Negara, jika tiada aral melintang, maka PRU14 besar kemungkinan diadakan pada bulan Mei.
SPR perlu mengadakan pilihan raya dalam masa 60 hari selepas Parlimen dibubarkan dan kebiasaannya lebih awal daripada tarikh tamat tempohnya.
Pada PRU13 lalu, Parlimen dibubarkan pada 3 April dan pilihan raya umum diadakan pada 5 Mei 2013 dengan tempoh berkempen selama 15 hari bermula 20 April 2013.
Malaysiakini
0 comments:
Post a Comment