Bekalan air di Lembah Klang akan pulih berperingkat mulai esok
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib bagaimanapun berkata bekalan air akan pulih sepenuhnya dalam tempoh 36 hingga 72 jam.
“Tempoh masa pemulihan bagi wilayah Kuala Langat dan Hulu Selangor adalah sehingga pukul 6 pagi, Sabtu ini manakala bagi wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak dan Kuala Lumpur ialah sehingga pukul 6 petang, Ahad ini,” katanya pada sidang akhbar di Loji Rawatan Air SSP3 di Bestari Jaya, hari ini.
Katanya dalam kejadian petang semalam, kegagalan Sistem Mampatan Udara berfungsi dengan baik telah menyebabkan lima batang paip bersaiz 1,100mm rosak dengan dua daripadanya pecah dan terpelanting keluar daripada strukturnya.
“Ketika ini, kerja-kerja pembaikan kecemasan Sistem Mampatan Udara sedang dijalankan bagi menyegerakan pemulihan bekalan air kepada 563,622 akaun di enam wilayah yang terlibat,” jelasnya.
Mengulas mengenai kejadian petang semalam, Zaidy berkata kerja-kerja pembaikan kritikal di Loji Rawatan Air SSP3 dilakukan bagi membaiki kerosakan injap Pam No.3 oleh Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) selepas mendapat kelulusan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).
Katanya masalah kerosakan injap tersebut hanya dikesan selepas pihak Pengurusan Air Selangor mendapati berlaku penyusutan paras Kolam Imbangan Bukit Tadun pada 26 Januari lalu.
Siasatan SPAN pada 5 Februari lalu bagaimanapun mendapati bukan hanya Pam No.3 yang mengalami kerosakan tetapi tiga lagi unit pam air bersih tidak berfungsi iaitu Pam No.4, Pam No.5 dan Pam No.8.
Ketiga-tiga pam berkenaan bagaimanapun tidak ada kaitan dengan insiden paip pecah yang berlaku semalam, jelasnya. – Bernama, 7 Mac, 2018.
TMI.
No comments:
Post a Comment