NAJIB SEMAKIN "BAHAYA" KEPADA MASA DEPAN NEGARA
Kenyataan Najib Razak yang membayangkan Rejimen Askar Melayu Diraja atau RAMD akan dibubarkan jika Pakatan Harapan diberi peluang mentadbir negara, bukan saja satu lagi berita palsu yang keluar daripada mulutnya, malah juga sebenarnya kata-kata yang berbaur hasutan dan boleh memecah-belahkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Kalau pun Najib begitu terdesak untuk menang pilihanraya kerana takut dirinya akan diadali berkaitan skandal 1MDB dan kemasukan RM2,600 juta ke dalam akaun peribadinya, semburan api perkauman seperti ini amatlah tidak wajar dan merbahaya kepada masa depan negara.
Dalam erti kata lain, oleh kerana Najib sudah mula memercikkan api perkauman yang keterlaluan semata-mata untuk kepentingan politik dan tujuan memenangi pilihanraya, mengekalkan dan memberi kemenangan kepada beliau juga jauh lebih merbahaya lagi.
Dengan kenyataan Najib mengenai pembubaran RAMD itu, secara langsung dan tidak langsung, tiupan slogan 1Malaysia yang diperkenalkannya sebelum ini sudah jadi hampas yang tidak lagi berharga.
Laungan 1Malaysia tidak lebih hanyalah umpan politik murahan Najib untuk menunjukkan keterbukaannya sebagai Perdana Menteri, tetapi semua itu ternyata hanyalah palsu belaka.
Malah, melalui 1Malaysia di mana beliau kemudian menubuhkan sebuah syarikat pelaburan bernama 1MDB, ia tidak lebih alat untuk mengaut keuntungan peribadi dengan berselindung di sebalik slogan bermadu, tapi hakikatnya penuh dengan racun yang berbisa.
Bersama pertanyaannya sebelum ini yang juga bercorak perkauman dengan menyalahkan pengundi Cina sebaik keputusan PRU 13 yang lalu, sambil bertanya, "apa lagi Cina mahu?", apa yang disebutnya mengenai pembubaran RAMD adalah petanda bahawa di lubuk hati Najib tertanam perlekehan yang mendalam terhadap kaum-kaum lain.
Apakah Najib lupa siapa yang menyerahkan banyak aset dan tanah kepada negara China, termasuk tapak kem TUDM di Sungai Besi yang kini dikenali sebagai Bandar Malaysia?
Hakikatnya, RAMD tidak mungkin dibubarkan, tidak kira siapa pun yang menguasai Putrajaya. RAMD adalah lambang dan imej negara, sesuai dengan kedudukan negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen serta raja berperlembagaan.
Dengan kata mudah, RAMD adalah dilindungi oleh perlembagaan.
Oleh yang demikian, membayangkan RAMD akan dibubarkan sepertimana yang disebut oleh Najib, tidak lain adalah bertujuan jahat, menghasut, memecah-belahkan perpaduan serta menggalakkan ketidakpercayaan, malah pergaduhan di antara kaum.
Ini bererti, jika untuk menang pilihanraya pun Najib sanggup berbuat demikian tanpa memikirkan kesannya kepada perpaduan rakyat, sedangkan beliau adalah ketua kerajaan yang seharusnya bertanggungjawab dengan adil menaungi semua pihak, tidak mustahil lebih banyak perkara-perkara ekstrem turut boleh dilakukannya, baik untuk mencapai kemenangan, mahu pun selepas dapat kekal berkuasa lagi.
Najib dengan ini tidak harus, malah tidak layak sama sekali untuk terus disambung kuasanya kerana beliau ternyata amat berbahaya kepada masa depan negara.
Mengundi beliau, tidak saja akan melebarkan lagi jurang permusuhan antara kaum, malah beliau tidak mungkin akan mengutamakan perpaduan dalam tugas dan tanggungjawabnya.
Walaupun pelbagai suara telah bangkit menyanggah apa yang diperkatakan Najib itu, bahkan Lim Kit Siang turut tampil menafikannya, sehingga sekarang belum terdengar lagi Perdana Menteri mahu menarik balik atau memohon maaf atas keterlanjurannya menyebarkan berita palsu, menghasut dan memecah-belahkan perpaduan kaum antara berkaitan RAMD itu.
Tanpa keraguan, diulang sekali lagi, dengan permainan politik yang diamalkannya kini, Najib jelas amat merbahaya kepada masa depan negara dan tidak harus diberikan sebarang undi kepadanya.
Tidak cukup dengan kerosakan kepada negara melalui skandal 1MDB dan penyerahan aset serta tanah kepada China, Najib juga bakal menambah-burukkan lagi kerosakan itu berdasarkan jalur pemikirannya yang tidak banyak berbeza dengan Jamal Md. Yunus.
Noktah, titik, fullstop....lupakan Najib untuk masa depan Malaysia yang lebih baik. (ShahbudinHusin 01/04/2018)
0 comments:
Post a Comment