Akhbar: Jho Low mungkin ada pasport Thai, Australia dan NZ
Pihak berkuasa Malaysia dikatakan sedang meneliti kemungkinan ahli perniagaan yang kini menjadi buruan, Jho Low, menggunakan pasport dari Thailand, Australia dan New Zealand untuk mengelakkan dirinya daripada penangkapan, lapor The Star Online hari ini.
Ini selepas kedua-dua pasport yang dimiliki Low dari Malaysia dan St Kitts and Nevis telah dibatalkan.
Memetik sumber, akhbar tersebut tidak menolak spekulasi bahawa pelaburan Low dan sejarah panjang urusan keluarganya di negara-negara berkenaan membantunya mendapatkan dokumen perjalanan tersebut.
"Mereka (keluarga Low) mempunyai hubungan kekeluargaan di Thailand dan ada kemungkinan bahawa Jho Low juga memiliki dokumen identiti Thai berdasarkan perniagaan dan pelaburan datuknya yang besar di negara itu pada tahun 1960-an dan 1970-an.
Selain itu, bapa Low juga dikatakan pernah menjadi penduduk di Bangkok sejak sekian lama, kata sumber itu.
Ia menambah bahawa hubungan Low di Thailand mungkin melayakkannya mendapat "keistimewaan" seperti pasport negara itu.
Low, yang nama penuhnya Low Taek Jho, juga dikatakan mempunyai hartanah di Melbourne dan Sydney bersama dengan aset bernilai NZ$265 juta (RM747 juta) yang dimilikinya di New Zealand.
Malaysiakini sedang menghubungi Jabatan Imigresen Thailand, Australia dan New Zealand untuk mengesahkan dakwaan itu.
Mk.
0 comments:
Post a Comment