Operasi roboh sekatan, polis tangkap Orang Asli, aktivis
Polis menahan beberapa aktivis yang didakwa berkaitan dengan sekatan ke atas pembalak daripada memasuki perkampungan masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman Gua Musang, Kelantan.
Wakil Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Jamali Ayau berkata mereka yang ditahan dibawa ke sebuah sekolah berhampiran Pos Petei.
Ketika dihubungi, Polis Daerah Gua Musang mengesahkan tangkapan itu tetapi tidak dapat menyatakan jumlah mereka.
Peguam Siti Kasim yang mewakili beberapa aktivis itu berkata setakat ini 18 telah ditangkap.
"Saya sangat kecewa dan marah. Semua kita mesti bangkit berhubung layanan terhadap Orang Asli kita!
"Mereka (aktivs) membantu dengan melindungi hutan kita!" katanya di Facebook.
Sekatan di Hutan Simpan Balah didirikan pada bulan Oktober lalu untuk menghentikan aktiviti pembalakan, yang menurut masyarakat Orang Asli telah menjejaskan sumber air mereka.
Sebelum ini, penduduk kampung Orang Asli dari Pos Balah, Gua Musang berkata mereka sanggup mengorbankan nyawa mereka untuk melindungi tanah mereka di Hutan Simpan Balah.
Sementara itu, Utusan Online melaporkan polis menahan seramai 16 orang penduduk Orang Asli dalam operasibagi merobohkan sekatan dibuat masyarakat itu di Simpang Petei, Pos Tohoi di Gua Musang hari ini.
Portal itu memetik Ketua Polis Kelantan, Datuk Ab Rahman Ismail berkata, sehingga pukul 2 petang, seramai 16 penduduk yang menghalang kerja merobohkan sekatan itu ditahan.
"Ssemua 16 lelaki tersebut ditahan selepas Jabatan Perhutanan Kelantan meminta bantuan pihak polis dari aspek keselamatan dalam operasi merobohkan sekatan yang dibina Orang Asli sejak September lalu.
"Operasi tersebut berjalan lancar tanpa insiden kekecohan atau yang tidak diingini berlaku," katanya.
Menurut beliau, seramai 200 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi turut terlibat dalam operasi tersebut.
Pertahan hutan: Orang Asli dibawa ke mahkamah pagi ini
| ARIF ATAN
Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan JKOAK Mustafa Along antara yang akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk direman.
Kesemua Orang Asli yang disumbat ke lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang malam tadi akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk direman pada 8 pagi hari ini.
Penyelaras Biro Orang Asli Parti Sosialis Malaysia (PSM), Suresh Kumar berkata, tiga pihak dikenal pasti sebagai menyalahguna kuasa iaitu polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.
“Hasil daripada perbincangan peguam, kami telah menyoal apa kuasa polis untuk membenarkan Jabatan Perhutanan menahan kesemua Orang Asli di lokas polis.
“Bila kami minta supaya ditunjukkan seksyen mana ada peruntukan itu, kami mendapat jawapan bahawa penahanan mereka dibuat berdasarkan persefahaman antara Jabatan Perhutanan Kelantan dengan polis.
“Kami pasti ini tidak boleh dibuktikan di mahkamah esok (hari ini). Kami tidak tahu mereka ditahan di bawah seksyen apa?” katanya dipetik dari rakaman video ketika ditemubual aktivis di perkarangan IPD Gua Musang lewat malam tadi.
Sehubungan itu, beliau memberitahu pihaknya telah membuat laporan polis terhadap Timbalan Ketua Polis Daerah, Ketua Operasi Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ketua Operasi Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan berhubung salah guna kuasa membenarkan penahanan oleh Jabatan Perhutanan di lokap polis.
Bagaimanapun, polis mendakwa kehadiran mereka bagi mengawasi keadaan manakala operasi meroboh sekatan balak di lokasi berkenaan diketuai oleh Jabatan Perhutanan Kelantan.
Terdahulu, Suresh bertemu dengan Timbalan Ketua Balai Polis Gua Musang dan kumpulan Orang Asli di lokap polis.
“Mereka dibawa ke lokap kira-kira pukul 8 malam. Ada 38 orang termasuk Mustafa Along (Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan), Azmi Badul (Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan) dan seorang batin dari Pos Bihai ditahan,” jelasnya lagi.
Dalam hal berkaitan, beliau turut memberitahu satu solidariti bantahan akan diadakan di hadapan bangunan Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut di ibu negara diikuti laporan polis terhadap Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang di Bukit Aman di ibu negara pagi ini.
Wanita Amanah kecam tindakan tangkap Orang Asli pertahan hutan
| MALAYSIA DATELINE
Salah satu sekatan Orang Asli yang sebelum ini berjaya menghalang lori daripada terus mengangkut keluar balak
Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) mengecam penahanan Orang Asli oleh pihak polis dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) di sekatan (blockade) yang dibina oleh Orang Asli Kampung Petei, Gua Musang, Kelantan.
"Kami juga mengecam tindakan pihak berkuasa yang datang bersama-sama 27 pacuan empat roda JPNK dan 8 buah Land Rover Pasukan Gerakan Am (PGA) ke Pos Kampung Petei semalam," kata Ketua Awan Dr. Siti Mariah Mahmud.
Kesemua Orang Asli yang dibawa ke lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang malam tadi akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk direman pada 8 pagi hari ini.
Mereka ditangkap ketika cuba mempertahankan blockade tersebut dalam operasi merobohkannya oleh pihak berkuasa.
Sebelum ini sebagai tindak balas blockade Orang Asal pihak berkuasa perhutanan negeri telah mengenakan blockade untuk menghalang kemasukan bekalan makanan dan perubatan kepada 33 perkampungan Orang Asal yang terlibat.
"Awan mengecam penangkapan terhadap saudara-saudara senegara kami yang berjuang mempertahankan tanah adat mereka daripada dicerobohi oleh kerajaan negeri yang mencanangkan membangun bersama Islam. Apakah Islam membenarkan perampasan tanah (dan hasil mahsul ) yang sudah lama di diami oleh orang asal ( dalam 33 buah kampung) ini?" soal Siti Mariah.
Awan juga mendesak Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Perhutanan Negara agar menjaga hak dan kebajikan tanah adat Orang Asli dan Hutan Simpan.
"Perkara 74 (2) Perlembagaan Malaysia jelas menyebut bahawa perhutanan ialah di bawah kuasa kerajaan negeri. Maka negeri perlu menggunakan budi bicara mereka untuk berunding dengan Orang Asal dan tidak menggunakan kekerasan ke atas mereka," katanya.
MO1 dah bagi amaran kepada warga penduduk Putrajaya dahh...!!!
Hubungan tegang Umno dan Pas makin kendur, kata Najib
| BERNAMA
Hubungan tegang antara Umno dan Pas yang berlaku suatu ketika dulu, kini semakin kendur termasuk di peringkat akar umbi, kata Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Perdana menteri berkata ini berikutan Pas pada masa ini lebih terbuka dan komited bekerjasama dalam memperjuangkan perkara khususnya yang melibatkan kepentingan ummah di negara ini.
“Begitu juga Umno pun bersikap sedemikian dalam banyak hal bila melibatkan soal ummah, soal masa depan negara.
“Ada bab di mana kita memang mempunyai pendapat yang sama tetapi kita belumlah macam 1974 dalam bentuk satu kerajaan campuran dan sebagainya,” katanya pada Program Soal Jawab Khas bersempena Perhimpunan Agung Umno 2016, di sini, semalam.
Najib menegaskan, Umno dan Pas berjuang menerusi wadah parti masing-masing.
“Kita bergerak dalam kumpulan, kelompok masing-masing, dalam parti masing-masing. Ada masa kita berbeza pendapat, ada masa kita tak sama pendirian tetapi ada kala juga kita boleh mempunyai pendirian yang sama,” katanya.
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan parti itu mempunyai hak untuk menjalin kerjasama dengan sesiapa saja atau mana-mana parti politik termasuk Umno.
Hadi berkata kerjasama dengan Umno lebih tertumpu kepada soal untuk menegakkan syiar Islam demi kepentingan umat Islam di negara ini dan jalinan itu bukan atas kepentingan politik.
Ramai lagi pemimpin Umno Kedah sertai Amanah menjelang PRU14
| MOHD ALI HASHIM
Asmirul Anuar Aris
Tidak dapat dinafikan ramai lagi pimpinan Umno Kedah akan meninggalkan parti tersebut menjelangnya pilihan raya umum ke 14 yang akan datang, kata Ketua Pemuda Parti Amanah Kedah Asmirul Anuar Aris.
Beliau berkata, walaupun sebelum ini ramai bekas pimpinan Umno dari pelbagai peringkat dan sayap telah menyertai Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) di Kedah, kejutan ini mampu menggoncang kedudukan Umno tidak lama lagi.
"Terdapat beberapa lagi tokoh Umno yang amat disegani di Kedah telah pun menyatakan hasrat mereka untuk meninggalkan Umno tidak lama lagi.
"Cumanya masa yang akan menentukan untuk mereka mengisytiharkan diri menyertai komponen Pakatan Harapan di Kedah.
"Saya optimis bukan saja tokoh-tokoh yang berpengaruh akan meninggalkan Umno Kedah, sebaliknya penyokong mereka juga akan turut serta, " jelasnya lagi.
Asmirul juga berkata antara pimpinan yang akan meninggalkan Umno merupakan tokoh yang mempunyai pengaruh.
"Mereka ini memilki kriteria kepimpinan yang menjadi pilihan rakyat.
"Salah seorang dari pimpinan ini adalah dari Bahagian Baling yang turut akan menyertai Bersatu tidak lama lagi.
"Keberanian mereka meninggalkan Umno membuktikan bahawa Umno sudah tidak lagi relevan untuk membela nasib orang Melayu dan juga rakyat di Kedah, " tegasnya lagi.
Malah katanya, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang semakin lemah dan terpalit dengan pelbagai dakwaan skandal menjadi punca ramai yang akan meninggalkan Umno tidak lama lagi.
Tambah Asmirul lagi, hilangnya keyakinan mereka terhadap kepimpinan Najib turut mempengaruhi tindakan yang diambil walaupun ramai antara tokoh-tokoh tersebut adalah orang yang berpengaruh di Baling dan juga Kedah.
"Pengaruh yang ada pada Tun Mahathir sebagai pemimpin telah masak dengan sepak terjang Umno Kedah juga mempengaruhi sokongan yang diambil oleh pimpinan tersebut kali ini.
"Selain itu sokongan yang ada pada Datuk Seri Mukhriz sebagai bekas Menteri Besar Kedah yang disegani dan dekat dengan 'grass root' Umno juga menjadi faktor kepada sokongan yang akan menjadi realiti tidak lama lagi.
"Kejutan ini nanti akan memberi satu tamparan hebat bukan saja kepada kepimpinan Umno Kedah, tetapi juga kepada kepimpinan Najib yang penuh dengan seribu satu macam persoalan yang meragukan, " ujarnya lagi.
Karikatur soladariti Orang Asli viral di media sosial hari ini.
Orang asli bersolidariti di hadapan Balai Polis IPD Gua Musang untuk teman mereka yang ditangkap hari ini.
Bebaskan tahanan Orang Asli atau SUK Kelantan dikepung
| ARIF ATAN
Pemuda Amanah Kelantan mendesak supaya kesemua Orang Asli di Gua Musang yang ditangkap ekoran operasi merobohkan halangan (blocked) di laluan pengeluaran hasil balak hari ini segera dibebaskan.
Ketuanya, Hazmi Hassan berkata, penangkapan Orang Asli di hulu negeri itu hanya kerana mereka mempertahankan hutan yang sedang digondol rakus oleh pembalak berlesen adalah akibat kelemahan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan.
“Jika mereka terus menangkap Orang Asli di sana, ini bermakna tiada beza antara Kelantan dan Israel. Kezaliman tetap sebuah kezaliman walau dilakukan oleh sang kopiah putih berjubah labuh.
“Kita perlu mengepung Pejabat SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan), biar mereka rasa bagaimana ‘nikmat’ dikepung. Bebas Orang Asli atau SUK dikepung!” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas langkah kerajaan negeri Kelantan menyelesaikan konflik antara masyarakat Orang Asli dengan syarikat pembalak, Hazmi mempersoal sejauhmana proses rundingan melibatkan kedua-dua pihak terbabit telah dilakukan.
“Sehingga kini, berapa kalikah wakil Kerajaan Kelantan telah membuat perundingan bersama Orang Asli bagi membuat keputusan yang bersifat situasi menang-menang ini?
“Jelas, MB (Menteri Besar) dan TMB (Timbalan Menteri Besar) Kelantan selaku pihak yang bertanggungjawab terhadap isu pembalakan dan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan membela kebajikan rakyat telah gagal sepenuhnya dalam hal ini,” bidasnya.
Menyifatkan penindasan dan ancaman terhadap komuniti Orang Asli di negeri itu seperti nasib dialami rakyat Rohingya, beliau menyeru supaya memperbanyakkan doa.
“Doakan semoga Orang Asli diberi perlindungan. Banyakkan membaca Qunut Nazilah, agar pihak yang menzalimi diberi keinsafan atau dijatuhkan bala dari Allah.
“Jika kita bersedih dengan nasib rakyat Rohingya yang dizalimi oleh rejim Myanmar, maka apalah bezanya antara Rohingya dan Orang Asli di Gua Musang yang sama dizalimi oleh rejim pemerintah ini,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 23 November lalu dilapor berkata kerajaan negeri akan mengenakan tindakan undang-undang ke atas Orang Asli jika rundingan supaya membuka halangan terbabit gagal.
Siang tadi gerombolan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan bersama polis, FRU dan Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu dan memusnahkan halangan berkenaan dan menangkap 41 Orang Asli.
Turut dirosakkan beberapa rumah Orang Asli manakala telefon bimbit dan kamera dirampas. Kesemua mereka yang ditahan berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.
Khalid yakin penyerangnya berniat melancarkan serangan di dalam kawasan Parlimen, manakala suami isteri yang menghalang penguat kuasa wanita MBSA itu tidak berniat berbuat demikian dan ia berlaku tanpa perancangan.
RAWANG: Khalid Abdul Samad akan membandingkan hukuman yang bakal dijatuhkan ke atas penyerangnya di Parlimen dan pasangan suami isteri yang mengasari penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), minggu lalu.
“Saya mahu lihat, setakat manakah hukuman yang akan dijatuhkan ke atas penyerang saya ini berbanding hukuman yang dijatuhkan ke atas 2 individu didakwa menghalang penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) baru-baru ini,” katanya dalam ceramah di Bandar Tasik Puteri, Rawang, malam tadi.
Ini kerana, ahli Parlimen Shah Alam itu yakin penyerangnya berniat melancarkan serangan di dalam kawasan Parlimen, manakala pasangan suami isteri yang menghalang penguat kuasa wanita MBSA di Sungai Buloh itu tidak berniat berbuat demikian dan kejadian itu berlaku tanpa sebarang perancangan.
Bagaimanapun, kedua-duanya dijatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam, Jumaat lalu.
“Saya nak lihat hukumannya nanti. Kalau lebih ringan daripada yang dikenakan ke atas 2 orang itu atau setakat denda sahaja, tahulah kita,” katanya dalam majlis anjuran PKR Selayang itu.
Seramai 8 lelaki dan 3 wanita berusia 28 hingga 54 tahun, termasuk anak Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman ditahan polis Jumaat lalu dan dibebaskan malam kelmarin, bagi membantu siasatan berhubung serangan ke atas Khalid pada Khamis lalu.
Sekumpulan individu dilaporkan mengacau Khalid dan menjerit “Hidup Pasir Salak! Hidup Pasir Salak!” ketika beliau memasuki bangunan Parlimen, Khamis lalu, kerana berang dengan tindakannya menggelar Tajuddin sebagai “menteri sial” selepas merujuk Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai “satu-satunya wanita dengan Kok” di Parlimen pada Isnin minggu lalu.
Kelmarin, Khalid dilaporkan berkata, beliau tidak percaya Umno sebodoh itu untuk mengarahkan ahli-ahlinya menyerang beliau di luar bangunan Parlimen, minggu lalu.
Dalam pada itu, pengarah komunikasi Amanah itu turut mendakwa kerajaan mengamalkan budaya samseng dengan menahan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.
Katanya, Sosma digubal untuk mengawal pengganas, tetapi Maria hanyalah ibu tunggal berusia 60 tahun beranak 3 yang memperjuangkan pilihan raya adil dan bersih dengan mengajak orang ramai berhimpun secara aman.
“Inilah undang-undang Sosma yang kami bahas sampai jam 4 pagi (di Parlimen) kerana ia undang-undang yang zalim.
“Kalau pilihan raya bersih, semua orang akan puas hati yang dengan sendirinya mengekang keganasan. Kalau pilihan raya tak bersih, pihak yang teraniaya akan tidak berpuas hati dan boleh melahirkan bibit keganasan.
“Jadi, apa yang Maria buat ini nak elakkan keganasan dan sangat tidak wajar dikenakan tindakan di bawah Sosma,” kata Khalid.
Cina Malaysia dah tak mahu undi BN, Najib bawa masuk cina pure punya dari Negara China, amacam bijak tak Najib?
Tun M dakwa lebih 700,000 warga China akan diberi IC untuk mengundi
TUN Mahathir mendakwa lebih 700,000 warga China akan diberi kad pengenalan untuk membolehkan mereka mengundi pada pilihanraya akan datang. Beliau berkata demikian dalam Ceramah Bicara Rakyat Bersatu di Krubung, Melaka.
"Cerita yang saya dengar amat menakutkan, ada usaha untuk memberi kad IC kepada lebih 700 ribu orang ini (warga China) supaya mereka boleh mengundi dalam pilihanraya yang akan datang, ini cadangan kerajaan Najib," dakwanya.
Dakwanya lagi, Dato' Seri Najib Tun Razak berada di Negara China selama enam hari bukan sahaja berunding untuk membina landasan keretapi, tetapi turut 'berunding' untuk memasukkan lebih 700,000 warga China ke Forest City sebuah bandar baru yang dibina di Johor Baharu.
Tun Mahathir sebelum itu mendakwa, Forest City yang sedang dibina di Johor Baharu membina bagunan yang rapat, bagi rumah-rumah untuk menempatkan 700,000 orang.
Menurutnya lagi, orang Melayu di Johor tidak mungkin mampu membeli dan memiliki bangunan pencakar langit yang harganya tidak kurang dari RM1 juta bagi setiap unit rumah yang memiliki dua bilik.
Malah dakwanya lagi ada unit rumah yang jauh lebih mahal sehingga RM4 juta hingga RM5 juta bagi setiap unit.
"Orang Johor, Melayu ataupun Cina, ataupun India tak mungkin memenuhi bandar yang sebegini luas, bandar yang mempunyai penduduk sebanyak 700 ribu manusia,".
"Mereka akan dibawa daripada luar negeri, untuk membeli rumah dan tinggal di situ, hari ini pun mereka sedang melakukan perbuatan ini,".
"Tak lama lagi saya percaya akan terdirilah sebuah bandar yang diduduki oleh orang yang tidak tahu (tentang) Malaysia sama sekali, tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu, bahkan bahasa yang mereka guna juga tidak boleh difahami oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum," katanyanya.
Strategi 'satu lawan satu' pemimpin bahagian khuatir jejas sokongan BN
| DALIA ISMAIL
Pemimpin Umno di peringkat bahagian melahirkan kekhuatiran sekiranya strategi parti pembangkang untuk menjadikan pertandingan 'satu lawan satu' berkemungkinan akan mengurangkan sokongan pengundi terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).
Ketua Umno Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo berkata,jika perkara ini berlaku Umno-BN akan berhadapaan dengan tentangan yang sangat kuat daripada parti pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
"Jika berlaku 'satu lawan satu' kita akan ditentang habis- habisan. Sekiranya berlaku tiga penjuru atau lebih ia memberi ruang kepada Umno-BN untuk kembali merampas kerusi yang pernah kita kalah dalam PRU13 lalu," ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Walaupun beliau mengakui cabaran kuat Umno hari ini adalah tentangan terhadap kepimpinan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan perpecahan ahlinya, namun ujarnya, ia tidak sesekali boleh menjejaskan parti.
"Najib dihentam kerana beliau seorang perdana menteri dan presiden Umno-BN. Kalaulah Najib itu `Ismail Kijo' tiada siapa yang nak hentam.
"Sedangkan disebalik isu 1MDB sebenarnya ia adalah satu institusi pelaburan yang perlu dibanggakan orang Melayu. Kita sudah ada PNB,Tabung Haji, Khazanah, Petronas misalnya, dengankewujudan 1MDB ini adalah satu lagi platform menjadikan konlomerat Melayu lebih meluas," ujarnya memberikan pandangan berkaitan 1MDB dan skandal kewangan yang dikaitkan dengan Najib.
Justeru ujarnya lagi, sekalipun Umno-Pas akan bekerjasama dalam beberapa perkara untuk kepentingan Melayu dan Islam, beliau masih mengharapkan prioriti seharusnya diberikan kepada Umno berbanding rakan sekutu dari parti pembangkang.
"Sebagai pemimpin diperingkat bahagian kita patuh kepada kehendak pucuk pimpinan parti. Namun dalam masa sama pemimpin dan ahli diperingkat bahagian dan cawangan perlu mempunyai semangat untuk mempertahankan parti dari pelbagai dakyah dan fitnah pakatan pembangkang dan parti yang menyokong mereka," ujarnya yang merujuk kepada parti serpihan seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPB).
Beliau menafikan dakwaan PPBM terdapat ramai ahli Umno kini keluar menyertai parti serpihan itu. Bahkan ujarnya lagi, ia hanya `wayang' yang dimainkan dikalangan pemimpin yang kecewa dalam perjuangan mereka yang gagal dalam Umno.
"Ahli Umno tidak berkurangan dengan wujudnya PPBM... itu wayang mereka. Masih ramai Melayu yang setia pada Umno kerana mereka tahu perjuangan Umno sejak memerintah negara ini.
"Walaupun ramai melihat perjuangan PPBM suci dan bersih kerana kini berbaik-baik dengan DAP tetapi orang Melayu majoriti elergi dengan DAP lebih-lebih lagi bekas ahli dan pemimpin Umno yang kini menyertai PPBM," sindirnya.
Datuk Ismail Kijo sebelum ini pernah menjadi Adun Lembah Jaya selama tiga penggal. Namun, beliau kalah pada PRU ke-12 di tangan calon Pas di Dun sama.
Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk bertanding dalam PRU-14 akan datang,beliau berkata, sedia galas tanggungjawab itu sekiranya diberikan peluang oleh pucuk pimpinan parti.
Bagaimanapun katanya, pemilihan calon-calon kali ini begitu teliti dilakukan Umno-BN yang kini dikawal tiga agensi tambahan berbanding lima agensi sedia ada sebelum ini untuk memantau kelayakaan calon yang akan terpilih.
"Kita semua bercita-cita nak jadi wakil rakyat. Tetapi dalam Umno-BN ada prosedur untuk seseorang itu jadi calon.
"Dulu Umno-BN perlu dapatkan maklumat daripada SB (Special Branch), Jasa, Kemas,MIO dan Majlis Keselamatan Negara.
"Contoh yang terkini dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sudah ada tambahan tiga agensi lagi yang tak ada sesiapa pun tahu agensi mana yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menilai calon.
"Jadi saya serah pada pucuk pimpinan asalkan mereka itu dari Umno.... kita akan sokong,"ujarnya.
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah dan tiga wakil rakyat Pakatan Harapan hari ini dipanggil polis untuk memberi kenyataan berhubung himpunan BERSIH5 pada 19 November lalu.
Selain Saifuddin, turut dipanggil Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti Dr Norlela Ariffin, Adun Sekinchan Ng Suee Lim dan Adun Sri Andalas Dr Xavier Jayakumar.
Kesemua mereka memberikan keterangan kira-kira sejam, bermula jam 10.15 pagi di balai polis Travers di ibu negara.
Mereka turut diiringi tiga orang peguam iaitu Saiful Izham Ramli, Adi Dzulkarnain Zulkafly dan Nik Zarith Nik Moustpha.
Selain itu, menurut Saiful mereka yang dipanggil pada hari ini disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Perhimpunan Aman.
"Ada lagi dalam senarai mereka (pihak polis) yang akan dipanggil dari semasa ke semasa.
"Pihak kita akan atur jadual individu lain yang akan dipanggil untuk membantu pihak polis selesaikan siasatan," kata Saiful.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi wakil rakyat berkenaan memberikan keterangan.
Selain itu, Saifuddin pula berkata, semasa memberi keterangan beliau ditanya mengenai kehadirannya pada perhimpunan berkenaan serta sama ada mengetahui matlamat BERSIH5.
"Tapi kami semua memilih tak menjawab dan hanya akan menjawab di mahkamah," katanya.
Perhimpunan BERSIH5 diadakan 19 November lalu bertujuan untuk menuntut pilihan raya dan kerajaan yang bersih, pengukuhan demokrasi berparlimen, hak membantah dan memperkasa Sabah dan Sarawak.
Ia dihadiri kira-kira 40,000 orang dan disertai oleh pemimpin masyarakat sivil dan parti politik pembangkang.
C&p, Untuk pekara yang baik, kami harap kita semua dapat bersatu dan mendesak kerajaan Malaysia supaya buat usul untuk menyingkirkan Myanmar dari ASEAN. Dan kami bagi pihak Wanita Keadilan menjemput dan mohon anda semua menyokong usaha yang baik ini. Wanita dan kanak-kanak serta orang tua adalah golongan paling lemah dan kita seharusnya konsisten menghentam mereka yang lakukan kezaliman ini sekian lama. Sila hadir bersama untuk terus bagi tekanan pada mereka. Melayu, Cina & India tak perlu tahu apa agama untuk kita hadir bersama, apa yang kita mahu tahu, di mana perikemanusian mereka.
Pada: Rabu 30/11/2016 Masa: 10 pagi Lokasi: Depan Kedutaan Myanmar
Solidariti warga Sabah buat etnik Rohingya
| ANITA AWANG
Amanah Sabah terdiri dikalangan pemuda dan wanita yang menunjukkan solidariti mereka terhadap kekejaman dilakukan kepada etnik Rohingya.
Kutipan bantuan kemanusiaan etnik Rohingya akan disalurkan kepada NGO Amal Relief Malaysia dan Humanitarian Care Malaysia.
Parti Amanah Negara (Amanah) di seluruh negara mengecam serta membantah penyeksaan dan pembunuhan kejam yang berlaku di Arakan, Myanmar.
Pelbagai kenyataan dan himpunan untuk tujuan tersebut sedang giat dijalankan. Tidak ketinggalan, sayap Pemuda Amanah Sabah dan Wanita Amanah Sabah pagi kelmarin telah mengadakan aktiviti Solidariti Bantahan Penindasan Bangsa Rohingya.
Dengan menghamparkan kain rentang bertulis 'Solidariti Bantah Penindasan Bangsa Rohingya di Myanmar', solidariti tersebut mendapat perhatian serta sambutan baik oleh warga Tamu Gaya Street, Kota Kinabalu.
Ketua Pemuda Amanah Sabah Khairuddin Daud yang mengetuai solidariti ini melahirkan rasa gembira di atas sambutan tersebut.
"Alhamdulillah, kita berasa terharu dan bersyukur atas sambutan baik daripada masyarakat setempat. Ini menunjukkan bahawa masih wujud insan-insan yang peduli dan berkeinginan untuk menghulurkan bantuan kepada insan-insan lain yang tertindas di luar sana. Kita harus melihat isu ini dari kaca mata kemanusiaan dan hak asasi yang merentasi sempadan politik, agama, bangsa dan negara.
"Sebanyak 500 lebih tandatangan orang ramai berjaya dikumpulkan sepanjang aktiviti ini dijalankan sekaligus menunjukkan rasa kesungguhan mereka menegakkan dasar kemanusiaan dan membantah tindakan kerajaan Myanmar yang membiarkan kezaliman ke atas bangsa Rohingya," katanya.
Beliau berkata ternyata, rakyat Malaysia di seluruh negara sudah mengetahui secara jelas tentang isu ini, termasuklah rakyat di peringkat akar umbi.
Pemimpin-pemimpin parti politik di peringkat tertinggi pula begitu giat mengadakan bantahan kepada kerajaan Myanmar.
Pemuda Amanah di peringkat nasional bukan sahaja mengadakan himpunan aman, bahkan telah menghantar memorandum bantahan ke kedutaan Myanmar baru-baru ini.
"Kami di peringkat pemuda dan seluruh parti Amanah menentang sekeras-kerasnya segala diskriminasi etnik dan agama walau di mana sahaja ia berlaku. Kami juga menentang semua pembunuhan kejam yang bersifat tidak berperikemanusiaan", tegas Khairuddin.
Selain itu, Khairuddin juga menjelaskan bahawa Amanah telah memberi beberapa peringatan dan desakan kepada pihak kerajaan berhubung isu ini. Amanah mendesak pihak kerajaan agar menggunakan kuasa Asean, melaksanakan tekanan ekonomi dan ketenteraan bagi memberi amaran yang jelas kepada kerajaan Myanmar. Amanah juga menuntut agar kerajaan menggunakan PBB dan OIC untuk memudahkan mangsa-mangsa mendapatkan bantuan asasi yang diperlukan.
"Amanah tidak sekadar bekerjasama dengan parti-parti politik, tetapi juga dengan NGO dan NGI tempatan serta masyarakat seluruhnya. Kita berharap semua pihak dapat bersatu dalam usaha menyelamatkan saudara kita di Rohingya. Teruskan berusaha dengan apa sahaja cara yang mampu kita lakukan. Berterusanlah menyebarkan berita tragedi ini di media sosial dan medan lapangan.
"Kutiplah derma atau sumbangan barang asasi melalui agensi yang berautoriti dan amanah dalam menyampaikan. Akhir sekali, jangan putuskan doa kita kepada mereka. Semoga tuhan membela nasib mereka secepat yang mungkin, insyaallah amin," terang beliau sambil mengakhiri perbualan.
Menyebut soal penyelesaian kepada tragedi seumpama ini, Azlin, AJK Wanita Amanah Sabah, mengatakan perlunya kesatuan yang kukuh daripada barisan pimpinan negara yang lain, terutamanya negara-negara serantau Asia. Dengan adanya kesatuan suara daripada pemimpin-pemimpin negara sedikit sebanyak memberi kuasa dalam menentukan nasib malang atau untung rakyat di negara-negara jiran mereka.
"Sesebuah kerajaan yang zalim perlu dihukum oleh masyarakat dan pemimpin dunia sehingga mereka akur kepada undang-undang antarabangsa dan berhenti dari melakukan kezaliman itu.
"Kita perlu menuntut agar warga Rohingya diberikan hak kewarganegaraan yang adil dan saksama dengan warganegara yang lainnya", ulas beliau lebih lanjut.
Sayap pemuda dan wanita Amanah Sabah mengucapkan jutaan terima kasih di atas solidariti dan sokongan warga Sabah kepada bangsa Rohingya. Hasil kutipan sebanyak RM 2,372.00 berjaya dikumpulkan dalam solidariti tersebut dan akan disalurkan kepada NGO Amal Relief Malaysia dan Humanitarian Care Malaysia.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.