Krisis Pencerobohan Di Sabah
Kemelut tuntutan 'Sultan Sulu' semakin meruncing ekoran tindakan serangan terbaru di Semporna malam semalam yang melibatkan lima orang anggota polis terbunuh, seorang inspektor wanita dan seorang Datuk ditawan dalam rumah.Ketua Polis Negara, Ismail Omar mengesahkan bahawa lima pegawai polis terbunuh dan dua cedera akibat serangan hendap puak militan walaupun dipercayai bukan kumpulan yang sama.
Bagaimanapun, Pasukan Perisik Sabahkini.net di Semporna mendapat maklumat bahawa puak militan yang mengaku sebagai Tentera Sultan Sulu berada di tiga lokasi yang berbeza di Semporna dan sebentar tadi telah menawan Ketua Daerah Sulabayan, Malali Haji Mali dirumahnya di Kampung Tagasan, Semporna.
Sehingga ke saat ini PDRM belum mengesahkan berita mengenai nasib Inspektor Azra yang kononnya berjaya ditawan kumpulan militan semalam.
Dalam pada itu tiga orang militan berjaya ditahan di Simpang Jalan Haji Jalan di Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu; manakala lima lagi dapat meloloskan diri dari kepungan ketat polis berdekatan Tg Labian apabila pasukan keselamatan berjaya mengesan mereka setelah operasi memburu saki baki militan @ tentera Mat Bom dilancarkan.
Menurut penduduk kampung, akibatnya mereka berada dalam kebuluruan kerana terputus bekalan makanan dan setakat ini belum ada sebarang bantuan yang diberikan kepada penduduk di 13 kampung tradisi berkenaan yang terperangkap dan mengalami risiko ditawan puak Militan.
Siasatan Pasukan Perisik Sabahkini.net mendapati bahawa bukan sahaja Suluk, malah Bajau Sibutu, Bajau Simunul dan Iyakan juga turut menjadi 'Tentera Berani Mati' Sultan Sulu yang membentuk sembilan kumpulan.
Setakat ini hanya dua kumpulan sahaja yang memunculkan diri di Kampung Tanduo, Tungku dan Sri Jaya, Simunul, Semporna; manakala enam lagi dipercayai akan menyusul pada bila-bila masa.
Kumpulan militan yang dianggarkan seramai 2,000 orang telah berada di Sabah sejak lima bulan lalu; kebanyakannya adalah warga Penyu yang memiliki IC Projek merancang untuk menyerang dan menawan Tanduo, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan yang sebelum ini adalah Wilayah Sultan Sulu.
Menurut maklumat tidak rasmi Militan Filipina, seramai 2,000 lagi sedang memasuki Sabah melalui Jolo bagi menjalankan Operasi 'Magsabil' (Jihad dan Shahid) untuk menawan Sabah yang sebelum ini didakwa sebagai Tanah Jajahan Sultan Sulu.
Dalam kejadian semalam, satu keluarga yang menjadi Tebusan di Semporna telah dapat diselamatkan oleh Pasukan Keselamatan namun agak malang kerana dua anggota keselamatan terkorban dalam kejadian serang hendap; manakala dua penjenayah berjaya ditembak mati.
Bagaimanapun tiga anggota polis yang terkepung dalam sebuah rumah lain tidak dapat menyelamatkan diri dan tewas di tangan militan menjadikan kesemuanya 5 orang polis terkorban setakat ini.
Identiti mereka belum didedahkan setakat ini.
PDRM juga masih membisu berhubung laporan penculikan Inspektor Azra, sekalipun keluarganya tidak menafikan kemungkinan beliau diculik adalah positif kerana tidak dapat mengesan beliau sejak semalam.
Pasukan Perisik Sabahkini.net turut menerima maklumat bahawa Kunak Kudat, Lahad Datu dan Sandakan akan diserang pada bila-bila masa dan pihak berkuasa telah mengambil berjaga-jaga sejak malam tadi.
Sebentar tadi, (2.45 petang) sekumpulan militan dilaporkan telah mendarat di Kampung Desa Bajau dan pasukan keselamatan sedang bergegas ke lokasi yang dilaporkan penduduk kampung untuk mencegah sebarang kemungkinan; bagi mengelak nasib malang yang menimpa penduduk Simunul semalam berulang. Begitu juga di Kinabatangan telah dilaporkan berlaku tembak menembak di kawasan pasar dan belakang hospital, namun belum dikenalpasti jumlah dan puak yang terlibat.
Nampaknya Sabah akan menghadapi Gelombang Tsunami Reverse Take Over yang mengejutkan jika pihak berkuasa masih 'berhidung tinggi' dan enggan mendapatkan kerjasama penduduk kampung mengesan anggota Militan yang tinggal di kampung berkenaan; sebagaimana kejayaan pasukan keselamatan menahan salah seorang yang disyaki anggota kumpulan militan di Semporna, Haji Tampakan Pehakan.
Setakat ini PDRM belum mengesahkan tangkapan berkenaan sekalipun Pasukan Keselamatan di Tanduo dan sekitarnya masih menunggu arahan 'Tembak' daripada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara setelah berjaya mengesan saki baki militan berkenaan.
Persoalan yang bermain di benak anggota keselamatan ialah bagaimana mereka dapat mengenalpasti kumpulan militan kerana wajah, bahasa dan budaya mereka hampir sama dengan penduduk kampung; terutama yang mendapat IC Projek; umpama musuh dalam selimut yang menghalakan peluru kepada kita dan menjadi 'Si Kitul' membenarkan militan masuk demi cita-cita 'kosong' Sultan yang kehilangan negara; Sultan Pasir Berdengung!
p/s: [Gambar] Salah seorang militan yang berjaya ditembak mati di Semporna, manakala kawalan ketat di Semporna bagi memburu saki baki kumpulan militan yang menyerang hendap pasukan polis semalam.
Source: Jalan Pulang
Selamatkan Malaysia!
No comments:
Post a Comment