Isu Alam Sekitar Melangkaui Rasisme
(Aktivis alam sekitar dari Himpunan Hijau (HH) bersama-sama Muslimat PAS dan Pakatan Rakyat ketika PRU-13 baru-baru ini....mereka berpadu tenaga untuk alam sekitar)
Tidak ada sesiapa yang menjangka rahmat di sebalik keputusan pimpinan PAS Pusat untuk memisahkan Lajnah Pengguna Dan Alam Sekitar kepada dua lajnah dua tahun yang lalu.
Mungkin insiden tanah runtuh di Hulu Langat pada Mei 2011 telah mendesak PAS untuk lebih memberikan tumpuan yang khusus kepada isu Alam Sekitar di seluruh negara agar insiden yang berkait-rapat dengan kemusnahan alam sekitar sehingga menjejaskan Keselamatan dan Kesihatan rakyat dapat dicegah terlebih awal dan bukan sebaliknya.
Inilah sikap pro-aktif PAS dalam melaksanakan 5 kewajipan utama yang telah digariskan ISLAM iaitu pemeliharaan Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta Benda sehingga rahmat disebalik tuntutan ISLAM itu bukan sahaja melingkari struktur kehidupan Umat ISLAM malah merentasi seluruh Rakyat di Negara ini tanpa mengira batas Kaum dan Agama.
Kami akui, isu Alam Sekitar telah merapatkan jurang di antara kaum dan agama sehingga merubah perspektif serong sesetengah komuniti bukan Islam terhadap Islam dan PAS.
Kesannya boleh dilihat dari keputusan PRU-13 khususnya kemenangan besar PAKATAN RAKYAT di 4 Parlimen di Pahang (Kuantan, Indera Mahkota, Raub dan Temerloh) dengan majoriti undi yang lebih besar berbanding PRU yang lalu.
Tidak ketinggalan juga kejayaan Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack yang berjaya mengurangkan 12 ribu majoriti besar undi MCA di Bentong Pahang kepada hanya 379 undi dan hanya 462 undi di Parlimen Cameron Highlands.
Kesemua calon Pakatan Rakyat yang juga aktivis alam sekitar berjaya memenangi kesemua kerusi DUN dan Parlimen dengan majoriti undi yang lebih besar kali ini khususnya di Parlimen Kuantan dan di Parlimen Indera Mahkota.
(Aktivis Alam Sekitar dari Stop Lynas Coalition (SLC) membawa bendera PAS dan Pakatan Rakyat ketika PRU-13 baru-baru ini.)
Isu Lynas di Kuantan, isu ‘Cyanide’ dari syarikat perlombongan emas RAGM di Raub, isu pelupusan sisa buangan Lynas di Temerloh dan isu pencemaran sungai, Empangan hidroelektrik Ulu Jelai serta penerokaan haram hutan dan tanah runtuh di Cameron Highlands jelas telah menghukum keegoan Kerajaan BN Pahang di negeri Perdana Menteri itu.
Tidak dinafikan tumbangnya MCA dan Gerakan banyak dipengaruhi fenomena gerakan aktivis alam sekitar di seluruh Negara. Malah disaat artikel ini ditulis, Tuw Yi Lan (72 Tahun) dari Kuantan sudah 20 hari tidak menjamah makanan malah sanggup mengorbankan dirinya agar Kilang Lynas dapat segera ditutup.
Mewakili Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar PAS Pahang, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Pahang dan di seluruh negara kerana sanggup berjuang bersama-sama kami dalam memastikan aspek alam sekitar di negara ini khususnya di Pahang dapat terus dilindungi demi masa hadapan anak dan keturunan kita.
Tidak dilupai juga peranan besar Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat yang dipimpin oleh Haji Zulkefly Mohamad Omar kerana berjaya mengangkat isu alam sekitar khususnya dari Pahang ke peringkat nasional sehingga berjaya mencetuskan sebahagian dari ‘Tsunami Rakyat’ itu dalam PRU-13 baru-baru ini.
Ketika memegang tangan dan mengesat air mata beliau yang sedang terbaring di Wad Kajian Saraf Hospital Kuala Lumpur minggu yang lalu selepas dipindahkan dari wad ICU akibat serangan tekanan darah tinggi ketika berkempen dalam PRU-13 baru-baru ini, walaupun dalam keadaan masih tidak kuat berdiri dan berjalan selepas pembedahan dikepala beliau, beliau tidak henti-henti mendesak saya agar membawanya keluar dari Wad itu agar dapat terus berkhidmat dan berjuang untuk PAS dan Rakyat.
Banyak lagi isu yang perlu diselesaikan katanya. Saya melangkah keluar dari wad meninggalkan beliau dengan linangan air mata kerana terharu dengan jiwanya yang kental serta semangatnya yang tinggi walaupun dalam keadaan seperti itu.
Harga yang amat tinggi dan telah dibayar beliau demi Islam, PAS dan rakyat.
Semoga pengorbanan mereka tidak sia-sia, ayuh kukuhkan barisan tentera kita dan sama-sama kita tumbangkan Umno dan Barisan Nasional dalam PRU-14 nanti.
*Penulis adalah Setiausaha Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar PAS Pahang merangkap AJK Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia.
No comments:
Post a Comment