Selasa, 21 Mei 2013
Kenyataan Terbuka
21 Mei 2013
WAHAI ZAHID, MENIPU PILIHANRAYA JAUH LEBIH TIDAK DEMOKRATIK
Merujuk kenyataan Zahid dalam portal Malaysiakini semalam, kononnya 'rampasan kuasa tidak demokratik dan perlu terima keputusan PRU', Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengingatkan Zahid Hamidi supaya jangan lupa bagaimana dia mempertahankan rampasan kuasa perak pada Februari 2009.
Apakah rampasan kuasa di Perak itu cukup demokratik? Mengapa tidak terima sahaja keputusan PRU12 lalu bahawa Perak dimenangi Pakatan Rakyat?
Mengenai kebangkitan rakyat pasca PRU13, Zahid janganlah bersikap munafik. Zahid tahu dan sengaja memutar belit isu dengan menyebut seolah rampasan kuasa akan berlaku. Rakyat protes bukan kerana mahu merampas kerajaan melalui jalanraya tetapi turun kerana pilihanraya 5 Mei lalu penuh penipuan. Kemenangan rakyat pada 5 Mei telah digelapkan maka rakyat keluar menyatakan bantahan untuk menuntut kembali demokrasi yang dicuri.
Telah diumumkan oleh Gagasan #SuaraRakyat505 bahawa tarikh 25 Mei dipilih sebagai acara kemuncak untuk pesta rakyat menuntut demokrasi, manakala lokasi berhimpun adalah di depan Amcorp Mall bermula petang. Gabungan yang disertai lebih 50 NGO ini menyasarkan j/kuasa tertinggi SPR meletakkan jawatan segera sebagai tuntutan yang pertama dan utama.
SPR menjadi punca utama kecurangan besar PRU-13 dengan pelbagai taktik kotor yang diatur untuk memenangkan pemerintah. Malah, kononnya SRP direformasikan, tetapi senarai daftar undi masih tidak bersih dan paling penting ialah apabila dakwat kekal yang dijamin tahan lebih lima hari tidak mampu bertahan untuk 5 minit. Kalau beginilah reformasi pilihanraya yang ditunjukkan, bukan bukan sekadar celup jari tetapi celup kepala pun boleh menipu tetap boleh berlaku penipuan.
Oleh demikian, semua rakyat diseru untuk bersama pada 25 Mei nanti yang merupakan kemuncak kesinambungan belasan himpunan besar Blackout505, dalam menyatakan protes dan bantahan terhadap kecurangan PRU-13.
SAMM juga meminta Zahid selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri jangan ulang kesilapan Hisham yang asyik berpolitik mempergunakan agensi bawah KDN untuk kepentingan politik sehingga jenayah berleluasa.
Wahai Zahid ketahui atau tidak bahawa rumah kakak Muhiyuddin telah dirompak dan rumah adik IGP telah dipecah masuk ketika polis sibuk siasat Adam Adli dan Zahid sibuk mempolitikkan isu bantahan rakyat terhadap PRU yang kotor.
Percayalah, rakyat tetap akan bangkit menuntut demokrasi. Rakyat telah beri peluang, telah bersabar dan beri laluan untuk pilihanraya bersih dan adil. Malangnya rakyat dikhianat dengan penipuan pilihanraya, kemenangan dirampas dan hak demokrasi bersuara telah ditutup rapat. Rakyat tetap akan bangkit dan kekuatan rakyat tidak mampu dibendung, 25 Mei, Amcorp Mall.
Suara Rakyat Suara Keramat
CHE'GUBARD
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Posted by Edyes Reduan at 2:02 PM /SAMM
No comments:
Post a Comment