Tuduhan "Red Beans Army' dibiayai DAP terbukti bohong
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, bagaimana mereka yang kononnya bergelar wartawan boleh bersekongkol mencipta penipuan mengenai 3,000 tentera siber “Red Beans Army” dibiayai DAP yang hanya wujud dalam imaginasi liar mereka.
Katanya, pembohongan mengenai Red Beans Army yang kononnya dibiayai DAP hanya sebahagian daripada jalan cerita yang lebih besar sejak Januari lalu untuk memburuk-burukkan DAP dengan pembohongan dan penipuan serta paling menyedihkan apabila terdapat bekas ahli dan pemimpin DAP yang bersedia untuk bertindak begitu hina dengan berbohong dan menipu untuk meneruskan agenda UMNO/BN.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, siasatan awal mendapati satu konspirasi yang dibiayai UMNO telah dilancarkan tiga bulan sebelum pembubaran Parlimen, 3 April lalu untuk memburuk-burukkan DAP, termasuk dongeng 3,000 tentera siber “Red Bean Army”.
“Mereka mendakwa DAP kononnya dengan bajet setinggi RM100 juta sehingga RM1 bilion sepanjang enam tahun lalu membiayai tentera siber “Red Beans Army” bertujuan membunuh karakter pemimpin UMNO/BN di ruang siber.
“Penyebar utama pembohongan “Red Bean Army” adalah media cetak milik UMNO/BN, termasuk Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan The Star, baik sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-13, pada 5 Mei lalu.
“Pembohongan dan penipuan mereka tidak menjejaskan DAP kerana tiada siapa yang mempercayai mereka – jika tidak sudah tentu DAP gagal memenangi 38 kerusi Parlimen dan 95 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU ke-13 lalu,” katanya.
Menurut Kit Siang bagi menjustifikasikan pelaburan UMNO/BN ke atas mereka, mereka yang ingkar terhadap DAP itu meneruskan kempen penipuan mereka terhadap pemimpin DAP.
Katanya, sehingga kini, kepimpinan DAP mengabaikan mereka kerana tidak releven dan sekiranya mereka terus dengan pembohongan dan penipuan terhadap pemimpin DAP, maka mereka hendaklah bersedia untuk didedahkan kedurjanaan mereka ~ Roketkini.com
No comments:
Post a Comment