Pages

Wednesday 5 June 2013

‘MCA tutup kedai’ permulaan era politik baru Malaysia - Tamatkan politik perkauman sekarang!

Khamis, 6 Jun 2013
‘MCA tutup kedai’ permulaan era politik baru Malaysia
Roketkini



JANGAN sama sekali menyamakan DAP dengan MCA. Jika dibuat perbandingan, ideologi DAP yang berjuang  demi seluruh anak Malaysia sudah menunjukkan jurang yang nyata. Ternyata, Barisan Nasional (BN) kekal dengan prinsip politik pecah dan perintahnya. Ia lebih jelas jika kita melihat pecahan komponen BN seperti UMNO, MCA, MIC dan parti suku kaum di Sabah dan Sarawak.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) merupakan bukti rakyat berani bangkit menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap BN. Amalan politik pecah dan perintah BN yang menggugat perpaduan semua bangsa negara ini telah lama membuahkan hasil yang jelek. Ini ditambah lagi dengan gejala rasuah, monopoli dan kronisma melampau. Sebab itu tidak hairan apabila undi popular PRU13 lalu memihak kepada Pakatan Rakyat (PR).

Apa jadi dengan MCA, Gerakan?

Selepas tewas teruk, MCA dan Gerakan dengan nada kecewa seolah-olah tidak mampu lagi menampung kekecewaan mereka, lantas kita mendengar bahawa ada pimpinan mereka yang menyalahkan rakyat dengan tohmahan tidak tahu bersyukur. Perangai menyalahkan orang ini sama sahaja seperti UMNO.

Sepatutnya, jika MCA dan Gerakan mahu menjadi parti politik yang ikhlas dan berintegriti, mereka seharusnya bekerja keras, memberi khidmat dan menjadi pengkritik sebarang dasar kerajaan yang tidak pro kepada rakyat. Malangnya komponen BN ini tidak buat begitu, mereka menjalankan ‘ops tutup kedai’, seolah-olah mahu menjatuhkan hukuman kepada rakyat kerana tidak memilih mereka.

Walaupun sesetengah mereka menyatakan mereka tidak akan metutup pusat perkhidmatan secara langsung tetapi hanya akan menghadkan aktiviti mereka kepada kerja dalaman parti, ada pula yang terang-terang menyatakan bahawa dek kerana rakyat tidak menyokong MCA dan Gerakan, tidak bersyukur terhadap jasa baik yang ditaburkan mereka pada masa lalu, lebih baik mereka ‘tutup kedai’ dan memberi perkhidmatan kepada kawasan yang menghargai mereka.

Majlis tertinggi MCA sudah dua kali memutuskan sekiranya mereka kalah teruk, semua ahli MCA tidak akan menerima apa-apa jawatan dan pelantikan sama ada oleh kerajaan di peringkat kerajaan tempatan, negeri, atau Pusat. Saya tidak akan memberi pandangan di atas sesetengah kes di mana ia selaras dengan kemahuan mereka iaitu ‘cakap serupa bikin’ kerana saya rasa rakyat sudah membuat keputusan sendiri.

Tindakan itu menyimpulkan bahawa MCA dan Gerakan tidak punya integriti untuk terus berkhidmat dan mereka wajar dihukum rakyat dengan lebih dahsyat pada PRU-14 akan datang.

Beza DAP dan MCA ibarat langit dan bumi

Apa yang sedang berlangsung dalam senario politik Malaysia kini membuktikan bahawa mentaliti politik MCA dan Gerakan, mentaliti BN secara amnya adalah berdasarkan balasan dan bukannya demi membela dan membangunkan masyarakat.

BN telah banyak mengkhianati rakyat. Ini merupakan hakikat yang tidak boleh dinafikan. Pemimpin BN seolah-olah tidak endah dan tidak malu dengan membiarkan sentimen perkauman dimainkan siang dan malam, mereka juga tidak peduli terhadap kenaikan kos hidup yang tidak seimbang membebankan rakyat.

Saya pernah diberitahu seorang cerdik pandai yang berpengalaman dalam bidang politik dan kemanusiaan, katanya mana-mana individu yang tidak tahu malu, adalah seorang yang tidak bermaruah; dan sesiapa yang tidak bermaruah tidak layak diamanahkan apa jua keyakinan atau kepercayaan kerana mereka sanggup membuat apa sahaja demi kepentingan diri sendiri.

Sejarah menunjukkan bahawa DAP mempraktikkan politik mengikut perjuangan (conviction politics) dan BN pula mengamalkan politik berdasarkan pampasan (compensation politics). Jelas, BN, khususnya MCA dan Gerakan bukan saja berfikiran sempit malah ketinggalan zaman. Kasihan kepada mereka yang memberi keyakinan kepada MCA dan Gerakan.

Tidak kira betapa teruknya DAP tewas dan ditolak rakyat, DAP tidak pernah meninggalkan perjuangan. Lebih penting lagi, DAP tidak pernah menyalahkan rakyat yang tidak memilih mereka malah terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat tanpa peduli kepada imbuhan mahu pun balasan yang diperoleh sama ada positif atau negatif.

Tamatkan politik perkauman sekarang!

Satu hal yang penting selain memberi perkhidmatan kepada rakyat ialah menamatkan politik perkauman. Dengan adanya BN yang ditunjangi parti perkauman UMNO, MCA dan MIC, Malaysia akan terus dibelenggu dengan pelbagai jenis ‘hantu’ kaum yang menghasut. Inilah rahsia kemenangan mereka sejak berbelas penggal memerintah negara.

Sehari wujudnya MCA, MIC dan UMNO, ia bermakna sehari lagi wujudnya politik perkauman; sehari hilangnya parti politik berasaskan perkauman, maka berakhirlah politik perkauman yang menjadi asas penindasan, diskriminasi dan mainan politik yang menakut-nakutkan rakyat. Sudah tiba masanya parti berasaskan perkauman dijauhi.

Rakyat menunggu masa depan Malaysia yang lebih baik. Malaysia milik semua rakyat Malaysia. Kini tibalah masanya untuk menamatkan politik perkauman dan politik balas dendam. Malaysia sebagai sebuah negara Demokrasi Berparlimen mengangkat rakyat sebagai tuan, raja sebagai payung negara. Ayuh bersama bergandingan tangan menghapuskan politik perkauman, menjunjung ketuanan rakyat!
Roketkini/Harakahdaily.

No comments:

Post a Comment