Pages

Monday, 3 June 2013

Sekatan Nurul Izzah ke Sabah ditarik balik, kata polis

Selasa, 4 Jun 2013
Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Hamza Taib berkata tiada sesiapa lagi yang dilarang masuk ke negeri Borneo

OLEH MD IZWAN
JUNE 03, 2013

KUALA LUMPUR, 3 Jun ― Larangan ke atas pemimpin pembangkang Pakatan Rakyat Nurul Izzah Anwar daripada memasuki Sabah telah ditarik balik, kata pihak polis yang mengesahkan perkara tersebut hari ini.

Memetik laporan Astro Awani, Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Hamza Taib berkata tiada sesiapa lagi yang dilarang masuk ke negeri Borneo tersebut tetapi tidak memberikan sebab ia ditarik semula.

Kenyataan Hamza hadir selepas laporan awal hari ini mendedahkan surat dari Pejabat Ketua Menteri Sabah kepada Jabatan Imigresen yang menyenaraihitam beberapa pemimpin pembangkang daripada masuk ke negeri tersebut.
Surat bertarikh 21 Mei itu yang menggunakan kepala surat dari pejabat Datuk Seri Musa Aman juga mengatakan senarai itu diluluskan oleh Kabinet Sabah selepas mesyuarat pertama mereka bulan lalu pada 15 Mei, 10 hari selepas pilihan raya umum ke 13.

“Setakat ini polis berkata, tidak ada individu lain yang dilarang kecuali Nurul. Tetapi larangan itu pun telah ditarik balik.

“Bagi pemimpin-pemimpin yang lain jika mereka mahu datang tidak ada masalah asalkan mereka mematuhi undang-undang,” kata Hamza yang dipetik berkata kepada Astro Awani.

Laman Astro Awani juga melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad tidak dapat mengesahkan bahawa senarai hitam baru yang dikatakan melarang 10 individu daripada parti pembangkang  dan pemimpin masyarakat sivil daripada memasuki Sabah.

Laporan tersebut menyenaraikan beberapa individu yang tidak dibenarkan masuk, antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Mohd Rafizi Ramli, Datuk Ambiga Sreenavasan, Mohamad Sabu, Syed Ibrahim Syed Noor, Wong Chin Huat, Maria Chin Abdullah, Ong Boon Kiang dan Hishammuddin Rais.

Menurut Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong, sumber boleh dipercayai dari Jabatan Imigresen telah membocorkan muka surat pertama dokumen tersebut kepadanya.

Dokumen itu telah dilihat oleh The Malaysian Insider. Dari halaman tunggal, tempoh senarai hitam atau sebab mengapa disenarai hitam tidak dinyatakan.

Apabila dihubungi, Lim menyifatkan larangan itu sebagai “tidak masuk akal”, menunjukkan kerajaan telah membuat satu penghinaan terhadap demokrasi disebabkan bukan sahaja mengharamkan rakyat sendiri daripada memasuki sebuah negeri di negara ini, tetapi wakil rakyat yang dipilih secara sah.

“Sudah tentu ini bukan pertama kali… Saya mungkin pemimpin paling kerap disenarai hitam… Saya pernah disekat ke Sabah, ke Sarawak…. tetapi saya ingatkan kita sudah lepas zaman itu.

“Kelihatan kita masih tersekat di situ,” katanya.

Khamis lalu, Nurul Izzah (gambar) telah disekat untuk masuk ke Sabah sebaik sahaja mendarat di Kota Kinabalu untuk menyambut Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai menggunakan kapasiti peribadinya.

Menjelaskan pada Sabtu, Musa dilaporkan berkata mereka yang memberikan ancaman dan merosakkan keharmonian Sabah tidak dialu-alukan untuk ke negeri itu.

Beliau menambah, negeri itu tidak pernah menghalang pemimpin pembangkang sebelum pilihan raya tetapi percaya Nurul Izzah mempunyai niat lain kali ini.

Naib Presiden PKR Chua Tian Chang turut dihalang masuk ke Sabah pada April lepas.

Malah, pemimpin PR berkata mereka akan mengambil tindakan perundangan terhadap larangan ke Sabah yang dikenakan kerajaan negeri Borneo tersebut terhadap mereka atas alasan mengancam Sabah.
MalaysianInsider.

No comments:

Post a Comment