Pasangan ini didakwa memuat naik gambar mereka makan Bak Kut Teh beserta kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini di laman sosial...
Pasangan yang mempersenda umat Islam dan Ramadan melalui laman Facebook mereka, Alvin Tan, 25, dan Vivian Lee, 24, akan
didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta hari ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah.
Ku berkata demikian ketika dihubungi Bernama tetapi beliau enggan menyatakan jenis dakwaan yang akan dikenakan terhadap mereka serta masa pasangan itu akan dihadapkan ke mahkamah.
Menurut sumber polis, pasangan itu sepatutnya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 3 petang ini tetapi mereka tidak berbuat demikian.
"Melalui pesanan ringkas yang dikirim oleh peguam, pasangan tersebut akan serah diri di Bukit Aman dan kita juga panggil mereka untuk ke IPD Dang Wangi namun sehingga petang ini mereka tidak muncul," kata sumber itu.
Pasangan itu didakwa memuat naik gambar mereka makan Bak Kut Teh beserta kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini di laman sosial berkenaan, baru-baru ini.
Kelmarin, Tan dan Lee memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di sini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Kelmarin Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis Kuala Lumpur telah membuka kertas siasatan terhadap pasangan itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan kesalahan atas alasan yang boleh
menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, kebencian sehingga memudaratkan perpaduan.
- Bernama/Mk
No comments:
Post a Comment