Pages

Monday, 29 July 2013

Tembakan Maut di Ipoh - Seorang lelaki maut, 2 cedera ditembak ketika minum

Isnin, 29 Julai 2013
Beberapa das tembakan itu tersasar dan mencederakan dua rakan mangsa yang berada di meja makan...

Seorang lelaki maut dan dua cedera parah apabila ditembak oleh lelaki yang menaiki sebuah kereta ketika ketiga-tiga mereka sedang minum di bahagian luar sebuah restoran di Kampung Simee di Ipoh pada 10.15 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata Jasrafveenderjeet Singh, 25, yang cedera di leher meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.
Dua lagi yang cedera Koo Loo Kong, 55, dan Sarbjit Singh Harder Singh, 28, kini dirawat di hospital yang sama dan keadaan mereka dilaporkan stabil, katanya ketika dihubungi di Ipoh hari ini.

"Jasrafveenderjeet yang sedang minum bersama rakan-rakannya telah dihampiri sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki dua suspek.
"Mangsa kemudian bangun dan berjalan menuju ke kereta suspek sebelum kedengaran bunyi beberapa das tembakan yang dipercayai dilepaskan dari jarak dekat ke arah mangsa," katanya

Beberapa das tembakan itu tersasar dan mencederakan dua rakan mangsa yang berada di meja makan, katanya dan menurutnya semua mangsa dibawa ke hospital berkenaan oleh orang awam.
Sum berkata siasatan di tempat kejadian menemui beberapa kelongsong peluru dan polis sedang mengenal pasti dua suspek berkenaan dan menyiasat jenis senjata, kereta dinaiki suspek dan motif tembakan.

Katanya polis juga akan merakamkan percakapan saksi yang berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan.

Beliau berkata siasatan mendapati Koo mempunyai 13 rekod kesalahan lampau.-Bernama
Dicatat oleh ELBI RISALAH di 7/29/2013 06:55:00 PTG

No comments:

Post a Comment