Kritikan mesti untuk menguatkan parti.
Muktamar Tahuinan PAS ke-59 yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 November ini akan dijadikan medan perbahasan yang cukup menarik pada kali ini, apatah lagi ia diadakan selepas berlalunya Pilihan Raya Umum ke-13. Pelbagai isu yang akan dibangkitkan dan diperbahaskan, atau mungkin muktamar kali ini dilihat sebagai 'post morterm' pencapaian PAS dalam PRU lalu. Harakahdaily telah menemubual Pengarah Muktamar PAS ke-59 Datuk Takiyuddin Hassan di Parlimen baru-baru ini bagi mengetahui lebih lanjut berhubung perjalanan muktamar itu nanti.
Boleh Datuk jelaskan perjalanan Muktamar PAS ke-59 yang akan berlangsung November nanti.
Muktamar PAS kali ke 56 akan bermula pada malam 21 November dengan perasmian ketiga-tiga Dewan iaitu Ulamak, Pemuda dan Muslimat. Perasmian Ulamak diadakan di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Dewan Pemuda di Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan perasmian Muslimat diadakan di Dewan Jubli Perak SUK Selangor. Muktamar penuh PAS Pusat akan diadakan di Stadium Malawati Shah Alam.
Perasmian muktamar penuh bermula pada 22 November, manakala di sebelah petang iaitu selepas solat Jumaat akan adakan pemilihan parti. Insya Allah keputusan pemilihan akan diumumkan pada petang 23 November.
Saya selaku pengarah muktamar, pengerusi adalah Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Timbalannya adalah Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman.
Kita banyak jawatankuasa termasuk jawatan kuasa persiapan dan satu lagi jawatankuasa pemilihan PAS (JPP) yang dipengerusikan oleh Asmuni Awi, dan saya sebagai timbalannya. semua yang dilantik menjadi jawatankuasa pemilihan termasuk saya tidak dibenarkan bertanding.
PAS bertuah kali ini kerana dapat mengadakan muktamar di Selangor dan kita mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan selangor melalui MBSA dan Stadium Malawati dan agensi-agensi kerajaan negeri.
Berapa agaknya jumlah perwakilan dan pemerhati yang akan mengikuti perjalanan muktamar kali ini?
Perwakilan adalah tetap ia tidak lebih daripada 1300 orang, dari segi pemerhati kita tidak hadkan cuma kita belum dapat pengesahan khususnya pemerhati dalam negara dan luar negara. Kita ada buat jemputan, dan kebiasaanya kita jemput semua jemaah Islam di seluruh negara.
Sekarang ini, PAS khususnya Presiden kita Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sering kali menjadi ahli aktif dalam gerakan Islam di seluruh dunia. Jadi kita jemput hampir ke semua gerakan Islam yang besar-besar, termasuk duta-duta asing juga kita jemput.
Oleh kerana, Muktamar PAS kali ini diadakan di Selangor, saya yakin akan ramai pemerhati yang datang kali ini, saya nampak di Selangor ini mungkin pemerhati akan datang lebih ramai daripada biasa muktamar yang kita buat di negeri-negeri.
Selain bermuktamar, apa lagi program yang menarik akan diadakan sepanjang berlangsungnya muktamar?
Sepanjang perjalanan Muktamar selama tiga hari ini, kita turut membuka gerai-gerai jualan. Pada sebelah malam seperti biasa ceramah-ceramah dan persembahan artis diadakan sebagai tarikan kepada pengunjung jualan tersebut. Ceramah malam pertama kita ada persembahan artis-artis dan selebriti dakwah iaitu Ustaz Azhar Idrus, malam ke tiga ada ceramah perdana pimpinan PAS (yang menang dalam pemilihan).
Kita turut membuka 'booth' untuk pemeran-pameran yang melibatkan PAS Pusat, negeri dan agensi-agensi 2 kerajaan terutama negeri yang kita memerintah, iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Agensi kerajaan pusat pun ada begitu juga pihak swasta. Ini terbuka untuk semua orang.
Pada pandangan YB, apakah isu yang akan menjadi perbahasan hangat dalam muktamar kali ini?
Oleh kerana Muktamar kali ini, adalah yang pertama selepas PRU-13, tumpuannya banyak kepada 'post morterm' pencapaian PAS dalam PRU-13 dan mungkin juga Pilihan Raya Kecil Kuala Besut. Mungkin juga ada di kalangan perwakilan menimbulkan pencapaian PAS di peringkat parlimen yang merosot dalam PRU lepas. Penggal lepas kita ada 23 kerusi kali ini kita ada 21 kerusi. Kita menjadi 'partner' kecil dalam Pakatan Rakyat. Walaupun PAS kecil tetapi peranan kita besar untuk jadikan Pakatan Rakyat kuat.
Saya rasa isu bagaimana PAS sebagai parti politik Melayu Islam boleh mengarak langkah lebih besar lagi untuk menggantikan parti politik Melayu iaitu Umno. Ini kerana daripada statistik menunjukkan bahawa kita banyak kalah di kerusi-kerusi yang kita bertanding dengan Umno, yang mana majoriti adalah orang Melayu. Jadi dominasi PAS di dalam kawasan Melayu ini akan dibincangkan dalam Muktamar PAS nanti.
Bagaimana dengan isu 'tahaluf siyasi' apakah YB rasa ia akan menghangatkan lagi perbahasan di muktamar nanti?
Mungkin sedikit sebanyak ada perwakilan akan timbulkan isu ini, tetapi bagi kita sama ada ia dibangkitkan oleh Ulamak sekali pun ianya tidak lebih daripada untuk memantapkan Pakatan Rakyat, bukannya untuk menghancurkan. Itu adalah telaah musuh kita. Bagi kita ianya adalah untuk kebaikan PAS dan Pakatan Rakyat itu sendiri. Tanpa PAS tidak adalah Pakatan Rakyat hari ini. Kerana dalam tiga-tiga parti ini, PASlah yang mampu menggerakan ramai ahli berbanding yang lain.
Bagaimana pula dengan usul-usul dan proses pencalonan untuk pemilihan nanti?
Untuk usul kita masih menunggu lagi, oleh kerana kita ada masa dua bulan dari sekarang, mungkin tarikh akhir pada bulan Oktober. Jawatankuasa ini di bawah Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Untuk proses pemilihan, tarikh tutup bagi menghantar borang pencalonan kepada jawatankuasa khas pemilihan parti ini pada 22 Oktober jam 12.00 tengah malam iaitu lebih kurang satu bulan dari tempoh bermuktamar. Semua sudah menerima peraturan ini kerana kita sudah bagi taklimat kepada semua kawasan.
Buat pertama kali, Muktamar PAS telah meletakkan beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi oleh calon-calon yang bertanding. Bagaimana Datuk melihat peraturan ini?
Jawatankuasa pemilihan ini meletakkan beberapa garis panduan yang mana kita minta mereka yang bertanding ini diberi garis panduan atau etika kempen yang kita telah tetapkan. Antaranya tidak boleh menyerang peribadi calon. Tetapi umumnya adalah tidak boleh melakukan apa-apa yang menjadi kesalahan di bawah Perlembagaan PAS.
Kalau sekiranya berlaku perbuatan seumpama itu, maka perlantikan calon itu akan gugur. Kita sudah ada jawatankuasa yang ada di seluruh negeri untuk memantau. Jika jawatankuasa kenal pasti ada pelanggaran dan kesalahan serta aduan, mereka akan laporkan kepada kita, kemudian kita akan serah kepada jawatankuasa tatatertib.
Maknanya jika ada kesalahan itu, boleh membatalkan kemenangan calon itulah.
Jadi kita bagi peringatan kepada mereka yang hendak menjadi calon supaya mematuhi garis panduan dan etika ini.
Apa harapan Datuk kepada muktamar kali ini?
Sesuai dengan parti kita yang sudah setengah abad ini, dan Muktamar kali ini sudah kali ke-59. Parti PAS sudah begitu matang, dengan kempimpinan bukan sahaja di peringkat negeri bahkan di peringkat nasional dan international. Maka kita harap perwakilan juga mengambil pendekatan seumpama itu.
Pendekatan yang matang, ukhuwwah dan masing-masing perlu ada semangat untuk memperkuatkan parti PAS. Kita harap PRU-14 nanti kita akan mencapai lebih dari hari ini. Dari segi perbahasan, kita mengalu-alukan apa jua pandangan dan kritikan tetapi dengan syarat ianya konstruktif. Kritikan mesti untuk menguatkan parti.
HD.
No comments:
Post a Comment