Pages

Thursday, 5 December 2013

UMNO lebih pentingkan Persidangan dari bantu mangsa banjir - Bekas calon Ketua Pemuda

Khamis, 5 Disember 2013

Bekas calon Ketua Pemuda Umno, Syed Rosli Syed Harman Jamalulail mendakwa Umno lebih mementingkan persidangan daripada menyelamatkan mangsa banjir di Pahang.

Katanya, Umno sepatutnya menangguhkan persidangan kerana keadaan banjir di Kuantan amat kritikal. “Sepatutnya para pemimpin Umno semua berada di kawasan banjir membantu mangsa terutamanya di Pahang, Terengganu dan Kelantan,” kata beliau.

Beliau bertanya di mana pemuda dan Kelab Putra Umno di saat saat mereka memerlukan bantuan di musim banjir ini. “Saya hairan Datuk Aziz Rahim bersusah payah menghantar sukarelawan menyelamatkan mangsa taufan Haiyan di Filipina tetapi saya tak nampak pula mereka hantar sukarelawan Putra ke Pahang,” katanya lagi.

Beliau juga menyentuh kritikan Khairy Jamaluddin terhadap TNB ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda Umno di persidangan pemuda Umno semalam. 

“Saya hairan kabinet sudah bersetuju dengan cadangan menaikkan tarif elektrik kenapa pula Khairy bising di luar? Sepatutnya beliau membantah dalam mesyuarat kabinet,” katanya.

Beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkaji semula kedudukan Khairy dalam kabinet kerana beliau tidak bersetuju dengan keputusan yang sudah dibuat oleh kabinet. 

“Sebelum TNB buat keputusan, sudah tentu TNB mohon persetujuan kabinet terlebih dahulu. TNB bukannya buat pengumuman tanpa merujuk kepada kabinet,” katanya.

Katanya lagi, adakah Khairy bermain sandiwara tidak bersetuju di luar sedangkan ia adalah keputusan kabinet. “Kalau tak puas hati, pemuda Umno sepatutnya menghantar memorandum kepada TNB,” katanya.

Syed Rosli menambah dalam ucapan dasarnya juga Khairy menyentuh pemilihan PAS yang dikatakan kelam kabut. 

“Bagi saya, pemilihan pemuda Umno pun kelam kabut. Keputusan pemilihan majlis tertinggi Umno, urusetia mengumumkan undi popular yang dipungut oleh calon-calon majlis tertinggi tetapi dalam pemilihan pemuda, semua calon ketua, naib ketua dan exco tidak tahu jumlah undi popular yang dipungut mereka,” dakwanya lagi.

Beliau sendiri tidak tahu berapa undi yang diperolehinya ketika menentang Khairy pada 12 Oktober lalu dalam pertandingan lima penjuru yang turut disertai Akramsyah Ubaidah Sanusi, Irwan Ambak dan Karim Ali.~ Free Malaysia Today

No comments:

Post a Comment