Adun minta MB Terengganu bertaubat, dakwa banjir kerana rakyat pilih Pakatan
Adun Chukai Hanafiah Mat meminta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (gambar) bertaubat kerana mengeluarkan ucapan angkuh di majlis penyampaian bantuan banjir oleh Perdana Menteri semalam.
Katanya, dalam ucapan Menteri Besar semalam beliau berkata, "Kerana BN kalah kepada pembangkanglah di DUN Chukai, Kemaman dapat bala banjir”, lapor laman FMT hari ini.
Hanafiah bertanya kenapa ketika PAS menang tiga kerusi (Air Putih, Chukai dan Kijal) dan Parlimen Kemaman (PKR) pada tahun 1999, Kemaman tidak banjir?
Sehubungan dengan itu, Hanafiah meminta Ahmad bertaubat kerana seolah-olah beliau tidak percaya bala banjir diturunkan Allah.
Kemaman dilanda banjir besar baru-baru ini di mana 80% dari tanahnya telah ditenggelami air.
Ia disifatkan sebagai kejadian pertama dalam sejarah daerah itu.
Manakala Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider, meminta kerajaan mengisytiharkan darurat di daerah itu bagi membolehkan kerja-kerja bantuan dibuat namun ditolak oleh kerajaan.
PAS dan unit-unit di bawahnya telah memberikan bantuan penuh kepada mangsa banjir ketika pemimpin Umno sibuk dengan Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur.
Ahmad yang pulang ke Kemaman selepas itu kesal dengan apa yang terjadi, namun komen beliau bahawa ia berpunca dari kemenangan calon PAS di Chukai dalam Pilihan Raya Umum ke-13 sangat dikesali.
Sikap Ahmad yang berlagak seperti “Robin Hood” menyekat sebuah lori pembawa roti ketika banjir bagi mengambil roti itu untuk mangsa banjir menjadi berita di Terengganu.
Semalam Datuk Seri Najib Razak menyampaikan bantuan kepada 19,205 mangsa banjir di negeri ini yang disifatkan sebagai bantuan luar biasa di majlis yang berlangsung di sini.
Bantuan banjir ini mencatatkan sejarah apabila produk berupa televisyen, peti sejuk, dapur, tilam dan bantal bernilai RM5,000 disumbangkan kepada setiap keluarga mangsa banjir di Terengganu.
Antara produk yang diterima mereka adalah peti sejuk yang disumbangkan Umno, televisyen sumbangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta bantal dan tilam sumbangan Kelab Putera 1Malaysia.
Selain itu, kesemua 19,205 keluarga yang terlibat dengan banjir di Terengganu turut menerima bantuan wang tunai RM500 daripada kerajaan pusat dan RM1,500 daripada kerajaan negeri.
Najib seterusnya melahirkan rasa terharu dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai sehingga mencecah hampir 20,000 orang pada majlis itu dalam keadaan cuaca mendung dan hujan renyai.
Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Mengulas majlis penyampaian tersebut, Hanafiah berkata ramai penerima kecewa kerana terlalu lama beratur untuk mengambil kupon sampai ke petang sehingga mereka tidak dapat menghantar anak mereka ke sekolah dan terpaksa ponteng kerja.
“Malah yang lebih mengecewakan mereka pada bulan April, tiga bulan dari sekarang baru mereka dapat menunaikan kupon itu untuk mengambil peti ais, televisyen dan tilam yang dijanjikan itu,” kata mereka.
Beliau berkata kalau dah tahu bulan April baru dapat ambil barang tersebut, kenapa buat majlis sekarang.
“Buatlah pada bulan Mac, sekurang-kurangnya tidak lama mereka menunggu barang yang dijanjikan,” katanya lagi. – 13 Januari, 2014./TMI
No comments:
Post a Comment