Pages

Saturday, 25 January 2014

Tiba masanya Umno belajar daripada PAS - Lim Guan Eng

Sabtu, 25 Januari 2014

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar) menuduh Umno mengapi-apikan isu perkauman dalam isu kontroversi penjualan daging babi secara terbuka di negeri tersebut. 

Lim berkata penjualan daging babi di Lebuh Chulia, Jalan Kuantan, dan Jalan CY Choy telah berjalan sejak Barisan Nasional (BN) memerintah lagi bagi menyangkal tuduhan oleh Islamic Solidarity and Charity Organization (Isco) sebelum ini.
"Penjualan babi secara terbuka berjalan sejak dahulu lagi ketika BN berkuasa dan tidak pernah jadi isu.

"Lagipun, kawasan tersebut dihuni oleh penduduk majoriti bukan Islam sebanyak 90% dan bukannya majoriti kampung masyarakat Melayu," kata Lim dalam satu kenyataan bagi menjawab Isco.
Lim juga mengecam Umno yang sengaja menjadikan isu tersebut berbaur perkauman dengan menuduh kerajaan negeri tidak mengambil tindakan ke atas peniaga daging babi tetapi peniaga Melayu pula ditindas.

"Ia adalah salah dan rasis untuk Umno menyalahkan peniaga babi sahaja.
"Polisi kerajaan negeri adalah pihak berkuasa tempatan boleh bertindak bila-bila masa ke atas penjaja haram tanpa mengira bangsa dan agama tanpa tertumpu kepada perniagaan tertentu sahaja," tegas Lim susulan Umno cuba mengalihkan isu sebenar menjadi isu perkauman.

Lim kemudian menasihati Umno supaya belajar daripada parti Islam, PAS yang lebih menghormati hak bukan Muslim dan menjaga sensitiviti penganut agama lain tanpa perlu mencetuskan kebencian.
"Malah di Kelantan dengan 95% majoriti penganut Islam, daging babi boleh dijual tanpa masalah atau bantahan.

"Tiba masanya Umno belajar daripada PAS untuk menghormati hak dan sensitiviti bukan Islam," terangnya lagi.
Isco sebelum ini mendakwa penjualan daging babi secara terbuka tidak menghormati sensitiviti umat Islam di Pulau Pinang.
Kumpulan tersebut mendesak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengambil tindakan ke atas peniaga dan menghentikan aktiviti penjualan daging babi tersebut secara terbuka.

Setiausaha Agung DAP tersebut juga was-was dengan sikap kerajaan Umno-BN yang dilihat cuba menghalang amalan penganut bukan Islam dan bukan Melayu di Malaysia, terutamanya selepas penapisan gambar babi dalam International New York Times baru-baru ini.

"Adakah langkah ini cuba meningkatkan tekanan sedia ada dengan menambah sekatan kepada penganut bukan Islam dan bukan Melayu? " soal Lim.
Dalam pada itu, Lim juga menggesa semua rakyat di Pulau Pinang tidak termakan dengan hasutan dan api perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu bagi menjaga keharmonian yang sudah sedia terjalin sejak sekian lamanya di negeri tersebut.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan terikut-ikut dengan ekstremis ini dan hasutan perkauman oleh Umno ini.
"Kami juga menggesa supaya orang ramai mengabaikan permintaan Umno tersebut demi menjaga keharmonian sesama kaum," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk dari PKR Lee Khai Loon sebelum ini juga menjadi mangsa perkauman Umno gara-gara tarian parodi “flash mob” kangkung yang dianjurkannya.

Para penyokong Umno yang berhimpun di depan pusat khidmat rakyatnya telah bersikap ganas selain menjulang sepanduk yang berunsurkan provakatif, memainkan isu rusuhan 13 Mei sambil melaungkan kenyataan rasis dan keagamaan. – 25 Januari, 2014.TMI

No comments:

Post a Comment