Pages

Saturday, 22 February 2014

Kajang: Paku Terakhir 'Keranda' MCA...

Ahad, 23 Februari 2014

Keranda Unik Rekaan Suku Ga Di Ghana

PRK Kajang: Adakah paku terakhir 'keranda' MCA?

Prof. Salleh Buang
Prof. Salleh Buang
BARU-baru ini seorang sahabat (veteran UMNO dari Pulau Pinang) berkata kepada saya bahawa kalah menang dalam pilihan raya kecil Kajang tidak akan memberi kesan penting kepada mana-mana parti yang bertanding. Hujahnya kalau pun Barisan Nasional (BN) menang, Selangor akan masih kekal di bawah Pakatan Rakyat dengan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besarnya.
Sebaliknya kalau Anwar menang sekalipun, belum pasti dia akan mengambil tempat Khalid. Pas belum tentu setuju. Selain itu, kita tidak tahu reaksi Sultan Selangor nanti. Mungkin baginda masih suka Khalid kekal sebagai MB Selangor.
Kepada sahabat itu saya katakan saya tak dapat bersetuju  dengan pandangannya.  Pada hemat saya, keputusan PRK Kajang akan memberi impak positif kepada BN jika calonnya menang. Kalau Anwar menang, politik negeri Selangor mungkin bertambah celaru dan sekiranya tidak ada kesungguhan mengurus krisis (crisis management), tidak mustahil pakatan akan mula retak menunggu belah.
Agenda Anwar
Seorang blogger membuat ramalan (andaian) Anwar akan menang tetapi hasratnya menjadi MB menggantikan Khalid tidak termakbul kerana Sultan tidak berkenan melantiknya. Lalu Azmin Ali akan menjadi Menteri Besar menggantikan Khalid. Anwar akan menggunakan penolakan (keengganan) sultan melantiknya sebagai asas memulakan agenda barunya. 
Saya petik di bawah ini apa yang dikatakan oleh blogger tersebut –
“Agenda Anwar untuk membuang raja akan bermula dengan kempennya kerana sultan menolak beliau menjadi Menteri Besar.
Anwar akan menarik gulungan muda yang dah sedia tak berapa minat dengan Raja-Raja  untuk mencari sokongan untuk membuang raja dengan undi tidak percaya rakyat kapada Duli Tuanku Sultan walau pun dalam masa tempoh yg agak lama tetapi episud membuang Raja telah bermula dengan Selangor…” (lihat http://seratah.blogspot.com/2014/02/kesan-prk-kajang.html
Sebuah akhbar aliran perdana menyatakan PRK Kajang akan menguji keikhlasan pengundi Cina kepada BN. Akhbar itu menyatakan tidak kira siapa yang menang (Anwar atau calon BN, yang pada masa ini identitinya belum diketahui), ia akan memberi impak besar kepada politik Selangor. 
Kalau BN menang, kemungkinan besar ia akan menimbulkan kemarahan penyokong PKR serta konco-konco mereka dalam DAP dan Pas. Kepemimpinan PKR akan dipersalahkan kerana menyebabkan PRK Kajang diadakan. Kalau Anwar menang, walaupun status quo kerajaan negeri tidak berubah, apa yang hendak dilakukan oleh Anwar akan terus menjadi tanda tanya. (lihathttp://www.bharian.com.my/bharian/articles/PRKKajangujikeikhlasanpengund...
Satu blog pro-pembangkang menyatakan sekiranya BN tewas dan mendapat undi yang lebih buruk, maka ramalan Tun Daim Zainuddin bahawa BN akan kalah jika pilihan raya umum diadakan dalam suasana seperti sekarang, ada kebenarannya. Selain itu, andainya pengundi Cina terus menolak calon BN, bermakna segala dasar yang digubal dan segala tindakan yang diambil oleh kerajaan selama ini adalah umpama "mencurah air ke daun keladi", kata blog itu lagi (lihat  Malaysia Chronicle, “PRK Kajang ukur kelemahan, bukan kekuatan Najib”, 29 Januari 2014). 
Blog itu juga menyatakan andainya pengundi Melayu bandar dan separa bandar di Kajang bertindak menolak calon BN, ini juga merupakan satu isyarat yang mutakhir dan jelas bahawa BN boleh hanya bergantung kepada sokongan pengundi luar bandar dan kampung.
Pengundi Cina dan masa depan MCA
PRK Kajang merupakan ujian bagi kedua-dua pihak, BN dan Anwar. Jika kita katakan dalam pertarungan di Kajang ini  BN “mengukur kejujuran kaum Cina atau sikap pengundi Melayu, bergantung kepada siapa calon”, kita juga perlu akui bahawa Anwar juga akan “mengukur kejujuran parti rakan dalam pembangkang.”
Impak yang buruk sekali akan menimpa MCA sekiranya calon BN dalam PRK Kajang itu adalah dari parti itu dan akhirnya tewas di tangan Anwar.  Mengikut seorang tokoh akademik dari UKM, Prof Mansor Mohd Noor, pengundi Cina di Kajang (di masa lampau) sudah pun menolak MCA. Sekiranya MCA mahu meletakkan calonnya di situ, “individu itu mesti berintegriti, terkenal dengan budaya korporat yang berjaya selain akademiknya diperakui.” (http://www.sinarharian.com.my/politik/bn-kalah-jika-letak-calon-mca-1.24...
Kalau BN meletakkan calon MCA di situ dan akhirnya tewas, rasanya amat sukar bagi MCA meyakinkan rakyat bahawa parti itu sudah mendapatkan balik kepercayaan dan sokongan masyarakat Cina di negara ini. Ia akan menjadi paku terakhir dalam keranda MCA. 

Read more: http://malaysiagazette.com/juris/prk-kajang-adakah-paku-terakhir-keranda-mca#ixzz2u7zGEHAX
Follow us: @MalaysiaGazette on Twitter | MalaysiaGazette on Facebook


No comments:

Post a Comment