Pages

Wednesday, 12 February 2014

Suara GURU-MASYARAKAT Malaysia - KPM cuba alih tumpuan #Himpunan222MansuhPBS ...

Rabu, 12 Februari 2014


KPM cuba alih tumpuan kempen mansuh PBS
SGMM
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan didakwa cuba mengalihkan tumpuan kempen memansuhkan sistem pendidikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan mengatakan tidak ada perancangan untuk mengguna pakai sistem pembelajaran kolej matrikulasi di peringkat sekolah menengah.

Ketua Gerak Kerja Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM), Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, kenyataan itu sekadar mengalih tumpuan kempen mansuh PBS yang sebenar.

"Sedangkan matlamat kempen tersebut diadakan kerana mendapati sistem PBS  sudah terlambat untuk dibaiki.

“Tindakan ini sangat memalukan kerana pihak yang mengeluarkan kenyataan itu tidak mengikuti perkembangan kehendak SGMM yang mahu PBS dimansuhkan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahad lalu, Timbalan Menteri Pendidikan 1, Mary Yap Kain Ching berkata, banyak perkara perlu diambil kira jika mahu melaksanakan sistem itu.

"Kita belum ada rancangan, tetapi sebagai seorang pendidik saya optimis untuk melihat peningkatan demi peningkatan, namun kita akan mengambil kira semua faktor sebelum melaksanakan sesuatu," katanya.

Ujar Kain Ching lagi, isu PBS timbul kerana pihak yang berkenaan tidak mendapat maklumat lengkap mengenai sistem itu.

Bagi menangani masalah itu, beliau berkata, kementerian mengadakan program penjelasan bagi memberi pemahaman kepada semua pihak berkepentingan tentang PBS dan pelaksanaannya.

Respons kepada kenyataan itu, Nor Izzat turut mendakwa, Kain Ching seolah-olah cuba mengada-adakan cerita supaya tumpuan SGMM dalam kempen mansuhkan PBS disalah erti.

“Saya tegaskan bahawa jika beliau tidak tahu isu, lebih baik dapatkan nasihat pegawai KPM sebelum mengeluarkan kenyataan yang akan memalukan diri sendiri.

“Sebagai timbalan menteri, beliau sepatutnya tidak cuba menipu rakyat dengan memanipulasi cerita yang tidak pernah disebut oleh SGMM. Saya malu ada timbalan menteri yang suka putar belit cerita dan cuba mengada-adakan cerita,” katanya.

Dalam pada itu, SGMM merancang untuk mengadakan himpunan aman di Putrajaya 22 Februari depan bagi menyuarakan bantahan terhadap kepincangan PBS.

Sinar Harian.


KPPK gesa Kementerian Pendidikan mansuh PBS
kppk
 KANGAR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang didapati amat membebankan 400,000 guru di negara ini.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, guru yang selama ini dibebani tugasan yang banyak kini terpaksa berdepan pula dengan PBS sekali gus menjadikan bebanan golongan itu terus meningkat.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Hashim berkata, prestasi guru turut dinilai melalui PBS, dan sistem akses yang sering terganggu menyebabkan kebanyakan guru tidak cukup tidur kerana ingin memasukkan data bagi memastikan mereka diberi penilaian sempurna.

Justeru, beliau berkata, mesyuarat Exco KPPK baru-baru ini memutuskan untuk menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan sistem itu, yang diperkenal pada 2011.

"Sepatutnya PBS dilaksanakan di beberapa buah sekolah sebagai perintis untuk menilai keberkesanannya, dan bukan terus dilaksanakan di seluruh negara," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Presiden KPPK Tey Meng Seng dan Setiausaha Agung KPPK Lok Yim Pheng.

Beliau turut menyifatkan PBS sebagai sebuah kereta baharu yang kelihatan cantik namun pemandunya tidak boleh menggerakkan kenderaan itu kerana ketiadaan tayar.
 
Hashim berkata, KPPK juga menolak pelaksanaan E-Prestasi, yang sepatutnya dilaksana pada 2015 namun dipercepat ke tahun ini, bagi menilai prestasi guru kerana masih ramai yang kabur tentangnya.

E-Prestasi menimbulkan rungutan bukan sahaja dalam kalangan guru malah pengetua dan guru besar kerana mereka sering dipersalah jika sistem itu gagal menghantar laporan kepada kementerian.

"Sebaiknya sebelum melaksanakan apa jua sistem, keberkesanannya perlu diuji dan bukan menyalahkan guru apabila terdapat kegagalan," katanya.

Beliau juga berkata, KPPK bimbang pelaksanaan sistem yang menyukarkan akan menyebabkan guru tertekan sehingga memberi kesan negatif terhadap tugasan dan pelajar mereka. - Bernama

No comments:

Post a Comment