Pages

Monday, 28 April 2014

Agenda Sulit; Obama dan Muhyiddin

Isnin, 28 April 2014

Agenda Obama ke Malaysia dan Agenda Muhyiddin Yassin ke Kelantan.

Khairul Faizi Kamil

 
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhrkdxB7EIsJiIw9bn29uxiqysl6Aaf-_WtwWfknjlj5BDuaDEJ1YS5lo-owxBtrOVaea7hiil1YMsw9Z_bpEZzPE__ucdQ7uphLtYlq8SDnjUVtfoCY8eUC4V4I8xiSxSWEbhXhMMYFlc/s1600/2014-04-28_110633.jpg

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Dua perkara besar berlaku dalam masa dua hari ini. Pertamanya, kehadiran Barack Obama ke Malaysia dan keduanya Timbalan Perdana Menteri Malaysia menziarahi Tuan Guru Nik Aziz.

Walaupun ada lagi perkara lain yang berlaku namun saya lebih cenderung untuk memfokuskan kepada kedua-dua perkara ini.

Obama hadir ke Malaysia disambut dengan permaidani merah, tidak perlu bersusah-payah untuk tiba dilokasi yang disusun oleh kerajaan Malaysia kerana segalanya telah diatur dengan rapi. Banyak kawasan di sekitar Lembah Klang kelihatan lengang dek kerana jalan ditutup untuk memberikan laluan kepada Obama menikmati keindahan negara kita.

Kehadiran Obama sudah tentu bukan calang-calang agendanya kerana kali terakhir Presiden Amerika tiba di Kuala Lumpur kira-kira 40 tahun yang lalu. Jika sekadar untuk melihat Masjid Negara atau Bandaraya Kuala Lumpur maka tidak perlulah Obama bersusah-susah untuk datang ke sini.

Kenapa Obama datang? Tentu agendanya besar termasuklah mahu menjalinkan hubungan perniagaan dan berkait rapat dengan TPPA.

Kerajaan Malaysia sebelum ini pernah membuat perjanjian FTA di antara Malaysia-Amerika dan telah pun berlangsung selama dua tahun. Namun Malaysia mengambil sikap untuk menghentikan perjanjian itu kerana dikhabarkan banyak isu tidak diselesaikan sepanjang tempoh tersebut. Mengikut Anas Alam Faizli, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Menteri Pertanian pada masa itu adalah merupakan penentang utama terhadap perjanjian ini dan beliau tidak akan berkompromi dalam isu kesejahteraan hidup petani tempatan.

Kerana itu, andaian saya bahawa Obama 'singgah' di Kuala Lumpur untuk mencari jalan agar Malaysia akan berlembut terhadap TPPA. Justeru kerajaan Malaysia wajar mengambil kira pelbagai faktor termasuklah kedaulatan negara yang tercinta ini agar tidak dirampas oleh kuasa besar dunia itu.

Mungkin kerana itu juga, tiba-tiba Muhyiddin Yassin berada di Pulau Melaka, Kelantan menziarahi TG Nik Aziz. Jika tidak ada agenda besar maka tidaklah sekadar mahu menziarahi Tuan Guru di sana lebih-lebih lagi Tuan Guru Nik Aziz bukan lagi Menteri Besar Kelantan. Jika ditanya kenapa TPM tidak menyambut Obama di Kuala Lumpur maka sudah tersedia jawapannya iaitu beliau ada agenda besar di Kelantan.

Kehadirannya diselitkan dengan agenda yang pelbagai namun yang dipaparkan di dalam media adalah berkaitan dengan perlaksanaan Hudud di Kelantan.

Bagi saya, Muhyiddin mengambil langkah yang positif dan wajar diberikan pujian kerana seingat saya inilah kali pertama pemimpin utama UMNO datang bertemu dengan TG Nik Aziz untuk berbincang tentang perlaksanaan Hudud. Sikap ini wajar diteruskan kerana Hudud bukan milik PAS tetapi ia adalah milik Allah dan ia adalah tanggungjawab kita bersama untuk merealisasikannya.

Mudah-mudahan Kelantan akan menjadi negeri pertama melaksanakan Hudud dan saya sangat yakin ia akan membantu menyelesaikan kadar jenayah di sana dan di seluruh negara satu masa nanti.

Wasssalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
28 April 2014
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Posted by Kedah Lanie

No comments:

Post a Comment