Pages

Saturday, 19 April 2014

Anwar Semakin Suntuk...5 hari lagi memfail rayuannya! Majlis pengebumian KS hari ini...

Ahad, 20 April 2014
Majlis pengebumian Karpal Singh adalah hari ini, namun anak guamnya yang paling terkenal, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai urusan yang lebih mencabar - untuk memenuhi tuntutan agar menyerahkan petisyen rayuannya terhadap hukuman meliwat oleh Mahkamah Rayuan Jumaat ini.

Petisyen rayuan itu perlu difailkan di Mahkamah Persekutuan sebelum 25 April ini.

Karpal, 73, mati dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan dekat Kampar, Perak awal pagi Khamis. Beliau dalam perjalanannnya ke Pulau Pinang untuk mewakili anak guamnya dalam satu perbicaraan kes bunuh dan akan menemui pengundinya di Bukit Gelugur sepanjang hujung minggu itu.Ketua Biro Undang-undang PKR, Latheefa Koya memberitahu The Malaysian Insider, dia bercakap dengan peguam Zaleha Al-Hayat yang turut bersama dengan pasukan peguam Karpal untuk membantu menyiapkan petisyen rayuan itu.

"Kami juga mengkaji penghakiman Mahkamah Rayuan untuk turut menyumbang kepada rayuan itu," katanya.

Latheefa berkata, satu mesyuarat dengan Anwar akan dibuat bagi membincangkan tindakan selanjutnya, termasuk melengkapkan lagi pasukan guaman bagi berhujah dalam Mahkamah Persekutuan.

"Buat masa sekarang yang penting adalah memfailkan petisyen rayuan tepat pada masanya tetapi kami juga mungkin memohon untuk melanjutkan masanya kerana hal yang tidak dapat dijangka," kata Latheefa merujuk kepada kematian Karpal.

Karpal memberitahu The Malaysian Insider petang Rabu sehari sebelum kematiannya di pejabat beliau di Kuala Lumpur, dia akan memfailkan petisyen itu pada 24 April ini.

Firma guamannya menerima asas penghakiman pada Rabu yang bermakna bermulanya permulaan tempoh 10 hari sebelum petisyen rayuan perlu difailkan.

Karpal berkata, dia akan membuat deraf asas di mana Mahkamah Rayuan salah ketika mengenepikan pembebasan Anwar oleh Mahkamah Tinggi semasa beliau berada di Pulau Pinang.

Peguam itu berkata, beliau memerlukan masa untuk meneliti asas penghakiman bertulis itu kerana ia mempunyai 85 muka surat.

Semasa perbicaraan kes liwat itu, Karpal dibantu oleh peguam S N Nair, Datuk Param Cumaraswamy, Datuk C V Prabhakaran dan Ramkarpal Singh.

Pada 7 Mac, Mahakamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar.

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sehingga mendapat keputusan Mahkamah Persekutuan dan membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Anwar, 66, didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, di kondominium mewah dekat Bukit Damansara pada 25 Jun 2008.

Putrajaya juga turut membuat rayuan balas untuk meminta hukuman penjara dinaikkan. – TMI

KES LIWAT FITNAH II ... PENGHAKIMAN YANG TIDAK MASUK AKAL LANGSUNG KATA NAIB PRESIDEN KEADILAN.

Penghakiman Mahkamah Rayuan berhubung pencemaran bukti dalam kes Liwat II terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan oleh Naib Presiden PKR N Surendran sebagai "bercanggah dengan common sense (sesuatu yang diterima akal)".

Katanya, walaupun pegawai penyiasat Supt Jude Pereira telah membuka beg sampel P27, hakim-hakim berkata ia tidak dilihat sebagai mengganggu bahan bukti.

Dalam satu kenyataan semalam, Surendran berkata, kesimpulan itu bertentangan dengan semua prinsip undang-undang berkaitan rantaian bukti, dan bercanggah dengan semua 'common sense'.

Anwar dijatuhi hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beg sampel P27 mengandungi sampel penting yang diambil dari dubur Mohd Saiful , termasuk sperma daripada tertuduh.

Tambahan pula, kata Surendran, walaupun wujud keadaan yang boleh dipersoalkan, hakim-hakim dalam kes itu bertegas bahawa "tiada apa yang mustahil " tentang bukti Saiful .

Sehubungan itu, Surendran bertanya bagaimana ketiga-tiga hakim itu mencapai kesimpulan tersebut,  apabila tidak dipertikaikan bahawa Saiful bertemu dengan musuh politik Anwar, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak , hanya dua hari sebelum kejadian dikatakan berlaku.

"Mengapa dia juga bertemu dengan pegawai tinggi polis SAC II Mohd Rodwan Mohd Yusof , yang terlibat dalam kes liwat yang pertama?" tanya Surendran yang juga MP Padang Serai yang juga ahli Parlimen Padang Serai .

Kes itu didengar oleh Hakim Datuk Balia Yusof Wahi bersama dengan Hakim Datuk Aziah Ali dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Surendran berkata hakim juga telah menyimpang dari perkara undang-undang dengan menangani kritikan awam dalam penghakiman mereka bahawa kes itu dikendalikan terlalu
tergesa-gesa.

Katanya, adalah amat tidak sesuai bagi hakim untuk memberi respon kepada kritikan terhadap mereka secara sedemikian .

Penghakiman dalam kes jenayah, tegas Surendran, mesti menangani fakta-fakta dan undang-undang kes itu, dan bukan perkara luaran.

Jika tidak, tegasnya, ia menimbulkan persoalan tentang sikap 'kesaksamaan dan objektiviti hakim'.

Selain itu, kata Surendran yang juga seorang peguam, hakim-hakim melanggar konvensyen undang-undang dengan mengkritik kenyataan tidak bersumpah Anwar dari kandang tertuduh, yang merupakan pilihan yang sah untuk kes-kes jenayah .

Katanya, Nelson Mandela berbuat demikian apabila dia dibicarakan dalam kes Rivonia pada 1963, dan  Anwar berbuat demikian dalam kes Fitnah 11, dan dengan itu membicarakan sistem perundangan dan politik yang zalim yang telah mengheretnya ke kandang tertuduh.

Penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes Liwat II, tegas Surendran lagi, telah terkeluar dari semua duluan undang-undang, dengan mengkritik Anwar yang memberi kenyataan dari kandang tertuduh.

Anomali ini, kata Surendran, hanya mengukuhkan lagi tanggapan bahawa Anwar telah  menjadi mangsa lawan politiknya.

No comments:

Post a Comment