Pemuda Gerakan Kritik Ali Hamsa
Tan Keng Liang
KUALA LUMPUR – Pemuda Gerakan menyelar Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa kerana menggugut mahu memecat penjawat awam yang terlibat dalam perhimpunan membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di ibu negara pada 1 Mei lalu.
Ketuanya, Tan Keng Liang mendakwa perbuatan Ketua Setiausaha negara tersebut yang juga seorang penjawat awam seolah-olah mengambarkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebuah kerajaan diktator.
“Saya merujuk kepada kenyataan Ali bahawa kakitangan awam yang menyertai perhimpunan GST akan berhadapan dengan tindakan tegas termasuk dipecat. Ali turut menegaskan penjawat awam perlu menyokong semua aspirasi dan polisi kerajaan.
,
Ali
“Dengan segala hormat saya mahu maklumkan kepada Ali, kerajaan BN bukan sebuah kerajaan diktator. Sebagai seorang Ketua Setiausaha Negara beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang melanggar prinsip demokrasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Media semalam melaporkan Ali berkata, Kakitangan awam yang didapati menyertai perhimpunan membantah GST di Dataran Merdeka baru-baru ini akan dikenakan tindakan sewajarnya termasuk dibuang kerja.
Ali turut memaklumkan, sebagai seorang penjawat awam, mereka seharusnya berpegang kepada etika perkhidmatan awam dan aku janji yang telah ditandatangani serta peraturan wajib dipatuhi.
Malah, tegas Ali, sebagai penjawat awam, seharusnya mereka berperanan untuk mendukung dan melaksanakan Dasar Transformasi Negara supaya Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Keng Liang berkata, setiap rakyat Malaysia mempunyai hak kebebasan bersuara dan meluahkan pandangan mereka seperti yang tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Perlembagaan Persekutuan turut membenarkan rakyat berhimpun secara aman meskipun kadang-kala ada yang dilarang kerana dikhuatiri boleh mendatangkan risiko keselamatan negara.
Justeru, katanya, jika Ali berasa ada mana-mana penjawat awam melanggar undang-undang, beliau sepatutnya melaporkan perkara kepada pihak berkuasa seperti polis untuk mengambil tindakan.
“Oleh itu Ketua Setiausaha Negara tidak sepatutnya bertindak berdasarkan kehendaknya semata-mata kerana itu melanggar prinsip BN.
“Penjawat awam jugar rakyat Malaysia. Mereka tidak sepatutnya diugut dengan pemecatan kerana melaksanakan hak mereka,” dakwanya lagi.
No comments:
Post a Comment