Pages

Friday, 13 June 2014

ALTANTUYA Kembali?...Keluarga PI Bala saman Najib

Sabtu, 14 Jun 2014

Kes Altantuya Akan Kembali Hagat?

Keluarga PI Bala saman Najib, lain-lain kerana terpaksa hidup dalam buangan di India 
OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
Published: 14 June 2014 | Updated: 13 June 2014 11:13 PM
P. Balasubramaniam (tengah) ditemani peguam Americk Sidhu (kiri) dan Manjeet Singh Dhillon, ketika bercakap kepada wartawan di London pada 2010. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Jun, 2014. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan lapan lagi tidak boleh melarikan diri dari bayangan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, apabila balu dan keluarga mendiang P. Balasubramaniam mengemukakan saman sivil kerana terpaksa hidup dalam buangan di India yang menurut mereka memakan belanja RM840,000.
Bala, penyiasat persendirian yang menjadi saksi dalam kes pembunuhan Altantuya, meninggalkan Malaysia secara tergesa-gesa selepas menandatangani akuan bersumpah (SD) pada 2008 untuk menafikan penglibatan Najib dalam kes tersebut.
The Malaysian Insider sudah melihat saman difailkan minggu ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh balu Balasubramaniam, A. Santamil Selvi dan anak-anaknya terhadap sembilan orang.
Mereka termasuk Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, adiknya Datuk Ahmad Johari Abdul Razak dan Datuk Mohd Nazim Abdul Razak, peguam kanan Tan Sri Cecil Abraham dan anaknya, Sunil Abraham, pesuruhjaya sumpah, Zainal Abidin Muhayat, peniaga permaidani, Deepak Jaikishan dan peguam M. Arunapalam.
Peguam mewakili keluarga sedang dalam proses menyerahkan surat mahkamah kepada defendan, termasuk Cecil yang sedang berdepan prosiding tatatertib oleh Jawatankuasa Lembaga Disiplin Peguam dan Peguamcara (JDPP) kerana peranannya dalam SD kedua Bala.
Selvi dan anaknya sedang menuntut gantirugi terhadap kerugian ditanggung semasa hidup dalam buangan di antara Julai 2008 dan awal tahun lepas. Bala meninggal dunia pada 15 Mac lalu selepas serangan jantung, beberapa minggu selepas pulang dari India.
Menurut saman itu, pihak keluarga berkata para defendan menyebabkan SD kedua Bala "didraf tanpa arahan si mati dan menyebabkan si mati menandatanganinya dengan ancaman dan paksaan”.
Keluarga menuntut sejumlah RM840,000 untuk 56 bulan hidup dalam buangan dari Malaysia. Jumlah itu termasuk menyewa pangsapuri di India, yuran sekolah, kehilangan pendapatan balu Bala sebagai guru tadika, pinjaman perumahan, kos pengangkutan dan kerugian am dan khas lain.
Saman itu difailkan oleh peguam Bala, Americk Singh Sidhu.
Bala menjadi terkenal selepas bekerja untuk penganalisis politik terkemuka, Abdul Razak Baginda dalam kes pembunuhan Altantuya. Beliau menarik kembali SD pertamanya mengenai perkara itu pada 4 Julai 2008.
Dalam SD keduanya, Bala mendedahkan beliau mahu “menarik kembali keseluruhan kandangan akuan bersumpah bertarikh 1 Julai, 2008.
"Saya dipaksa mengeluarkan akuan bersumpah tersebut dalam keadaan terpaksa,” katanya.
SD kedua itu juga menyatakan semua kenyataan dibuat sebelumnya tidak tepat dan tidak benar.
Semasa sidang media mengumumkan SD kedua itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Bala mendiamkan diri manakala peguam barunya, Arulampalam, yang menjawab soalan wartawan.
Mereka meninggalkan sidang media selepas mengedarkan SD kedua. Arulampalam mengatakan anak guamnya sedang tertekan dan sedih.
Sehari sebelum itu, pada 3 Julai, 2008 Bala memberitahu sidang media dipenuhi wartawan anjuran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai kandungan SD pertama tentang penglibatan Najib dan beberapa yang lain dalam pembunuhan Altantuya pada 2006.
Americk merupakan peguam Bala. Abraham berdepan dengan tindakan Majlis Peguam kerana beliau mendraf SD kedua penyiasat persendirian itu.
Majlis Peguam mengemukakan aduan terhadap Abraham kepada jabatan disiplin tahun lalu dan pengerusinya, Christopher Leong hadir pada Mac di depan jawatankuasa itu memberi keterangan dalam sesi tertutup.
Deepak sebelum itu mengaku membantu Bala untuk menarik SD pertama dan mencarikan peguam untuk mendraf SD kedua.
Americk mendedahkan mengenai perbalahan SD apabila beliau membaca kenyataan disediakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-67 Majlis Peguam Malaysia tahun lalu, di mana beliau berkata, "Tan Sri Cecil Abraham mengakui kepada saya dia adalah orang yang menggubal akuan bersumpah kedua".
Americk kemudian memberitahu pemberita di luar AGM arahan kepada Abraham datang daripada Najib, ketika itu timbalan perdana menteri.
Dalam kes pembunuhan Altantuya, dua bekas komando polis, Koperal Sirul Azhar Umar dan Ketua Inspektor Azilah Hadri yang dituduh membunuh Altantuya didapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Sabitan mereka bagaimanapun dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada tahun lalu, dan keputusan itu dirayu Putrajaya. Abdul Razak, yang didakwa bersubahat dengan mereka, dilepaskan pada 2008. – 14 Jun, 2014.

No comments:

Post a Comment