Pages

Saturday, 14 June 2014

Erkk! KLIA 2: Mydin SAM’s Groceria (Saya Anak Malaysia) tak boleh berniaga...

Ahad, 15 Jun 2014

Mydin juga tidak dilayan di Klia 2

 
Mydin juga tidak dilayan di klia2
KUALA LUMPUR- Hasrat Mydin Mohamed Holdings Bhd., (Mydin) untuk membuka sebuah pasar raya bertaraf premium yang dikenali sebagai SAM’s Groceria di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) terbantut setelah Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) memberi alasan bahawa mereka `kurang pengalaman’.

 Namun, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin (gambar) berkata, permohonan terhadap MAHB berjalan serentak dengan tiga lagi pusat beli-belah di Lembah Klang dan Pulau Pinang yang mana pihak pengurusan mereka bersetuju untuk memberi peluang tersebut kepada Mydin walaupun SAM’s Groceria belum lagi beroperasi.

 Katanya, tindakan MAHB itu amat dikesali memandangkan perbincangan antara kedua-dua pihak sudah berjalan selama lima bulan tetapi berakhir tanpa sebarang hasil positif.

 Pada masa sama ujar beliau, pihaknya juga menerima kesemua syarat termasuk persetujuan terhadap kadar sewa yang ditetapkan oleh MAHB.

 "Ketiga-tiga pusat beli-belah itu tidak pernah melihat pengalaman kami mengendalikan pasar raya premium tetapi mereka tetap memberi peluang serta percaya kepada jenama Mydin bahawa kami boleh melakukannya sedangkan MAHB pula menolak walaupun telah beberapa kali siri perbincangan berlangsung.

 "Sememangnya perkara ini amat saya kesali, tambahan pula kami merupakan syarikat tempatan dan telah mengendalikan 222 rangkaian pasar raya di seluruh negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

 Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan ‘klia2 tidak mesra peniaga bumiputera’ dalam Utusan Malaysia hari ini yang mana pengusaha rangkaian Kopitiam Killiney masih menunggu kata putus dari MAHB walaupun sudah mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi di klia2.

 Ini berikutan daripada artikel tentang susahnya mencari restoran Melayu di klia2 yang disuarakan menerusi kolum Cuit Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan pada 11 Jun lalu, walaupun lapangan terbang itu digembar-gemburkan sebagai mercu tanda baharu kebanggaan negara.

 SAM’s Groceria adalah rangkaian pasar raya di bawah cabang perniagaan Mydin yang diperkenalkan sejak 2013 dan menawarkan 40 peratus produk tempatan dan 60 peratus produk antarabangsa meliputi pelbagai negara, termasuk Jepun, Australia serta Taiwan.

 Pasar raya berkenaan melaksanakan sistem beli-belah peribadi (SAM’s Self Scan) yang mengandungi komputer mudah alih untuk memudahkan pembeli membeli-belah. SAM yang bermaksud Saya Anak Malaysia juga mempunyai kafe iaitu SAM’s Deli di setiap cawangan pasar raya berkenaan.

 Menurut Ameer, secara dasarnya, klia2 tidak memerlukan sebuah pasar raya yang bertaraf tinggi seperti di Pavilion KL atau KLCC kerana sebagai terminal tambang murah sasaran pengunjungnya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

 Sementara itu, jurucakap MAHB ketika dihubungi telah meminta Utusan Malaysia mengemukakan soalan secara bertulis tetapi masih juga tidak memberi jawapan.

 Pegawai MITI pula ketika dihubungi mahu melihat jawapan MAHB terlebih dahulu sebelum memberi kenyataan rasmi mengenai permasalahan usahawan bumiputera bertapak di klia2. 

-UTUSAN

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com

No comments:

Post a Comment