Tarik balik surat tunjuk sebab pelajar JPA, rayu Pua kepada Khairy
OLEH ANISAH SHUKRY
Published: 21 June 2014 | Updated: 21 June 2014 3:00 PM
Ketua Publisiti DAP Tony Pua menggesa Khairy Jamaluddin memastikan surat tunjuk sebab yang diberikan kepada pelajar Malaysia di Australia kerana menyertai forum pembangkang ditarik semula.
"Saya merayu kepada Menteri Belia dan Sukan mempertimbangkan secara baik... dapatkan arahan daripada Kabinet supaya tarik balik surat tunjuk sebab tanpa justifikasi yang diberikan kepada pelajar tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (gambar) itu berkata, beliau percaya Khairy menyokong keterbukaan di kalangan pelajar untuk meningkatkan pemikiran kritis dan kemahiran analitikal mereka, serta menggalakkan nilai demokratik.
Katanya, ketika menjadi ahli panel dengan Aslam Abdul Jalil dalam forum "Kaum, Agama, dan Royalti" di Universiti Kebangsaan Australia (ANU) pada 22 April lalu, perbincangan adalah "keras tetapi mesra, analisis dan nyata, tanpa sebarang unsur hasutan".
"Tiada penghinaan, contohnya kepada sebarang kaum, agama atau kerabat diraja di Malaysia. Surat tunjuk sebab itu dikemukakan dengan niat jahat, bertujuan untuk menakutkan dan menekan pelajar kita di luar negara," katanya.
Katanya, panelis ketiga, Dr John Funston, merupakan felo jemputan daripada Jabatan Politik dan Perubahan Sosial ANU, khusus dalam bidang politik dan kerajaan di Asia Tenggara dan sejarah Asia.
"Ketiga-tiga panel, ahli akademik terkenal yang banyak menulis buku tentang Malaysia dan Asia Tenggara, seorang ahli politik, dan seorang pelajar ekonomi, duduk bersama membincangan isu 'Kaum, Agama, dan Royalti' dan impaknya di Malaysia,"katanya.
Aslam dilaporkan menerima surat tunjuk sebab daripada JPA pada Rabu lalu, diminta supaya menjelaskan penyertaannya sebagai panel forum yang dianjurkan oleh Canberra Malaysian Interest Group (CMIG).
Pelajar itu didakwa melanggar Klausa 5.5 perjanjian biasiswa yang melarangnya menyertai aktiviti atau protes berunsur 'hasutan'.
Laman komuniti Facebook "Australian National University – Malaysian Politics" yang dikendalikan pelajar ANU dan CMIG, pada Khamis lalu menulis forum tersebut hanya ekspresi mengenai pandangan politik mereka.
"Forum dikendalikan secara ilmiah bagi menggalakkan pemikiran kritis dan membangkitkan kesedaran dikalangan pelajar Malaysia dengan bantuan ahli akademik antarabangsa di ANU," kata pengendali laman tersebut.
Pua berkatam Aslam "didakwa dengan tuduhan yang melampau, iaitu hasutan... sehingga memudaratkan kepentingan Malaysia atau institusi pendidikan".
Katanya, tanggungjawab kini dibahu Khairy untuk meyakinkan kerajaan supaya masuk campur, kerana Khairy juga pernah membantah Jabatan Pendidikan Malaysia menghalang Pua daripada dijemput untuk bercakap di Malaysia Summit Australia (Masa) di Melbourne.
"Namun, espisod terbaru ini jelas menunjukkan Kabinet tidak mengambil nilai apa yang dibangkitkan Khairy, kerana surat tunjuk sebab itu jauh lebih dari sekadar 'menghalang jemputan' seorang politik pembangkang," katanya. – 21 Jun, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tarik-balik-surat-tunjuk-sebab-pelajar-jpa-rayu-pua-kepada-khairy#sthash.pLtZrWI0.dpuf
No comments:
Post a Comment