Pakatan Rakyat Tidak Akan Pecah
APA jua sikap PAS terhadap kedudukan TS Khalid Ibrahim, sama ada dia dapat dipertahankan sebagai Menteri Besar Selangor lagi atau tidak, tidak akan memecahkan Pakatan Rakyat.
Janganlah sesiapa bimbang, baik pemimpin PAS yang takut dengan sikap Tok Guru Haji Hadi jika beliau terus berkeras, atau beliau disokong majoriti pimpinan PAS Pusat, atau Khalid Ibrahim terus menyeret PAS dalam sikap kerasnya seperti yang dibimbangkan oleh Husam Musa, atau kerja indah enam tahun musnah oleh empat hari krisis itu seperti yang dibimbangkan oleh Lim Kit Siang atau apa jua kekecewaan PKR atas sikap PAS dan Presidennya, Pakatan Rakyat tidak akan hancur selagi Anwar Ibrahim tidak mati.
Tidak perlu ADUN PAS hendak lari dari PAS dan tidak perlu pemimpin PAS takut dengan pandangan Presidan dan Mursyidul Amnya, janganlah Kit Siang dan DAP berputus asa tentang masa depan Pakatan Rakyat selagi Anwar Ibrahim ada.
Katakanlah isterinya tidak dapat menjadi Menteri Besar, katakanlah Khalid kekal juga, Anwar tidak akan biarkan Pakatan hancur. Dia akan pastikan muafakat ketiga-tiga parti itu – PAS, DAP dan PKR – akan kembali rancak dan utuh menjelang PRU14, sama seperti menghadapi PRU13.
Bukankah Anwar sudah kata, krisis MB itu dan sikap semasa PAS sebelum Khalid dipecat dari PKR, krisis itu tidak akan memecahkan Pakatan Rakyat. Setakat ini, yang boleh menghancurkan Pakatan Rakyat selain Allah ialah Anwar.
Kalau Anwar hendak menghancurkannya, dengan izin Allah ia boleh hancur. Bukankah politik Langkah Kajangnya yang mengharubirukan warga Pakatan Rakyat semua telah mengancam perpaduan muafakat itu sesama sendiri. Tetapi percayalah Anwar tidak akan biarkan Pakatan mati sebelum dia mati.
Selain dari Pakatan dan Buku Jingganya adalah harapan terbaik bagi negara dan rakyat untuk membuat perubahan, Pakatan itu juga adalah harapan dan wasilah besar Anwar untuk mencapai cita-cita politiknya bahawa dia akan capai apa yang Mahathir cuba sekat selama ini baik melalui Umno atau pun di luar Umno.
Bukankah Pakatan Rakyat itu ibarat anak kandungnya seperti juga Nurul Izzah. Seperti bapa-bapa lain dia tidak akan sanggup bunuh Izzah. Dia yang membidani Pakatan, maka dia tidak akan biarkan Pakatan hancur.
Bagi PAS, falsafah besar perjuangannya seperti yang gariskan pimpinan besarnya Dr. Burhanuddin al-Hilmy bermatlamat mewujudkan tertegaknya di negara merdeka ini sebuah pemerintahan yang berjalan di dalamnya aturan dan peraturan Islam. Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Hadi selalu sebut, Tuhan tidak tanya adakah kita menang pilihan raya, tetapi Allah tanya, adakah kita sudah kerja Islam bagi menghadapi pilihan raya.
Tidak diidamkan oleh semua Presiden PAS dulu untuk jadi Perdana Menteri atau Khalifah, tetapi keutamaannya bekerja menegakkan pemerintahan yang terlaksana aturan dan peraturan Islam. Menang atau jadi Perdana Menteri itu kerja Allah.
Akan Lim Kit Siang dan DAP yang dimahunya wujud Malaysian Malaysia dan pemerintahan yang anjal. Dengan politik perkauman yang ada dia tidak terfikir untuk menjadi menteri sebelum mati.
Berbeza dengan PKR, mahu menang dan perubahan dengan Anwar sebagai Perana Menteri. Kalau dia biarkan Pakatan hancur atas krisis MB dan Khalid, bukan saja perubahan tidak berlaku, Anwar terpaksa berpuas hati sekadar jadi Ketua Pembangkang dan bekas Timbalan Perdana Menteri.
Selagi Anwar belum mati, usah bimbang Pakatan tak akan hancur.
SUBKY LATIF - HARAKAHDAILY
Kapal Selam Tersalah "Landing" Di Tengah Kota Milan !
Syarikat teknologi Europ Assistance IT sebenarnya yang merancang konsep kapal selam ini. Mereka seloah-olah membuat sebuah kapal selam terdampar di jalan raya. Namun sebenarnya ada mesej yang ingin disampaikan oleh pihak pengiklan atau syarikat insurans.
Source: Sidominews
Via: news.google.com
Via: news.google.com
No comments:
Post a Comment