Malaysia boleh, menghasut atau tidak?
Datuk Nur Jazlan Mohamed
Di Malaysia, kita semua bebas bersuara tetapi hati-hati sebab tidak semestinya bebas selepas bersuara. Itu adalah hakikat yang perlu dipegang kira-kira 30 juta rakyat negara ini, dalam zaman dunia tanpa sempadan dan medium Internet menjadi penghubung utama komunikasi sesama rakyat.Walaupun secara peribadi saya tidak bersetuju Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan tetapi saya menyokong keberanian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana berani mengotakan janjinya.
Dan secara peribadi juga saya tidak menyokong Akta Hasutan dihapuskan terus tetapi keberanian Datuk Seri Najib untuk menghapus atau menggantikan akta ini, perlu diberikan pujian kerana ia adalah asas untuk rakyat menyokong seorang pemimpin iaitu mengotakan janjinya bak kata pepatah “lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya”.
Namun dengan apa yang berlaku ketika ini, nampaknya keyakinan terhadap Datuk Seri Najib mengotakan janjinya semakin menipis.
Tidak perlu dihuraikan lagi mengenai apa yang berlaku sejak dua tiga minggu lalu, selepas kira-kira 10 individu termasuk ahli politik, ahli akademik, wartawan dan “keyboard warrior” dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948.
Ironinya, hari ini genap tiga tahun Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman terbuka hasil inisiatif Program Transformasi Politik (PTP) yang melibatkan pembatalan 3 Proklamasi Darurat, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri, Penggubalan Akta Perhimpunan Aman termasuklah pemindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
Dengan berbekalkan keterbukaan dan menyangka itulah yang rakyat Malaysia mahukan iaitu menghapuskan ISA, Datuk Seri Najib atas nasihat segolongan penasihat rapatnya memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum (PRU) 13 penuh yakin untuk mendapatkan semula majoriti dua per tiga untuk Barisan Nasional (BN).
Namun rupanya menghapuskan ISA bukanlah formula untuk menyakinkan rakyat memberikan mandat dua per tiga kepada BN dan lebih teruk, keputusan PRU13 lebih buruk daripada PRU12 di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Saya tidak pasti sama ada menghapus atau menggantikan Akta Hasutan dengan Akta Keharmonian Nasional yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat hujung tahun depan termasuk dalam pelan tranformasi politik Datuk Seri Najib atau tidak.
Namun pendakwaan secara beramai-ramai yang berlaku di bawah Akta Hasutan jelas tidak memberikan imej baik kepada Putrajaya sekali gus menimbulkan kesangsian rakyat kepada ketelusan Datuk Seri Najib Razak untuk menghapuskan akta berkenaan yang kini dilihat cuba membuat “U-turn” terhadap janji beliau sendiri.
Amat jelas sekali rakyat Malaysia kini, terbahagi kepada dua pendapat sama ada Akta Hasutan ini perlu dihapus atau digantikan, tidak seperti apa yang berlaku ketika penghapusan ISA apabila keputusan dibuat Datuk Seri Najib sendiri.
Sudah pasti Akta Hasutan ini, yang wujud sebelum Malaysia merdeka lagi, adalah bagi memastikan tiada sebarang hasutan dilakukan segelintir pihak untuk mewujudkan huru hara dalam negara dengan menyentuh isu mengenai raja-raja Melayu, Islam dan orang Melayu.
Namun, ada banyak pihak khususnya di kalangan pembangkang yang memberikan persepsi Akta Hasutan ini, digunakan bagi menyekat kebebasan bersuara di kalangan rakyat dan kerajaan tidak boleh dikritik atau ditegur.
Inilah persepsi yang sedang berlaku sejak dua tiga minggu lalu, dan lebih teruk ada yang membandingkan dengan Ops Lalang 1987 pada zaman era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimana sebenarnya, untuk mendefinisikan hasutan pada masa kini, dalam usaha kerajaan untuk melahirkan rakyat berpengatahuan tinggi bagi mencapai Wawasan 2020 yang tinggal tidak sampai enam tahun lagi.
Di sinilah, kelemahan Putrajaya dalam cuba mengimbangi jenayah yang dilabelkan sebagai hasutan dengan kata-kata atau ucapan atau terbitan bagi memberikan maklumat kepada rakyat.
Sebenarnya, sudah pasti sesuatu yang ideal di Malaysia apabila setiap orang boleh dan perlu mengemukakan pandangannya tanpa penalti dan perlu ada satu semangat toleransi pada pihak berkuasa yang sepatutnya membentuk pemikiran rakyat.
Tetapi hakikatnya, jika terlalu banyak kebebasan diberikan sudah pasti akan menimbulkan kekecohan dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan agama serta ditunjangi pemerintahan demokrasi Raja Berpelembagaan.
Jadi, saya berpendapat sudah sampai masanya, kerajaan memberikan garis panduan mengenai apa yang dikatakan sebagai hasutan di Malaysia seperti yang dilakukan di Thailand yang jelas mendefinasikan segala bentuk kecaman atau ucapan yang menyentuh raja Thailand didakwa sebagai hasutan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Akta Hasutan sebenarnya perlu dijadikan sebagai sebuah akta yang bersifat mendidik dan mencegah tetapi senario kini, ia lebih banyak digunakan sebagai suatu bentuk hukuman kepada hak kebebasan bersuara dan sekali gus membelakangkan asas demokrasi.
Memang benar, ada negara jiran kita yang terus mengamalkan Akta Hasutan dan Akta ISA, tetapi perlukah Malaysia meniru akta yang bersifat “draconian” ini, yang jelas bertentangan dengan perubahan gaya hidup sosial masyarakat dunia.
Saya sebenarnya, amat yakin rakyat Malaysia sudah memahami asas pembentukan negara ini, dan majoritinya tentu tidak mahu tanah air tercinta ini, menjadi huru-hara dan kacau-bilau hanya disebabkan ada anasir yang menyentuh hak sensitiviti kaum lain.
Jika ada kaum yang tidak berpuas hati dengan orang Melayu, mereka tidak melakukan demonstrasi di jalanan secara terang-terangan sebaliknya akan diterjemahkan dalam bentuk undi ketika pilihan raya umum.
Atas sebab itu, ramai yang melihat tindakan mendakwa secara terpilih segolongan individu menggunakan Akta Hasutan ini lebih bermotifkan politik dan jika itu persepsi rakyat, saya amat khuatir kesannya kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno.
Ini kerana ada juga individu Melayu yang mengeluarkan kenyataan yang menghiris perasaan dan sensitiviti kaum dan agama lain tetapi tidak dikenakan sebarang tindakan hingga menguatkan kenyataan Akta Hasutan ini, digunakan bagi melindungi Umno dan kerajaan BN.
Jika itulah gayanya, nampaknya parti saya ini masih tidak sedar jika undang-undang digunakan bagi menghalang politik pembangkang seperti yang digunakan dalam Ops Lalang 1987, ia hanya akan mencipta idola politik pembangkang yang baru.
Ketika lanskap politik pembangkang negara sejak 20 tahun lalu hanya berkisar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Mat Sabu serta Lim Guan Eng dan rakyat mengetahui “kesengsaraan” perjalanan politik mereka sejak antara 30 dan 20 tahun yang lalu, perlukah kerajaan BN mencipta “idola” politik pembangkang yang baru.
Sudah pasti penahanan pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM), Prof Dr Azmi Shahrom memberikan isyarat negatif kepada ahli akademik, institut pengajian tinggi dan mahasiswa di negara ini.
Tindakan “hartal” yang dilakukan sekelompok mahasiswa dan pensyarah di UM baru-baru ini, bagi menyokong Azmi jelas menjadikan beliau sebagai “ikon” baru terhadap persepsi menentang BN.
Sudahlah, BN dan Umno tidak mempunyai hubungan yang berapa kukuh dengan golongan mahasiswa sama ada di IPTA atau IPTS, kini tindakan mendakwa pensyarah dan mahasiswa mengikut Aka Hasutan akan mewujudkan jurang lebih besar antara parti dengan institut pengajian tinggi sekali gus mewujudkan idola yang dilihat mangsa penindasan kerajaan untuk masyarakat bandar serta separa bandar yang sememangnya bersifat “‘anti establishment”.
Kegagalan menembusi dan menyerapkan ideologi BN dan Umno di IPTA atau di IPTS yang seharusnya dipikul golongan Pemuda Umno dan BN, jelas merisaukan saya kerana golongan muda inilah yang akan menjadi penentu kepada survival parti dalam PRU 14 nanti.
Mereka inilah, menjadi “silent majority’ yang akan bersuara dalam PRU14 nanti dan jika Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya mahu golongan ini bersuara, saya cukup bimbang apa yang mereka akan suarakan adalah dalam bentuk penolakan BN dan Umno ketika mengundi di PRU14 dan diketuai “idola pembangkang” ciptaan Putrajaya.
“Silent majority” ini juga faham cara menumbangkan kerajaan melalui demontrasi jalanan tidak akan berkesan dan apa yang lebih berkesan adalah dengan senyap sebelum menunjukkan belang mereka pada hari mengundi dengan tidak mengundi BN.
Ini belum lagi direncahkan dengan pembangkang yang akan membawa pelbagai cerita ulang tayang mengenai korupnya dan pembaziran serta kelemahan kerajaan BN dalam menguruskan pentadbiran negara serta wang rakyat.
-Penulis adalah ahli Parlimen BN untuk Pulai dan merupakan Pengerusi PAC Parlimen
No comments:
Post a Comment