Hasil perjuangan parti keramat PEMBELA MELAYU... apa komen melayu UMNO?
Baliklah ke hutan wahai Melayu
SUBKY LATIF | 31 Oktober 2014.
RAKYAT yang menduduki Kampung Chubadak di Kuala Lumpur nampak dikalahkan oleh kerajaan, Dewan Bandaraya dan swasta apabila rumah terakhir di salah sebuah kawasan kampung itu kepunyaan Mak Cik Wahida dimusnah – diroboh dan sarapnya dibakar.
Seolah-olah itu mengakhiri perjuangan rakyat – penduduk dan penyokongnya bagi mempertahankan perkampungan orang Melayu di bahagian kota raya itu.
Chubadak adalah satu daripada baki perkampungan Melayu yang tinggal sedikit di kota itu. Lain-lain tempat sudah habis termasuk tanah rizab Melayu. Lebih 50 tahun mereka mempertahankan perkampungan itu termasuk menyertai Umno. Rupanya Umno juga tidak kebal dan tidak memberi bekas.
Status rizab Melayunya dikatakan sudah lama lucut. Jika yang digezetkan rizab pun habis, apalah yang diharapkan tanpa status rizab, sekadar didiami orang Melayu bangsat saja.
Isu Kampung Chubadak diserahkan kepada saudagar bukan Melayu kecoh sejak sekian lama tetapi agak tegang sekitar enam bulan lalu. Ada riak dan bunga perkauman atas penyerahan kepada saudagar bukan Melayu itu. Ia jadi perkampungan Melayu sejak sekian lama, tiba-tiba diserahkan kepada swasta bukan Melayu bagi memajukannya.
Putik perkauman itu seolah layu apabila ada kenyataan daripada saudagar berkenaan dikatakan menarik diri daripada memajukan tanah berharga itu. Kenyataan itu amat dihargai kerana ia dikira dapat menamatkan perbalahan antara rakyat dan kerajaan pilihan rakyat.
Saya pernah menulis enam bulan lalu mengalu-alukan kenyataan saudagar itu dengan harapan masa bagi saudagar lintah darat mula berakhir.
Enam bulan lalu juga Datuk Bandar Kuala Lumpur yang diharapkan dapat membela orang Melayu miskin dan tertindas di Kuala Lumpur itu menyatakan hasratnya untuk menambah keluasan tanah rizab Melayu yang banyak terhakis di kota itu. Tanah kosong sudah tidak banyak. Mana tanah yang tinggal untuk dijadikan tanah rizab Melayu, ganti tanah yang disapu ular air sejak merdeka?
Jika saudagar tadi dikatakan menarik diri daripada memajukan Kampung Chubadak, maka ia adalah satu peluang baik bagi menjadikannya antara ganti tanah rizab yang Datuk Bandar cadangkan itu.
Dengan kerja terakhir kerajaan pilihan rakyat membantu saudagar menceroboh perkampung Melayu Chubadak itu, menjadikan kenyataan saudagar menarik diri itu seperti helah Peringgi membeli tanah sebidang belulang lembu di Melaka dulu unuk dijadikan tapak pembinaan Kota Melaka dan mengulangi janji Sir Stanford Raffles membeli Singapura daripada Sultan Johor dulu. Raja Melaka tertipu, Sultan Johor dan orang Singapura asal tertipu.
Tidakkah orang Chubadak tertipu? Memang mereka tertipu. Melayu bukan sekadar mudah lupa, bahkan mudah tertipu.
Siapa tipu mereka? Kerajaan dan DBKL yang bersahabat dan tidak salah jika dikira bersubahat dengan saudagar.
Penduduk Chubadak sejak sekian lama dikira oleh kerajaan sebagai setinggan. Akhir-akhir ini mereka dikira peneroka bandar. Almarhum Tan Sri Yaakub Latif semasa menjadi Datuk Bandar KL menyifatkan setinggan adalah seri keindahan Bandar raya Kuala Lumpur.
Dan apa puncanya Kuala Lumpur dibanjiri setinggan secara mendadak? Justeru seruan Almarhum Tun Razak ketika baru menjadi Perdana Menteri dulu, menggesa orang kampung berhijrah ke bandar tidak kira ada kerja atau tidak, sebahagian satu kaedah melaksanakan Dasar Ekonomi Baru. Chubadak adalah antara kawasan yang mereka isi.
40 tahun selepas Tun Razak meninggal, setinggan sudah tidak ada tempat tinggal di KL. Inna lillah wainna ilaihi rajiun! Baliklah kamu ke hutan? – HARAKAHDAILY 31/10/2014
No comments:
Post a Comment