TG Nik Aziz semakin pulih
Anak kepada mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bapanya itu kini beransur pulih dan sudahpun mampu bangun untuk bertegur sapa pagi ini.
Nik Mohamad Abduh berkata, bapanya itu bagaimanapun masih dalam rawatan rapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
"Alhamdulillah, pagi ini ayahanda menunjukkan reaksi lebih baik dan semakin positif terhadap semua rawatan yang diberikan.
"Ayahanda sedar awal pagi tadi, solat Subuh, minum teh O, bertanya khabar beberapa ketika dan mengukir senyum.
"Selepas tidur kembali, beliau sedar dan minta untuk minum lagi," kata MP Pasir Mas itu lagi dalam tulisan di Facebook.
Sementara itu, laporan Bernama menyebut, Nik Abduh juga berkata doktor meminta ahli keluarga menderma darah sebagai persediaan.
"Pemeriksaan melalui CT scan juga normal, cuma doktor meminta anggota keluarga yang sihat supaya menderma darah untuk persediaan jika keadaan memerlukan," katanya kepada pemberita di hospital itu hari ini.
Katanya, bapanya turut bertanyakan mengenai tahap kesihatannya sepanjang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Neuro itu.
Nik Abdul Aziz, 84 dimasukkan ke unit rawatan tersebut semalam.
Menurutnya Nik Abdul Aziz sudah lama menghidap kanser prostat dan penyakit itu dapat dikawal selepas rawatan berterusan dilakukan.
Beliau berkata pelawat yang mahu menziarahi bapanya akan dibenarkan berbuat demikian oleh pihak hospital dan keluarganya sahaja.
"Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan untuk kesihatan ayahanda," katanya.
Malam tadi, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan melawat Nik Abdul Aziz.
Nik Abdul Aziz, yang menjadi menteri besar Kelantan sejak 1990, menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya Datuk Ahmad Yakob selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013 lapor Malaysiakini
Posted by Anak Sungai Derhaka
No comments:
Post a Comment