Pages

Thursday, 5 March 2015

Dr.MAZA & Kazim adakan sidang media hari ini...'menjelaskan salah faham'

Khamis, 5 Mac 2015

Dr. MAZA Dan Kazim Akan Adakan Sidang Media Jelaskan Kekeliruan Hari Ini


 KANGAR - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Datuk Mohd Kazim Elias akan mengadakan sidang media hari ini bagi menjelaskan salah faham membabitkan mereka.

Ini berikutan penyebaran surat mufti tersebut yang tidak bersetuju Kazim dijemput sebagai ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam sempena Keputeraan Raja Perlis yang disebarkan pihak tertentu di luar pengetahuan Asri.

Dalam surat yang dihantar kepada pegawai kanan di pejabat Menteri Besar Perlis, Asri memaklumkan ketidaksetujuannya atas alasan Kazim terlibat dengan pembacaan riwayat palsu mengenai Rasulullah SAW.

Melalui entri terbaharu Facebooknya, Mohd Asri kesal dengan penyebaran surat dalaman urusan kerajaan itu melalui internet.

“Surat itu tidak menyebut penceramah berkenaan dihalang berceramah di Perlis tetapi menyatakan tidak bersetuju untuk menjadi panel forum berkenaan yang bersempena Keputeraan Raja Perlis,” kata Asri.


Menurutnya, ia adalah surat dalaman pentadbiran dan penyebaran surat itu tidak sepatutnya berlaku.

Berikutan itu, Asri turut menyertakan satu salinan muka surat buku yang ditulis oleh Kazim, "Tuhan Sedang Menguji Kita' sebagai rujukan.

Antara lain, kandungan buku itu menyatakan, 'manakala kenduri Rasulullah SAW yang paling mahal pula adalah roti jala dicelup dengan kuah kari' yang dikatakan menjadi punca ketidaksetujuan Asri terhadap cadangan mengundang Kazim sebagai panelis forum.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Asri enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu sebaliknya meminta wartawan memetik kenyataan daripada Facebooknya.

Dalam pada itu, Kazim pula ketika dihubungi menyatakan pihak berkenaan sepatutnya menghubungi beliau sendiri untuk mendapatkan penjelasan berhubung apa yang dianggap sebagai riwayat palsu itu.

"Sebelum menganggap saya bawa riwayat palsu, panggillah saya dulu untuk jelaskan. Itu yang sebaiknya," katanya.

Mengenai cerita roti jala yang dikaitkan, Kazim menjelaskan: “Apa saya kata dalam buku itu hanya secara kiasan, Rasulullah SAW, buat kenduri kahwin dengan menghidangkan roti dengan kuah kambing yang saya kiaskan sebagai roti jala dan kari.


“Perlu baca sepenuhnya ayat saya itu di mana saya mahu menerangkan, perkahwinan Rasulullah paling mahal adalah perkahwinan baginda dengan Zainab Jahsy apabila menghidangkan roti dengan kambing. Sebagai penceramah, saya mahu guna bahasa kampung, tidak salah kenduri buat roti jala dengan kari kambing.”

Kazim berkata, salah faham timbul apabila ada pihak mengambil sebahagian sahaja petikan ayat daripada buku itu.

“Saya mahu mudahkan, setiap roti dibuat dengan tepung, campur air dan garam. Roti paling senang dibuat adalah roti jala. Cuma mereka (ketika itu) tidak panggil roti jala. Saya ceramah guna bahasa kampung,” katanya.





Bloglist Malaysia

No comments:

Post a Comment