Pages

Wednesday, 18 March 2015

ENGGANG DAN PIPIT DI MALAYSIA...Kami perlu berjimat, kerajaan Amno@Bn beli jet peribadi...

Khamis, 19 Mac 2015
Golongan berpendapatan sederhana dan miskin antara yang paling terkesan dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang akan bermula 1 April ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Mac, 2015.
Golongan berpendapatan sederhana dan miskin antara yang paling terkesan dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang akan bermula 1 April ini. 
ENGGANG DAN PIPIT DI MALAYSIA
Posted by 
Image result for Gambar pasar malam
Kami perlu berjimat, kerajaan beli jet peribadi, kata golongan miskin berhubung GST 

OLEH SHERIDAN MAHAVERA, SHAUN LOW DAN MELATI ABD JALIL
Published: 19 March 2015 9:00 AM
Semalam, The Malaysian Insider memaparkan bahagian pertama daripada kajian untuk mengkaji kenaikan ringgit dalam perbelanjaan runcit keluarga selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan. Bahagian kedua hari ini menumpukan sama ada mereka 'positif, neutral atau negatif' tentang cukai baru itu yang akan dilaksanakan bulan depan.


Zaidi Othman mungkin hanya perlu membayar lebih RM6 atau RM7 untuk barangan runcitnya selepas GST tetapi masih berpendapat cukai baru itu lebih “negatif” daripada “positif”.
Pendapat peniaga kecil 48 tahun dari Klang itu sebahagian trend yang dapat dilihat The Malaysian Insider dalam kajian mengenai cukai baru itu – lebih rendah pendapatan isi rumah mereka, lebih negatif pendapat tentang cukai 6% itu.
Ini berlaku walaupun kempen meluas daripada kerajaan untuk meyakinkan rakyat Malaysia cukai tersebut lebih adil dan akan membawa kepada penurunan harga barangan.
"Kerajaan mahu mengenakan cukai terhadap kami dan menyuruh kami berjimat. Tetapi mereka pula membeli jet peribadi baharu," kata Zaidi, merujuk kepada Airbus ACJ320 bernilai RM28.8 juta yang diakui dibeli Putrajaya baru-baru ini.
Kajian mendapati keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah sebanyak RM12,000 dan ke atas lebih positif tentang GST.
Namun lebih rendah pendapatan isi rumah mereka, pendapat mereka berubah-ubah tentang cukai itu, kesannya terhadap diri dan sama ada ia baik untuk negara.
Mereka yang berpendapatan RM5,000 dan ke bawah kebanyakan tidak gembira dengan prospek membayar GST.
Sikap negatif terhadap GST amat ketara walaupun diberitahu sekiranya mengekalkan tabiat perbelanjaan mereka, jumlah bayaran cukai masih tidak setinggi golongan berpendapatan tinggi.
Penentangan mereka melahirkan keberkesanan kempen Putrajaya tentang GST. Walaupun mereka sedar kewujudan cukai tersebut, mereka tidak termakan dengan mantra yang ia lebih adil dan telus berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Positif ke negatif
Kajian menilai corak perbelanjaan 12 keluarga dari 10 kawasan Lembah Klang untuk melihat bagaimana perbelanjaan mereka akan dikenakan cukai sekiranya mereka terus membeli barangan yang sama selepas 1 April.
Resit barangan runcit mereka dibandingkan dengan senarai Jabatan Kastam tentang barangan runcit dan rumah yang akan dikecualikan daripada GST.
Mereka diberitahu berapa banyak barangan dalam resit yang akan dikenakan cukai dan sama ada mampu mengubah tabiat perbelanjaan selepas April.
Mereka juga disoal tentang pendapat terhadap cukai itu, sama ada ia sistem yang baik dan adakah mereka bersikap positif, neutral atau negatif terhadapnya.
Tiga keluarga mempunyai pendapatan isi rumah kurang RM5,000 sebulan, 5 berpendapatan antara RM5,000 hingga RM12,000 dan 4 berpendapatan RM12,000 ke atas.
Tinjauan dijalankan di Klang, Shah Alam, Puchong, Kepong, Damansara Jaya, Gombak, Ampang, Bangi, Kajang dan Cheras.
Tahap keyakinan
Putrajaya mengatakan GST merupakan sebahagian usaha untuk mereformasi sistem cukai sedia ada, di mana hanya 1.7 juta daripada 12 juta pekerja membayar cukai pendapatan.
Beban cukai akan dikongsi dengan lebih meluas dan akan melibatkan hampir semua barangan dan perkhidmatan.
Sebagai pertukaran, cukai pendapatan persendirian akan dikurangkan daripada 1% hingga 3%, bergantung kepada kategori pendapatan pekerja. Dianggarkan seramai 300,000 individu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan selepas GST.
Satu lagi mantra tentang GST ialah mereka yang banyak membeli akan membayar lebih, dan ini ditunjukkan melalui resit, di mana isi rumah berpendapatan tinggi dijangka akan membayar lebih dengan GST bagi pembelian barangan.
Walaupun 31% hingga 34% barangan daripada keluarga berpendapatan rendah dalam kajian akan dikenakan cukai, jumlah cukai yang perlu dibayar hanyalah antara RM6 hingga RM8 – nilai terendah dalam semua kategori.
Tetapi ia masih tidak mengubah perspektif terhadap cukai tersebut, dengan 3 daripada keluarga berpendapatan rendah mengatakan mereka lebih negatif terhadap cukai tersebut daripada positif.
Kontraktor Hadar Thakrip dari Bandar Baru Ampang merasakan cukai tersebut tidak adil walaupun 69% barangan runcit dibelinya baru-baru ini tidak dikenakan cukai.
Misalnya, dalam salah satu resit Hadar, di mana 11 daripada 22 barangan akan dikenakan cukai, dia perlu membayar lebih RM4.25 selain jumlah RM136 yang dibayarnya.
"Mereka patut cukai mereka yang kaya, bukan yang miskin," kata Hadar.
Seorang pekerja berpendapatan pertengahan Maznah Ahmad dari Shah Alam juga berpendapat negatif terhadap GST. Kira-kira  55% barangan dibelinya akan dikenakan cukai.
"Sebagai seorang pengguna, saya tersepit dalam situasi ini kerana barangan yang saya beli untuk keperluan harian, jadi tiada pilihan bagi saya," kata penolong pentadbiran yang mempunyai pendapatan isi rumah RM8,000 sebulan.
Majoriti daripada mereka, iaitu 5 daripada 12 keluarga, berkecuali dan mempunyai perasaan bercampur-campur mengenai GST. Mereka ini terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan tinggi.
“Kalau saya kerajaan, ia sudah tentu membantu kerana setiap individu dikenakan cukai," kata Yap Mun Fen, pengurus kewangan dari Bandar Kinrara, Puchong.
Bagaimanapun, bagi memastikan keberkesanan GST, Putrajaya perlu memperbaiki sistem perbelanjaannya, yang sekarang ini dipenuhi ketirisan, kata Yap.
Daripada 12 keluarga, cuma 3 – 2 berpendapatan tinggi manakala 1 sederhana – menyambut baik cukai tersebut. Namun begitu, mereka masih berhati-hati berkenaan pelaksanaannya.
“Ia baik tetapi pada hemat saya, lebih baik dijalankan dalam keadaan ekonomi baik," kata Predip Bipro dari Kajang, yang bekerja dalam industri hospitaliti.
“Yang kaya mungkin tidak merasakan sangat. Tetapi golongan pertengahan seperti kami akan risau,” katanya yang berusia 29 tahun itu, dan berpendapatan RM7,000 sebulan.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Paul Selvaraj berkata, apa-apa cukai sememangnya tidak popular terutama di kalangan miskin, yang mungkin terasa bebannya.
“Itu sebabnya ujian besar terhadap sistem ini adalah bagaimana kerajaan menangani sikap mengaut keuntungan dan menaikkan harga,” kata Selvaraj.
Ini untuk memastikan inflasi tidak terkawal dibendung dan harga distabilkan berikutan GST menggantikan cukai SST 16%.
“Bagaimana kerajaan bertindak terhadap aduan mengaut untung akan memberi kesan tahap keyakinan orang ramai terhadap cukai baharu itu," katanya. – 19 Mac, 2015.
TMI.

No comments:

Post a Comment