Sebarang risiko Ahmad, Mohd Amar kena bertanggungjawab
Saya rasa dalam Pas orang yang paling membuak-buak untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini ialah Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sebagai ulama yang faqih agama Allahyarham cukup fahaman kepentingan dan kewajiban mengenai hukum hudud. Kalau boleh disebut dan ditambah, hudud berada dalam urutan keenam dalam rukun Islam, selepas menunaikan Haji ke Makkah.
Sebab itu pada tahun 1993 satu Enakmen Syariah Jenayah II dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan setelah tiga tahun Pas memegang kerajaan. Kesegeraan itu menunjukkan komitmen almarhum kepada hudud. Tetapi mengapa sehingga beliau berhenti menjadi MB, hukum hudud tidak dilaksanakan di Kelantan. Apakah kegagalan itu disebabkan kerana wujud sedikit kecacatan dalam enakmen itu seperti hendak dibaiki besok. Ataupun kelengahan itu adalah strategi politiknya?
Saya tidak fikir kalau kelengahan itu kerana kecacatan atau kelemahan enakmen tersebut, yang ingin diperbaiki pada sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan esok. Kalau ianya kerana itu masakan Tokguru tidak terfikir dan dinasihati melakukan pindaan? Bagi saya bukan kerana kecacatan itu, sebalik kelenggahan itu adalah strategi siasahnya.
Allahyarham walaupun ada kalanya tegas dalam politik tetapi beliau mendengar pandangan daripada rakan-rakan yang lain juga. Beliau tidak bertindak melulu dan pakai kepalanya seorang diri.
Apabila ditanya kenapa hudud masih tidak dilaksanakan, Tokguru pernah menggunakan alasan kerana takut kepada surat amaran diberikan oleh Dr Mahathir Mohamad. Mahathir semasa jadi PM telah menghantar surat memberi peringatan kepada kerajaan Kelantan agar tidak melaksanakan hukum hudud kerana bagi Mahathir enakemen hudud Pas itu tidak adil.
Sejajar dengan araman itu diterjemahkan, sekiranya kerajaan melaksanakan juga hukum hudud menyebabkan satu keburukan mungkin berlaku kepada kerajaan Kelantan. Apa yang diterjemahkan pada masa itu ialah, kononnya Mahathir akan mengambil tindakan sehingga meMAGARANkan kerajaan Kelantan dan tindakan ini merugikan perjuangan Pas.
Kejadian 37 tahun lampau dimana kerajaan Kelantan pernah diletakkan dibawah pemerintahan Darurat menakutkan Pas Kelantan dan juga Tokguru. Jadi bagi mengelak kemungkinan tindakan diambil itu maka surat Mahathir itu dijadikan alasan? Maka hudud dilengahkan. Apakah Tokguru lebih tunduk kepada surat ugutan Mahathir daripada perintah Allah? Oh tidak.
Tindakan itu semua alasan dan strategi bagi mengelakkan terjadi sesuatu yang boleh memburukkan keadaan Pas dan kerajaanya. Benar atau tidak apa yang ditafsirkan itu, ia menunjukkan Tokguru mengambil peduli kepada implikasi yang bakal menimpa Pas. Jadi beliau sedia menangguhkannya untuk beberapa waktu hatta terpaksa berdosa(?) dengan kelewatan itu.
Mengapa dalam situasi hari ini, dimana Pas boleh berlaku perpecahan sesama sendiri gara-gara hudud ia "diterak" hendak dilaksanakan juga. Kenapa tindakan bijaksana penangguhan seperti pernah diambil Nik Aziz itu tidak dibuat? Apakah Pas Kelantan mempercayai kepada ikrar Umno untuk menyokong hudud maka peluang itu diambil? Dan Pas Kelantan langsung tidak menaruh kebimbangan kepada rakanya sendiri. DAP dan PKR tidak memberi persetujuan ke atas nawaitu Pas itu. Bagi saya ketidaksetujuan PKR dan DAP itu lebih bahaya daripada surat ugutan Dr Mahathir.
Persoalan ini tersimpul dalam kepala mereka yang menguasai kerajaan Kelantan kini. Cuma satu perkara saya ingin tegaskan bahawa pindaan Perlembagaan bagi membolehkan hudud dilaksanakan tidak mungkin akan tercapai di peringkat Parlimen. Alasan dan fatkanya jelas, Pas kalau pun bersama Umno tidak mampu mendapat sokongan 2/3 di Parlimen. Kalau ini berlaku itulah saya katakan Pas tidak ubah akan jadi seperti Lebai Malang, yang dikendung berciciran yang dikejar tidak dapat.
Apakah gara-gara pembentangan enakmen berkenaan esok (telah dibentangkan) akan meretak kemudian membelahkan hubungan Pas dengan komponen Pakatan Rakyat lain? Kita harap tidak sampai ke tahap itu. Bagaimana pun sama-sama kita tunggu. Dan sekiranya musibah itu berlaku maka Ahmad Yaakub bersama timbalannya Mohd Amar Nik Abdullah perlu mengambil tanggungjawabnya. [wm.kl.9:26 pm 17/03/15]
No comments:
Post a Comment