Chegu Bard, Dr. Hatta antara puluhan aktivis bantah GST yang ditahan Polis...
Puluhan aktivis yang membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kelana Jaya ditangkap polis selepas enam jam berada di situ.
Kira-kira 60 orang dimasukkan ke dalam trak polis sebelum dibawa ke sebuah dewan, tidak jauh dari koridor pusat maklumat jabatan itu, tempat asal mereka berkumpul.
Turut ditahan setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan.
Sebelumnya, lebih 100 aktivis merancang bermalam di kompleks itu sebagai membantah GST yang bakal dilaksanakan minggu depan.
Mereka merancang begitu, jika perlu, dalam usaha mendapatkan jawapan daripada Jabatan Kastam berhubung lebih 100 soalan mereka tentang pelaksanaan GST.
Arutchelvan dan ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin, yang memimpin bantahan ini, mengesahkan perkara tersebut kepada Malaysiakini tetapi enggan memberikan butiran lanjut.
"Kami bersedia untuk bermalam di sini sehingga kami mendapat jawapan-jawapannya. Kami ada rancangannya, anda perlu tunggu," kata Arutchelvan.
Kumpulan itu duduk di kaki lima berdekatan pusat maklumat GST dengan diawasi sekumpulan anggota polis pencegah rusuhan. Mereka berbual di situ, selain menyanyi dan mendengar ucapan-ucapan.
Antara yang hadir termasuk Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkefly Ahmad, Pengerusi PSM Mohd Nasir Hashim, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, MP Kuala Krai Mohd Hatta Ramli dan MP Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj.
Pagi tadi, kumpulan itu menyerbu masuk ke dalam kompleks tersebut dengan 106 soalan berhubung polisi cukai baru itu, dan menuntut ia dimansuhkan atau ditangguh jika pihak berkuasa itu gagal menjawabnya.
Mereka dihalang di kaunter informasi luar kompleks itu oleh anggota polis yang kemudiannya bersama pasukan polis antirusuhan.
Dalam perbincangan polis dan Arutchelvan, polis berjanji untuk membawa Ketua Pengarah Kastam, Datuk Abdul Gani Othman untuk berbincang dengan mereka, tetapi dengan syarat peserta harus menunggu di luar pintu pagar kompleks itu.
Ketua pengarah kena 'boo'
Setibanya Abdul Gani dan rombongan pada jam 1.30 petang, beliau hanya menjawab dua soalan. Aktivis yang berada di situ kesal dengan tindakannya.
"Saya minta maaf tapi saya tidak dapat menjawab di sini," katanya yang berjanji akan memberikan jawapan bertulis kepada orang ramai yang kemudian mengejeknya dengan “boo”.
Menjawab soalan pertama diajukan sama ada kastam bersedia melaksanakan GST minggu depan, Gani menunjukkan tanda ibu jari sebagai sokongan.
Soalan kedua dibangkitkan kenapa sardin dalam tin dikenakan GST tetapi makanan mewah seperti udang kara dikecualikannya.
Gani kemudian menjawab: "Perintah dari Parlimen. Saya hanya melaksanakan.” lapor Malaysiakini
Posted by Anak Sungai Derhaka
No comments:
Post a Comment