Pages

Wednesday, 25 March 2015

PR : Jalan damai masih terbuka...Krisis berlarutan hanya menguntungkan Umno/BN

Khamis, 26 Mac 2015

PR : Jalan damai masih terbuka

Oleh Abd Shukur Harun

http://www.mole.my/sites/default/files/images/mole-PAKATAN-00.jpg
WALAUPUN pelbagai pihak melihat bahawa krisis dalam Pakatan Rakyat, terutama antara DAP dan PAS kini semakin parah, tetapi masih ramai juga yang melihat bahawa masih wujud sikap rasional di kalangan pimpinan Pakatan, khususnya PAS, terutama di peringkat tinggi.

Sikap rasional mereka ini boleh membantu mengendurkan ketegangan dalam Pakatan, justeru krisis ini jika berlarutan hanya menguntungkan Umno/BN.

Ini bermakna masih ada harapan perdamaian di kalangan Pakatan Rakyat, sesuatu yang sangat diharapkan oleh rakyat yang menyokong Pakatan dalam dua pilihan raya umum yang lalu menyebabkan Pakatan beroleh kemenangan besar.

Di kalangan pimpinan PAS sendiri, betapapun marahnya mereka kepada DAP, hingga tidak ada suara yang mahukan PAS keluar dari Pakatan Rakyat, suatu sikap yang sangat matang hasil pengalaman politik mereka yang begitu lama.

Kalau adapun suara-suara dalam PAS sendiri yang mahukan PAS keluar dari Pakatan, maka itu hanya suara terpencil dan sangat minoriti sifatnya, yang didorong oleh bacaan politik yang sangat naïf.

Kenyataan daripada Timbalan Presiden PAS, Haji Muhamad Sabu, Naib Presiden, Salahuden Ayub, Ketua Pemuda, Suhaizan Kayat dan lain-lain menggambarkan jiwa besar dan sikap optimis mereka bahawa betapapun parahnya krisis dalam Pakatan Rakyat, namun masih ada harapan untuk berdamai.

Ini suatu sikap rasional dan matang, bacaan politik yang tepat, memandang jauh ke depan dan tidak dikalahkan oleh emosi serta prejudis. Suara mereka adalah suara majoriti di dalam PAS yang melihat realiti yang ada di dalam PAS.

Pemimpin kanan PAS itu dalam kenyataan masing-masing menggesa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) segera mengadakan pertemuan bagi membincangkan masalah yang sedang melanda gabungan parti pembangkang itu.

Mohamad Sabu berkata, keputusan DAP itu memberi impak buruk kepada PAS dan penyelesaian segera perlu dicari bagi memantapkan hubungan Pakatan Rakyat.

"Saya yakin penuh, sekusut mana pun hubungan, kalau ada kesungguhan untuk terus berada dalam Pakatan Rakyat, pasti akan jumpa jalan penyelesaiannya. Cara yang terbaik ialah, pemimpin Pakatan perlu segera bertemu dan mencari titik persamaan untuk terus bersama," kata Mohamad Sabu dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurutnya, mesyuarat itu perlu diadakan segera kerana jika penyelesaian segera tidak dapat dicapai, hubungan yang sedia ada akan menjadi semakin runcing.

"Penyelesaian segera hendaklah dicari di antara parti dalam Pakatan, khasnya DAP, untuk terus memantapkan Pakatan Rakyat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali juga berharap agar Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awangg perlu diberikan ruang dan peluang menjelaskan keadaan dalam satu mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, katanya, tarikh mesyuarat itu belum ditetapkan memandangkan keputusan DAP itu baru saja dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC) parti itu malam kelmarin.

Menteri Besar Selangor itu berkata, kesemua pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat perlu bersikap adil dan berbincang terlebih dulu tanpa menghakimi sesuatu tindakan.

"Bincanglah, kerana kekuatan Pakatan sentiasa berdasarkan perbincangan dan muafakat," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub masih yakin di mana melalui pengalaman suka dukanya bersama Pakatan, sebesar mana dan sekusut manapun masalah yang pernah di depani, medan atau platform terbaik untuk berbincang dan membuat keputusan secara kolektif ialah mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan.”

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar pula mempersoal tindakan DAP itu memandangkan Datuk Seri Abd Hadi Awang adalah antara yang berhak mewakili parti itu dalam mesyuarat bersama gabungan pembangkang.

"Ini bercanggah dengan prinsip bersama iaitu Majlis Presiden Pakatan Rakyat, diwakili oleh pimpinan tinggi parti. Jadi saya fikir ini satu yang tidak wajar dibuat sebab bagi saya kita perlu berlapang dada dan berjiwa besar," katanya dalam sidang medianya di Parlimen.

Sehubungan itu Mahfuz menyarankan supaya Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali supaya menetapkan tarikh bagi kepimpinan PAS menentukan sikap berhubung keputusan DAP itu.

PAS kini mahu membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membuka laluan ke arah pelaksanaan hudud di Kelantan.

Dalam suasana yang ada sekarang, pelbagai pihak berharap supaya di kalangan Pakatan Rakyat sendiri mengurangkan semaksima mungkin dari mengeluarkan kenyataan yang hanya menyebabkan bersemarak lagi kriris yang ada. Kurangkan mengeluaran kenyataan dan pendapat sama ada berupa temu ramah dengan media, face-book, twitter dan sebagainya.

Setiap pihak perlu mengekang emosi, kemarahan dan segala sikap prejudis, justeru matalamat utama ialah semua pihak berusaha menyelesaikan masalah yang timbul ini.

Dengan mengekang keghairahan untuk mengeluarkan sebarang kenyataan - melainkan pemimpin tertinggi dan berautoriti – maka akan member sumbangan dalam usaha mencari perdamaian yang akan menguntungkan Pakatan.

Sekiranya Pakatan pecah, semua pihak – DAP, PAS dan PKR - akan menerima akibatnya, kerana dalam perhitungan politik yang ada secara rasionalnya, tidak ada parti yang boleh berdiri sendiri, terutama untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Penyokong Pakatan Rakyat yang memberi sokongan pada Pakatan dalam PRU yang lalu, yang jumlahnya sangat besar, kini sangat bimbang perpecahan Pakatan ini.

Mereka melihat tidak ada parti dalam Pakatan yang akan untung jika berterusan perpecahan ini, melainkan yang untung ialah Umno/BN di mana perpecahan inilah yang ditunggu dan diharapkan musuh Pakatan ini.

Oleh itu mereka sangat berharap perdamaian dapat dilakukan dan dipulihkan kembali kekuatan Pakatan Rakyat. Ini harapan mereka dan jangan dikecewakan.
Posted by Kedah Lanie

No comments:

Post a Comment