Pages

Tuesday, 14 April 2015

Kisah Mesyuarat Agung PAS Kawasan Shah Alam...TGHH telah dipilih dengan majoriti hanya 6 undi?

Selasa, 14 April 2015
Image result for Bandar Shah alam

Kisah Mesyuarat Agung PAS Kawasan Shah Alam

Semenjak berita berhubung mesyuarat agung tahunan PAS Kawasan Shah Alam tersebar di alam maya, ramai telah menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan mengenai proses pemilihan pimpinan pusat yang telah berlaku. Mereka hairan dengan keputusan pencalonan Presiden di mana TGHH telah dipilih tetapi dengan majoriti hanya 6 undi. Mereka yang berhubung dan bertanya boleh dikatakan berakhlak berbanding dengan yang tidak berhubung untuk bertanya tetapi tetap menyerang saya mengenainya!

Bermacam macam andaian telah dikemukakan dalam alam maya mengenainya dan hampir kesemuanya adalah tidak benar. Kadang-kadang saya rasakan mereka yang berani membuat andaian dan menyebar luas andaian-andaian ini, tanpa mengetahui hujung pangkal, bagaikan manusia yang tidak takut pada dosa. Walaupun nama mereka disangkutkan gelaran ‘ustaz’ di depannya. Itulah bezanya di antara orang berilmu dan orang yang menghayati ilmunya. Sekadar tahu dosa memfitnah, tidak bererti tidak menaburkan fitnah. Kerana mereka sekadar tahu, tetapi tidak menghayatinya. Jauh berbeza sifat mereka dengan golongan ustaz tahun 80an yang menyebabkan saya tertarik untuk menyertai PAS.

STATUS SAYA DAN PAS KAWASAN SHAH ALAM

Pada mulanya, perlu saya sebutkan, saya tidak lagi merupakan YDP PAS Kawasan Shah Alam. Pada pemilihan 2013 saya tidak bertanding kerana saya telah menjawat jawatan YDP Shah Alam sejak 1997, iaitu selama 16 tahun! Sudah tiba masa saya beri laluan kepada mereka yang telah saya pimpin selama ini untuk mengambil alih. Pada 2011, jawatan kuasa PAS Kawasan dianggotai 3 mantan Ketua Pemuda Kawasan. Giliran mereka pula untuk menggalas cabaran sebagai YDP PAS Kawasan Shah Alam. Lagi pun saya telah dipilih kembali sebagai AJK PAS Pusat pada tahun 2011 setelah meninggalkan PAS Pusat pada 1993. Saya telah huraikan sebelum ini dengan lanjut di dalam tulisan saya yang bertajuk YDP Shah Alam: Mengapa Tidak Dipertahankan?

Saya pernah mengisi jawatan AJK PAS Pusat pada 1987 hingga 1993. Saya tidak bertanding pada pemilihan 1993 atas sebab ingin memberi tumpuan kepada anak saya yang OKU dan prestasi syarikat kejuruteraan milik saya yang agak merudum kerana tiada tumpuan. Tetapi itu cerita lain yang akan saya ceritakan pada satu masa kelak, bukan sekarang.

Maka sejak 2013, setelah saya tidak lagi memikul amanah sebagai YDP PAS Kawasan Shah Alam, saya hanya hadir mesyuarat bulanan PAS Kawasan atas tiket ex-officioselaku Ahli Parlimen Shah Alam. Ada kalanya saya hadir dan banyak juga ketikanya saya tidak. Oleh itu saya tidak begitu mengambil tahu apa yang berlaku menjelang Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Shah Alam tahun ini.

Semasa Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Shah Alam, saya telah dijemput hadir sebagai salah seorang VIP. Saya hadir untuk program perasmiannya dan telah meninggalkan dewan di IDCC Shah Alam selepas itu. Saya bukan perwakilan. Saya tidak hadir semasa agenda pemilihan/pencalonan pimpinan Pusat diadakan dan keputusannya memeranjatkan saya sepertimana ianya memeranjatkan ramai di seluruh Negara.

SAYA MERANCANG MENJATUHKAN DS PRESIDEN?

Ada yang menuduh saya merancang untuk menjatuhkan DS Presiden dan perancangan saya telah berjaya digagalkan. Kalau saya ingin merancang sesuatu dalam pemilihan AJK PAS Pusat pada muktamar akan datang, tidakkah dilihat pelik bahawa saya melepaskan jawatan sebagai YDP PAS Kawasan? Biasanya yang ingin merancang sesuatu ‘pengambil alihan kuasa’ akan tentukan dirinya berjawatan sepertimana juga rakan-rakan dan penyokong-penyokongnya. Ini kita lihat sedang diusahakan oleh beberapa orang tertentu yang menyusun strategi di peringkat cawangan dan Kawasan.

Alhamdulillah saya tidak seperti mereka.

Maka selepas selesainya mesyuarat agung tahunan PAS Kawasan Shah Alam dan diketahui keputusan pencalonannya, saya telah bertemu dengan beberapa perwakilan veteran dan bertanya mereka mengenai pilihan yang mereka buat. Apabila diberitahu mereka menyokong pencalonan Ustaz Ahmad Awang dan tidak TGHH, saya bertanya kepada mereka mengapa?

Di sini saya kemukakan jawapan mereka kepada soalan saya dan penghujjahan balas saya. Perbualan saya seperti di bawah adalah secara ringkasan dan bukan secara verbatim.

Tuan-tuan pembaca yang budiman sekalian, nilaikan sendiri.

PERBUALAN ANTARA SAYA DAN SALAH SEORANG VETERAN PAS DI SHAH ALAM

KS: Salaam Tuan Haji. Tuan Haji calonkan siapa? TGHH atau Ahmad Awang?

Tuan Haji: Saya calonkan Ahmad Awang.

KS: Kenapa tidak dicadangkan sahaja TGHH sebagai Presiden? Tidakkah Tuan Haji iktiraf ketokohannya beliau sebagai seorang ulama’ bertaraf dunia?

Tuan Haji: Saya akui ketokohannya sebagai ulama’ bertaraf dunia tetapi jawatan Presiden bukan memerlukan seorang yang fakeh. Fakeh adalah keperluan untuk jawatan MSU khususnya mursyidul ‘am. Jawatan Presiden memerlukan seorang yang pakar dalam bidang strategi dan perlaksanaan, tajam bacaan politik. Oleh itu saya lebih setuju TGHH menjadi Mursyidul ‘Am dan Ust Ahmad Awang sebagai Presiden.

KS: Eh, kenapa pula? TGHH juga mempunyai kepakaran dalam soal strategi dan perlaksanaan. Lagi pun, TGHH lebih berpengalaman berbanding Ust Ahmad Awang. Di mana kegagalan TGHH mengikut pandangan Tuan Haji?

Tuan Haji: Kebelakangan ini saya lihat banyak kelemahan TGHH dari sudut kepimpinannya sebagai seorang Presiden. Ini ingin ditutup oleh golongan asatizah tertentu dengan dijaja konsep wala’. Saya orang lama, YB. Tidak payahlah cuba menipu saya dengan menutup kelemahan melalui pendekatan sebegitu. Dulu tiada pun dijaja konsep wala’ sebegini, tetapi semua ahli bersatu dan berdisiplin menyokong Presiden.

KS: Apa dia sebenarnya kelemahan TGHH yang Tuan Haji maksudkan?

Tuan Haji: Perbalahan dalaman PAS. Perbalahan dalaman PR. Ini semua hasil dari ketidak berkesanan kepimpinan TGHH. YB sendiri tahu kan, PAS bagaikan berpecah dua dengan budaya fitnah memfitnah, label melabel. TGHH tidak dilihat membuat apa-apa. Seolah-olahnya TGHH mahukan perpecahan berlaku. Malang sangatlah kalau TGHH dipengaruhi si Zuhdi tu. Pemimpin mesti mampu menyatukan ahli-ahli di bawah kepimpinannya, bukan redha supaya ahli berpecah macam sikap Zuhdi. Di sini saya berani sebut, kalau zaman Almarhum Ust Fadhil, sudah pasti beliau akan bertindak memintas perpecahan ini dan menyatukan kembali; dan itulah bukti kepimpinan bagi saya.

KS: Ya lah Tuan Haji, tetapi itu bukan mudah. Ahli-ahli PAS pun bukan semua ikut sahaja arahan TGHH. Sudah lama TGHH minta agar diberhentikan kerja fitnah dan melabel ini, tetapi ada ahli yang tidak mahu ikut.

Tuan Haji: Ya ke TGHH suruh berhenti? Tak dengar pun. Yang saya nampak kerja ini dibuat oleh asatizah muda, datang ke Surau pun depa masih tabur fitnah. YB pun kena! Malu saya dengan orang UMNO yang ada di Surau bersama. Tersengih sahaja mereka, mendengar kata-kata para ustaz ini. Sepatutnya TGHH sedar apa yang sedang berlaku di peringkat akar umbi dan menangani masalah ini sebelum menjadi parah seperti sekarang.

KS: Tidak mengapalah Tuan Haji. Jika benar mereka fitnah saya, pahala bagi saya. Maka tidak patut disalahkan TGHH pula.

Tuan Haji: Saya tidak kata TGHH yang buat atau suruh buat. Saya sebut TGHH tidak berkesan dalam menangani masalah ini.

KS: Oklah Haji. Selain tu? Yang Tuan Haji sebut bab PR. Takkan mahu TGHH ikut sahaja kehendak PKR dan DAP?

Tuan Haji: Dalam soal PR, TGHH bagi saya telah tersilap langkah semasa isu MB Selangor. Saya tidak faham mengapa TGHH sanggup pertahankan TSKI habis-habisan. Sehingga sanggup memberi kesempatan untuk UMNO memasuki perbalahan itu dan turut memberi sokongan tanpa syarat kepada TSKI. Dan untuk beberapa hari, PAS dan UMNO bersama dengan TSKI. Mahu jadi seperti senario 1 si Zuhdi kah? Bertegang kita dengan PR kerana TSKI! Apa punya strategi ini? Sepatutnya kukuhkan PR tetapi tidak. TSKI tu pun bukan bagus mana. Dulu pun PAS Selangor pun sudah minta tukar.

TGHH tidak hadir mesyuarat majlis Presiden, tidak dengar penjelasan dari DAP dan PKR, tetapi boleh batalkan keputusan dan persetujuan bersama begitu sahaja. Susah kalau bersikap sebegini. Mahu ikut kehendaknya semata-mata tanpa mendengar penjelasan dari 9 wakil PAS yang hadir apabila keputusan dibuat. Maaf YB, bagi saya, terbayang-bayang cara Dato’ Asri.

Oleh kerana kita sudah dalam satu Pakatan, walau pun kapal asing-asing, perlu koordinasi supaya tidak belaga di tengah laut. Lebih-lebih lagi pada waktu malam dan laut bergelora. Tidak boleh buat ikut suka. Pentingkan syura. Inilah sifat kepimpinan yang baik. Saya tidak nampak TGHH berbuat sedemikian.

Dan malang lagi ianya berakhir dengan TGHH mengkritik secara terbuka DSWA. Orang kritik TGHH kita marah. Tapi TGHH kritik DSWA sebegitu rupa kita boleh terima? Maaflah YB. Sebenarnya ramai sependapat macam saya tetapi apa boleh kata, ‘terpaksa’ wala’? Kalau tidak akan dikutuk.

KS: Alaa Tuan Haji, perkara begitu, biasalah. Dalam perkahwinan pun suami isteri bergaduh. Apa perpatah Melayu...“sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri”.

Tuan Haji: Huh, awak ni asyik bela TGHH sahaja. Tetapi saya tahu, YB pun boleh nampak kelemahan yang sama. YB kena lebih berani bercakap benar. Adakah YB boleh terima ungkapan “barua dan broker” yang dilemparkan kepada ahli dan pimpinan PAS lain? Saya minta maaf lagi, saya hingga hari ini tidak boleh terima. Sudahlah tu, bukti pun tidak ada. Tetapi main tuduh begitu. Terbuka pula. Bila saya balik dari muktamar, kawan saya dari UMNO tanya saya, kamu ni barua ke broker? Geramnya saya. Ni yang membuatkan saya lebih tidak yakin TGHH inginkan masalah dalaman PAS diselesaikan dengan baik. Malahan dia sendiri puncanya dengan kata-kata begitu.

KS: Ok lah Tuan Haji, cukuplah dengan isu TGHH. Yang Ust Ahmad Awang pula bagaimana? Kenapa Tuan Haji anggap beliau mampu membawa kepimpinan yang lebih berkesan?

Tuan Haji: Dia menyelamatkan PAS semasa PRU 2008 dahulu. Kalau tidak kerana ketegasan Ust Ahmad Awang, PAS Perak mungkin sudah bersatu dengan UMNO di Perak untuk membentuk kerajaan. Dia mampu menyatu padukan ahli dan PAS bersama PR. Kita patut berikan dia peluang.

KS: Tapi Tuan Haji, tu cerita lama. Tidak bererti TGHH bersetuju untuk membenarkan PAS bersama UMNO pada ketika itu. Tidak boleh lah Tuan mengandaikan bahawa TGHH bersetuju penyatuan UMNO dan PAS. TGHH dah sebut berkali-kali ianya tidak boleh.

Tuan Haji: Tidak apalah YB, mesyuarat agung tahunan kawasan pun sudah selesai. Pandangan saya begitu. Bagi saya, PAS perlukan Presiden yang lebih bijak merancang dan mengatur strategi, pandai berkawan dan jujur dalam persahabatan.

Tapi yang lebih penting lagi, sebagai ketua eksekutif, seseorang Presiden mesti bersedia untuk dikritik dan ditegur. Tidak dianggap ‘berdosa’ menyanggah pandangannya dan tidak salah membetulkan kesilapannya sekiranya tersilap. Ini bila kita sudah hilang Terengganu dan Kedah, tetapi tiada yang sanggup mengakui kelemahan yang menyebabkan kekalahan itu. Semua mahu disalahkan orang lain. Kalau kata, “oh, kita pun tersilap, sepatutnya Presiden buat ini dan itu”, kita akan diserang bagaikan melakukan dosa besar!

Saya lihat ada para ustaz yang beranggapan kita kena pertahankan Presiden sepertimana para sahabat pertahan Nabi (SAW). Ini tidak betul! Ini seolah sudah seperti mendewa-dewakan pemimpin. Perumpamaan yang digunakan adalah silap dan salah. Kalau ya pun, biarlah kita katakan kita perlu pertahankan Presiden sepertimana para sahabat pertahankan Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali (Radhi Allahu anhum). Itu pun dah lebih dari yang patut. Mereka siapa, kita siapa? YB tahukan, Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali tetap ditegur dan dikritik dan berhujjah untuk pertahankan tindakan mereka. Bukan sekadar dijaja dengan wala’ semata.

Macam seperti perang terhadap golongan murtaddiin, Abu Bakar bukan sekadar kata “perang” dan semua ikut. Tidak. Berhujjah dan berbahas sehingga Abu Bakar bacakan ayat 5 dan 11 surah At-Taubah baru sahabat lain akur. Kerana ada dalil dan nas, bukan sekadar wala’ sahaja. Kes Umar dengan Jubahnya pun begitu masyhur. Kes Uthman dan pengkritiknya yang begitu ramai yang mengkritik perlantikan ahli keluarganya ke jawatan penting. Semua ditanganinya dengan cara sebaik mungkin, berhujjah dan menjelaskan. Termasuk juga kisah Ali dengan Muawiyyah serta golongan Khawarij. Semua terpaksa ditangani dengan berhujjah. Bukan dituduh tidak wala’ dan khianat dan sebagainya.

Dan inilah suasana dan pemikiran yang wujud di kalangan golongan lama di Shah Alam. Yang muda-muda memang mudah untuk menerima konsep wala’ tetapi veteran yang sudah lama dalam PAS tidak begitu. Mereka menganggap ianya hak mereka untuk memilih Presiden dan menukar Presiden sekiranya tidak puas hati dengan prestasinya. Veteran sebegini bukan mudah sesiapa ‘peralatkan’, termasuk saya.

Konsep kepimpinan Ulama’ bagi mereka tercapai dengan pembentukan MSU yang memantau perjalanan PAS supaya tidak menyeleweng dari dasar Islamnya. Presiden tidak semestinya seorang ulama’ tetapi semestinya berilmu dan kommitted dengan perjuangan Islam serta bijak berstrategi dan menyusun gerak kerja politik untuk mencapai matlamat parti. Maka, DS Presiden sebagai seorang ulama tersohor semestinya mempunyai kelebihan dan di atas sebab itulah beliau telah dipilih oleh perwakilan pada setiap muktamar tahun demi tahun. Oleh itu, saya memohon agar mereka yang menuduh saya ingin menjatuhkan DS Presiden agar tidak menuduh sebarangan tetapi membantu saya menjawab golongan seperti Tuan Haji ini dengan hujjah balas dan bukan sekadar meminta beliau agar terus wala’.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD





KULIAH DHUHA
15 April 2015 (Rabu)

9.00 pagi : Ustaz Tarmizi Abd. Rahman
Kitab : Pimpinan Ar-Rahman

10.30 pagi : Ustaz Nazrul Nasir Al-Azhary

Tempat : KOMPLEKS TARBIYYAH RAUDHATUL JANNAH (KoTaRaJa) , AIR TERJUN DUSUN SG. MERU, TMN MERU 2C, IPOH.
019-4720717

Pengajian PERCUMA
Semua dijemput hadir

《Sumbangan》
No Akaun Maybank : 558015455345
No Akaun Bank Islam : 08013010061487
Semua urusan atas nama Pusat Motivasi At-Taqwa

No comments:

Post a Comment