PAS sedia bahas isu hukum GST haram, syaratnya mesti “live” di tv
Peserta Himpunan Derita Rakyat (HINDAR) yang kebanyakkannya penyokong PAS turut mengadakan solat hajat memohon GST ditarik balik oleh kerajaan di Padang Merbok, pada Sabtu, diimamkan Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik. - Foto TRP/Mokhsin Zamani
KUALA LUMPUR 11 April:
PAS sedia berdailog dalam forum terbuka dengan mana-mana pemimpin negara berkaitan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikatakan haram dilaksanakan, dengan syarat ia disiarkan secara langsung (live) menerusi televisyen.
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Nawawi Salleh berkata, beliau berani berbahas secara terbuka untuk menjelaskan mengenai cukai yang dibenarkan dan tidak dibenarkan dalam Islam.
“Saya bersedia bila-bila masa untuk berdialog atau berforum secara terbuka dengan syarat mesti diadakan secara di televisyen,” katanya ketika ditemui dalam Himpunan Derita Rakyat (HINDAR), di Padang Merbok di ibu negara, Sabtu.
Nik Nawawi berkata, Dewan Ulama PAS berasa terpanggil untuk menjelaskan sendiri mengenai hukum itu kepada kepimpinan negara.
“Saya bersedia berhadapan dengan mana-mana menteri, mufti dan sesiapa sahaja untik menjelaskan hukum GST ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, GST tidak boleh dilaksanakan dalam situasi wujud ketirisan dan penyelewengan wang rakyat serta tahap integriti kerajaan yang masih belum diselesaikan.
“Terlalu banyak ketirisan, ketidakjujuran dalam pengurusan negara,” dakwa Nik Nawawi.
“Kerajaan kena lebih agresif tarik pelabur luar tetapi kerajaan gagal berbuat demikian.
“Realitinya Malaysia terbelakang dalam isu menarik pelabur asing berbanding Singapura,” dakwanya lagi.
Katanya lagi, PAS tidak mempertikaikan kutipan cukai kerana ia ada dalam Islam.
Namun pelaksanaannya ketika ekonomi kurang memberansangkan adalah tidak mengikut syarat serta peraturan percukaian dalam Islam dan itulah antara sebab PAS menentang pelaksanaan GST.
“Saya tidak pertikai isu cukai satu isu yang ada dalam Islam. Ada syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi sebelum melaksanakannya yang menentukan sama ada GST itu dibolehkan (harus) atau tidak (haram),” jelasnya lagi.
Menjawab pertanyaan The Rakyat Post mengenai kenyataan Mufti Kelantan baru-baru ini, bahawa GST hukumnya harus dilaksanakan, Nik Zawawi berkata kenyataan mufti berkenaan tidak dilaporkan dengan betul.
“Saya kenal Mufti dan saya dah tanya. Dia kata media memusingkan kenyataannya GST itu harus,” dakwa Nik Zawawi.
Beliau selanjutnya berkata HINDAR akan diadakan secara besar besaran dengan turut membabitkan dua lagi parti gabungan pakatan pambangkang iaitu DAP dan PKR pada 1 Mei nanti di Dataran Merdeka.
“Kita mahu mendesak kerajaan menarik balik pelaksanaan GST atau rakyat akan menolak kerajaan pada pilihanraya akan datang,” ujarnya.
Turut diadakan pada HINDAR malam ini ialah solat hajat memohon GST ditarik balik yang diimamkan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik.
No comments:
Post a Comment