::KENYATAAN MEDIA::
SPRM PERLU JUGA AWASI MENTERI DAN KELUARGA MENTERI YANG MEMILIKI KEHIDUPAN MEWAH MELAMPAU
Pusat Pemerhati dan Pemberi Maklumat Kebangsaan (NOW) menyambut baik respon daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu lepas yang menyatakan bahawa SPRM sedang mengawasi setiausaha peribadi dan politik menteri-menteri kabinet berhubung dakwaan mereka hidup di luar kemampuan masing-masing.
Kami juga menyambut baik pandangan SPRM bahawa undang-undang baru perlu digubal agar mereka yang mempunyai kehidupan mewah melampaui pendapatan mereka untuk dipaksa mengisytiharkan harta mereka.
NOW telah memulakan perbincangan ini sejak tahun lepas bermula dengan satu forum bertajuk ‘Living Beyond Means: A Legal Perspective” bagi membincangkan tindakan terutamanya dari sudut undang-undang yang boleh digunapakai terhadap gejala kemewahan yang melampaui kemampuan.
SPRM yang sedang dalam proses merangka undang-undang baru ini sewajarnya mengadakan proses konsultasi dengan pelbagai pihak termasuk orang ramai bagi memastikan pendekatan undang-undang tersebut adalah menyeluruh. Sehingga kini, NOW telah menggariskan beberapa ketetapan seperti berikut:
1. Gejala kemewahan yang melampaui kemampuan (living beyond means) adalah salah satu bentuk rasuah utama yang berlaku di negara ini. Pengawasan yang ketat serta sistem pencegahan awal perlu dikenalpasti apabila mereka ini berkepentingan dan juga melibatkan kekayaan negara atau harta rakyat.
2. Pengawasan SPRM terhadap mereka yang hidup di luar kemampuan masing-masing sepatutnya tidak terhad terhadap setiausaha Menteri. Sebaliknya, SPRM juga perlu awasi Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, Menteri-menteri Besar, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pengarah-pengarah GLC, wakil-wakil rakyat serta ahli-ahli keluarga mereka.
3. Mereka ini seharusnya dikenakan ketetapan supaya mengisytiharkan harta mereka sebelum dilantik dan secara berkala (sekurang-kurangnya setiap 2 tahun) sepanjang tempoh memegang jawatan tersebut.
4. Hasil pengawasan SPRM ini seterusnya perlu dilaporkan secara terbuka agar rakyat sama-sama dapat menilai ketelusan dan memastikan gejala kemewahan yang melampaui kemampuan dapat dicegah.
Sekian, terima kasih.
19 MEI 2015
Akmal NasirPengarah
National Oversight and Whistleblowers (NOW)
No comments:
Post a Comment