Gambar hiasan
PAS sekarang ibarat 'Satu kapal, tidur sebantal, mimpi lain-lain'
ANALISIS Walaupun mereka berkongsi gagasan untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat, namun sepanjang tempoh berkempen penyandang Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dilihat menjarakkan dirinya dari calon Presiden Ahmad Awang.
Berdasarkan maklumat dan pemerhatian Malaysiakini kedua-dua pemimpin itu, setakat ini, tidak pernah berada sepentas bagi menyatakan visi dan misi mereka bertanding dalam pemilihan parti itu di Kuala Selangor minggu depan.
Malah, dalam suasana kempen yang memasuki pusingan yang terakhir, Mohamad yang dikenali 'ayam sabung PAS' kelihatan menjarakkan diri daripada dikaitkan menjadi 'chai' dengan pencabar Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Situasi kedua-dua pemimpin tersebut boleh digambarkan sebagai berada dalam "satu kapal, tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain". Sumber-sumber dalam PAS turut berbeza pandangan mengenai hal itu.
Tidak dinafikan ada perwakilan yang setuju hingga 80 peratus perwakilan menganggap mereka adalah regu bagi memudahkan pemilihan dibuat (undi blok).
Malah ada juga yang tidak setuju memandangkan kematangan perwakilan untuk memilih pemimpin berdasarkan prestasi dan sumbangan dalam parti.
Terdapat juga perwakilan berbelah bagi mengenainya khususnya perwakilan atas pagar (kumpulan kelabu) yang masih tercari-cari pemimpin pilihan mereka setelah terdedah kepada pelbagai sentimen dan maklumat yang disumbat ke telinga mereka.
Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini terdapat perwakilan dari kumpulan itu yang mempunyai 'citrasa' berbeza apabila tidak mengundi mengikut blok kerana pertembungan undi blok lawan blok "merugikan" jika calon dari blok tertentu tidak langsung menunjukkan sikap untuk memimpin PAS.
"Kadangkala ada keperluan untuk mereka tidak dilihat regu kerana margin perwakilan atas pagar (kumpulan kelabu) bagi setiap jawatan berbeza-beza.
'Tak semua sokong Mat Sabu'
"Apatah lagi, bagi naib presiden dan ahli jawatankuasa yang menyaksikan pertandingan lebih daripada satu (calon rebut) jawatan dan calonnya bukan satu lawan satu," kata sumber.
Sumber-sumber itu juga menegaskan sentimen perwakilan juga berbeza antara satu kawasan dengan kawasan yang lain dengan kata lain, tidak semua perwakilan dari satu kawasan yang menyokong Ahmad Awang, akan turut menyokong Mohamad.
"Sebagai contoh, perwakilan kawasan A tidak cenderung kepada Ustaz Ahmad Awang, tetapi dia cenderung dengan Mat Sabu untuk jawatan timbalan presiden.
"Ini bermaksud, penyokong Ustaz Ahmad Awang dan Mat Sabu adalah berbeza. Dalam hal ini, jika Mat Sabu dilihat regu bersama Ustaz Ahmad Awang, akan merugikan beliau," katanya.
Penjelasan sumber-sumber itu dikuatkan lagi dengan cakap-cakap ada sejumlah perwakilan pada pemilihan kali ini yang akan mengundi Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi pada masa yang sama akan mengundi Mohamad.
"Beliau tidak mahu dikaitkan dengan Ahmad Awang. Perwakilan perlu melihat prestasi calon, sumbangannya dalam parti dan perjuangan dalam PAS," kata sumber yang ditemui Malaysiakini.
Berdasarkan tindakan dan kenyataan Mohamad juga, beliau dilihat senada dan selari dengan Hadi antara lain berkaitan rang undang-undang persendirian untuk dibentang di Parlimen dan tegas mahu Datuk Seri Najib Razak kekal perdana menteri.
Walaupun begitu Mohamad dikatakan sedang bertungkus lumus mendapat sokongan dari negeri yang dikuasai pro-Hadi antaranya Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment