Pages

Monday, 22 June 2015

Pas perlu manfaatkan idea pemimpin (jebon) yang tewas? Apa nak dikatakan lagi! "Dah tersingkir! Jadi rahmat terselindung", kata G18

Selasa, 23 Jun 2015

Pas perlu manfaatkan tenaga dan idea pemimpin yang tewas

ULASAN                                                                                                               

Mohamad Sabu tidak diberi apa-apa peranan.
Semalam Jawatankuasa kerja Pas telah bermesyuarat dan mengumumkan secara rasmi perlantikan pegawai eksekutif parti serta perlantikan lapan orang Ahlijawatankuasa tambahan.

Nama-nama yang diumumkan untuk memegang jawataan eksekutif parti, seperti Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, Ketua Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, tidak berubah, ia tetap orang sama seperti mana diumumkan secara tak rasmi sebelum ini.

Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan Nasarudin Hassan, manakala Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Mustapa Ali. Ketiga-tiga mereka berkongsi nama "Hassan". Dua anak Hassan dan seorang bernama Hassan. Nama kedua Mustapa ialah Hassan.

Bagaimana pun jawatan Bendahari sebelum ini diumumkan nama Exco Kelantan, Che Abdullah Nawi, bertukar dengan nama lain, Mohammad Nor Mohamad. Mungkin Che Abdullah tidak bersedia untuk menjadi Bendahari, kerana jawatan itu sangat berat dan penting. Bendahari bukan sahaja menyediakan akaun keluar masuk wang parti, tetapi juga bertanggungjawab mencari keewangan bagi parti melaksanakan programnya.

Husam juga belum ada peranan diberi.
Pas mempunyai tanggungan kewangan yang besar. Perbelanjaan untuk Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut, untuk membayar bil utilitis; api dan air sahaja mencecah RM20,000 sebulan. Itu tidak termasuk perbelanjaan lain, kaki tangan ibu pejabat serta peralatannya. Jadi Pas memerlukan seorang yang bergeliga untuk mencri sumber kewangan. Sebelum ini saya mencadangkan supaya bekas naib presiden, Husam Musa dilantik menjadi bendahari.

Satu masa katanya ibu pejabat sudah dihimpit masalah kewangan. Pernah diusulkan agar Pas menjual secomping tanah berdekatan dengan ibu pejabat di Jalan Raja Laut itu untuk kerperluan parti. Bagaimana usul itu dibantah oleh pemegang hartanah berkenaan. Buat seketika hartanah yang tidak ramai diketahui oleh ahli Pas itu, terselamat.

Salahuddin sedang fikir tawaran.

Apakah sedikit hari lagi tanah itu akan terjual juga apabila Bendahari yang baru dilantik gagal menambahkan wang dalam perbendaharaan Pas? Kalau pun ia terpaksa dijual, mungkin tidak salah, kerana untuk kepentingan parti. Lagi pun tanah dan harta lain tidak dapat dibawa bersama ke syurga!

Semalam juga mesyuarat Pas telah membuat perlantikan lapan orang jawatankuasa tambahan. Mereka yang dilantik ialah, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Mohd Taufek Abdul Ghani, Zainal Abdin Kidam, Wan Abdul Mutralib Embong, Dr Najihatusalehah Ahamd, Mohamad Hussin dan Muhtar Suhaili.

Daripada lapan orang jawatankuas tambahan itu, tiga adalah pemenag jawatan sebelum ini, mereka kalah dalam pemilihan lalu, iaitu Salahuddin, Mahfuz dan Mohd Taufek. Manakala beberapa pemegang jawatan lain tidak dilantik atau masih belum diberi apa-apa peranan dan tanggungajawab. Antara mereka yang kalah dan merupakan pemegang jawatan sebelum ini, Mohamad Sabu, Husam Musa, Dr Mohd Hatta Ramli, Siti Zailah Mohd Yusuf, Dr Mujahid Yusuf, Hanifa Maidin, Suhaizan Kiayat dan lain-lain.

Meneliti kepada perlantikan jawatankuasa tambahan itu, apabila tiga nama penjawat yang kalah disenaraikan menunjukkan ada perasasaan kepedulian Jawatankuasa Pas yang baru kepada mereka. Mungkin pengurusan parti sudah mulai menyedari atau pun tahu yang peranan mereka sebelum ini sangat diperlukan bagi membantu kemajuan parti. Kehilangan mereka mungkin sudah mulai dirasai.

Ia satu tindakan yang baik dan ke arah untuk mendamaikan parti. Sewajarnya Pas tidak membuang begitu sahaja tenaga dan fikiran mana-mana ahlinya yang dapat membantu parti. Mereka yang kalah tidak perlu dibuang dan diasingkan. Bagaimana pun ia menimbulkan persoalan sejauh mana keikhlasan dan kesungguhan pengurusan baru Pas, khasnya Abdul Hadi Awang untuk memulihkan keadaan.

Siti Zailah mungkin bersara terus.
Kenapa mereka seperti Mahfuz dan Salahuddin itu hanya dilantik menjadi Ahlijawatankuasa tambahan. Kenapa mereka tidak diberikan peranan dan tanggungjawab sebagai pegawai eksekutif parti? Jawatan itu lebih bermakna dan nampak kesungguhan untuk mengguna pakai tenaga dan pengalaman mereka. Misalnya Mahfuz boleh dikekalkan sebagai Ketua Penerangan yang mana jawatan itu sudah sebati dengannya.

Apabila Mahfuz tidak lagi diberi tugas menjadi Pesuruhjaya Pas Kedah, elok kalau Mahfuz terus memegang jawatan berkenaan. Begitu juga dengan Salahuddin, beliau patut dilantik sebagai Setiausaha Agung. Pengalamannya dalam parti sangat luas, dari zaman pemuda kepada menjadi naib presiden tiga penggal dan ditambah sebagai ahli Parlimen dua penggal. Reputasi beliau sebagai seorang politician dan diplomatic juga baik. Perlantikan Salahuddin ke mana-mana jawatan bertaraf eksekutif boleh membantu Pas Johor.

Atau pun kerana jawatan Setiausaha Agung terpaksa diberi kepada Takiyuddin Hassan, mungkin kerana janji sudah terlapaz, atau Takiyuddin sendiri mahukan jawatan itu untuk memelihara darjat dalam parti selepas beliau tidak memegang apa-apa jawatan di peringkat kawasan, Salahuddin boleh dilantik menjadi Penarah Pilihan raya Pas.

Rasanya Mustapa Ali, yang sudah dibuang dari jawatan Setiausaha Agung tidak perlu lagi bertengek dalam Jawatankuasa kerja Pas. Apakah kelebihan dan kehebatan Mustapa maka beliau perlu berada dalam Dewan Harian Pas?  Saya tidak nampak beliau banyak menyumbang idea kepada kemajuan parti melainkan menjadi "cop mohor" kepada segala tindak tanduk Abdul Hadi sahaja.

Umum menyedari perlantikan Mustapa di kerusi itu bagi membolehkan beliau berada dalam Dewan Harian.

Dr Hatta banyak berjasa.
Mustapa sewajarnya sudah berada diluar hegemoni Pas seperti mana mereka (veteran) yang lain. Mustapa sudah jadi seperti kelapa yang terlebih "kotel", dimana minyaknya sudah pun tidak ada. Sebagai nyiur kotel, beliau hanya boleh dijadikan seperti nyiur "komeng" untuk dibuat alasa kepala tidur budak-budak pondok. Di pondok, anak-anak pondok tidak dibenarkan tidur atas bantal kekabu sebaliknya disuruh tidur atas nyiur komeng agar mudah terjaga dan tidak kelenaana tidur. Begitulah Mustapa, relakah dia dijadikan nyiur komeng.

Salahuddin sepatutnya ditempatkan di situ.

Keikhlasan dan kesunguhan pengurusan Pas baru ini untuk mendamaikan parti juga boleh dipersoalkan apabila enam orang lagi penjawat jawatan penting sebelum tidak ada dalam senarai kepimpinan mereka. Mohamad Sabu, Husam Musa, Dr Mohd Hatta Ramali, Asmui Alwi dan Dr Mujahid Yusuf tidak ada dalam lantikan jawatankuasa tambahan itu. Apakah mereka sudah dirisik untuk dilantik tetapi mereka tolak? Sekiranya mereka langsung tidak ditawarkan, maka jelas kepimpinan baru Pas mendendami mereka.

Mahfuz, nafi dia terima perlantikan.
Sepatutnya Mohamad dan Husam yang juga pemegang jawatan sebagai timbalan dan naib preisden tidak boleh ditohok begitu sahaja. Begitu juga dengan Mujahid yang berperanan menjadi penyambung Pas dengan bukan Islam dan Asmui yang merupakan peguam Pas bersama Hanifa Maidin.

Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim Tuan Man, perlu mengambil kira kebolehan dan pengaruh peribadi serta ketrampilan profesional mereka. Mereka tidak perlu mendengar kepada cadangan dan pandangan dari mana-mana orang yang berkepentingan dalam jawatankuasa kerja Pas kini atau pun yang beremosi dengan mereka.

Sebagai presiden dan timbalan presiden sepatutnya mereka berfikir dan bertindak tidak berasaskan serntimen dan dibuat dengan perasaan yang masih marah. Istikharahlah banyak-banyak. Bukankah syaitan itu sudah bergayut dijangut dan dijubah?

Apabila mereka tidak dilantik, maka kenyataan seruan Tuan Ibrahim yang meminta agar Mohamad Sabu terus membantu parti tidak sampai ke mana. Kenyataan itu orang lihat sebagai hanya menanam tebu di bibir mulut sahaja. Atau menjirus bara dengan air liur. Kalau benar dan kenyataan itu ikhlas, sudah tentu nama Mohamad Sabu bersama yang lain diumumkan untuk memikul apa-apa amanah dan tanggungjawab dalam parti.

Bukan itu sahaja, perundingtan dan perbincang dengan mereka yang tewas perlu diadakan secara rasmi dalam semangat mahabbah. Mungkin untuk matlamat ini Pas Pusat boleh mengadakan majlis iftar dan bersolat terawih bersama. Yang lebih penting juga memberi nasihat dan mengambil tindakan disiplin kepada mana-mana ahli yang masih berterus mengencam mereka.

Apa yang dapat saya rumuskan pengumuman perlantikan dibuat semalam, hanya sebagai memanis mulut sahaja dan ia dibuat tidak berdasarkan kepada realiti dan ke arah untuk menyatu padukan ahli Pas seluruhnya. Mungkin juga lantikan Mahfuz dan Salahuddin itu sebagai usaha untuk memecahkan permaufakatan golongan profesional yang kalah dalam pemilihan yang kini sudah pun mula membentuk angan-angan bagi membina wadah tersendiri.

Himpunan dinamakan "Jasamu Dikenang" di Bakri Muar Johor lalu mungkin sudah mendatangkan keresahana kepada pengurusan Pas yang baru dimana mereka terpaksa cuba menunjukkan muka manis kepada ahli dan penyokong Pas agar angan-angan itu tidak menjadi kenyataan kerana kalau ia menjadi realiti ia mengudang musibah besar kepada Pas. [wm.kl.12:36 pm 22/06/15]

1 comment: