Pages

Wednesday 22 July 2015

Anwar akan melancarkan pembentukan Pakatan Baru (Pakatan 2:0)

Rabu, 22 Julai 2015

Anwar: Muafakat Politik Baru Untuk Selamatkan Malaysia



Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan usaha mewujudkan permuafatakatan politik yang lebih utuh bersama pelbagai NGO progresif termasuk Gerakan Harapan Baru demi meneruskan perjuangan menyelamatkan Malaysia.

Menurutnya, negara kini terus berada dalam krisis yang semakin teruk termasuk nilai ringgit yang merudum, dakwaan rasuah dan skandal kewangan yang belum pernah disaksikan sejak Merdeka lagi, walaupun kerajaan BN terus menafikannya.


"Di saat genting ini, rakyat Malaysia perlu bersatu dan bertekad untuk menyelamatkan negara kita," tegasnya dalam satu perutusannya melalui peguamnya.

"Kita sedang berusaha mewujudkan muafakat politik yang lebih utuh, dan akan bekerjasama dengan semua gerakan progresif termasuk NGO seperti BERSIH, ABIM, IKRAM dan Gerakan Harapan Baru yang baru sahaja diwujudkan.

"Permuafakatan ini merupakan kesepakatan kumpulan-kumpulan yang komited kepada reformasi dan perubahan, yang akan memberikan pilihan yang benar-benar demokratik dan adil kepada Rakyat," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Malaysia supaya mengetepikan segala pertimbangan dan perbezaan yang lain sebaliknya memberikan fokus kepada perjuangan untuk menyelamatkan Malaysia. -Malaysia Kini/22/7/15

Berkaitan:

Anwar Umum Rancangan Gabungan Baharu Pembangkang

Sebuah pakatan baharu pembangkang yang akan bekerjasama dengan semua kumpulan progresif akan ditubuhkan tidak lama lagi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa rakyat Malaysia menyertainya dalam menyelamatkan negara.

Dalam perutusan dikeluarkan melalui peguamnya semalam, ketua umum PKR yang dipenjarakan itu menyuarakan kebimbangan mengenai situasi negara yang disifatkannya sedang melalui "krisis semakin teruk" akibat skandal rasuah dan kewangan, juga kejatuhan nilai ringgit.

Malaysia dicengkam skandal dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, serta memberi kesan ke atas nilai ringgit yang ketika ini mencecah paras terendah dalam tempoh 16 tahun.

"Kami sedang berusaha ke arah mengukuhkan pakatan yang akan merangkumi semua kumpulan progresif, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti gabungan Bersih, Abim, Ikram dan Gerakan Harapan Baru yang baru ditubuhkan.

"Tindakan bersama pelbagai kumpulan ini, yang komited terhadap pembaharuan dan perubahan, akan menawarkan demokrasi tulen dan satu alternatif yang adil kepada rakyat.

"Marilah kita mengenepikan segala pertimbangan dan perbezaan lain, dan memberi tumpuan kepada perjuangan yang hebat ini untuk menyelamatkan Malaysia," kata Anwar dalam perutusan itu.

Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR dan sekutunya DAP serta PAS, tidak lagi wujud apabila parti Islam itu membuat keputusan pada muktamar bulan lepas memutuskan hubungan dengan DAP.

Bekas timbalan presiden PAS, Mohammad Sabu, lebih dikenali sebagai Mat Sabu, sebelum ini berkata pakatan pembangkang baharu akan diumumkan selepas Hari Raya.

Bulan lepas, ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui PR tidak lagi wujud, susulan usul PAS pada muktamarnya memutuskan hubungan dan kerjasama dengan DAP kerana perbalahan mereka dalam isu hudud yang menjadi agenda parti Islam itu.

Gerakan Harapan Baru (GHB) dilancarkan minggu lalu oleh sekumpulan pemimpin progresif PAS yang tersingkir pada pemilihan awal Jun lalu, termasuk Mat Sabu dan bekas pemimpin kanan seperti Khalid Samad, Dr Mohd Hatta Ramli dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. – The Malaysian Insider/22 Julai, 2015
DCM.

No comments:

Post a Comment