Isu Mara: Wartawan Australia banyak beri maklumat
SUNGAI BESI - Maklumat yang diperoleh berkenaan urus niaga dan hasil jual beli hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) diperoleh dari hasil kerjasama pihak Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Nasional (NOW) dengan wartawan Australia.
Pengarah Strategi NOW, Rafizi Ramli berkata, hasil kerjasama tersebut membolehkan kedua-dua pihak berkongsi dan mengakses maklumat yang diperoleh dari hasil siasatan terhadap jual beli hartanah Mara.
"Wartawan di Australia ada di sana bagi menyiasat pembelian hartanah di sana. Maklumat yang diperoleh akan disalurkan kepada kami. Ini membolehkan penyiasatan dijalankan dengan lebih berkesan dan mudah.
"Kami sudah capai persepakatan bersama. Kami akan bertukar-tukar maklumat sekiranya ada di antara kami menemui petunjuk baharu," katanya dalam sidang media hari ini.
Terdahulu, akhbar Australia, The Age mendedahkan anak syarikat Mara itu membida harga lebih tinggi bagi memiliki blok apartmen Dudley International House AS$17.8 juta (RM51.5 juta) kepada A$22.5 juga (RM65 juta).
Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa dalam satu sidang media pada Rabu menjelaskan keputusan urus niaga itu dibuat pada Mac 2013 dan mengakui pembelian pangsapuri itu jauh lebih tinggi berbanding harga asal yang ditawarkan.
Mengulas mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Mara Inc, Rafizi berkata, beliau sudah hilang keyakinan terhadap integriti badan tersebut.
"Kita sudah boleh jangka kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang menjalankan siasatan ke atas urus niaga ini. Saya kurang yakin dengan SPRM kerana mereka pasti akan cakap urus niaga yang dijalankan sah dan tidak ada sebarang masalah.
"... Saya rasa SPRM tidak akan buka kes pun terhadap isu Mara ini," katanya lagi.
KedahLanie.
No comments:
Post a Comment