Bagi mendorong orang ramai menyertai perhimpunan besar mereka 29 Ogos ini, BERSIH menganjurkan kempen ala 'cabaran baldi ais' yang mencuri perhatian luar biasa di seluruh dunia, khususnya alam maya.
Gabungan NGO yang menuntut penambahbaikan sistem pilihan raya itu memilih mengadaptasi kempen untuk penyakit sklerosis lateral amiotrofik (ALS) dengan cara mereka sendiri.
Untuk kempen cabaran baldi ais itu, peserta perlu menyiram sebaldi air berisi ais ke tubuh dan mencabar tiga rakan mereka melakukan perkara sama atau menyumbangkan AS$100 ke Yayasan ALS.
Wang itu akan didedikasikan untuk membiayai pusat penyelidikan dan mencari penawar untuk penyakit tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, BERSIH mengumumkan 'Bersih4Challenge' yang menggalakkan orang ramai bergambar, termasuk selfie untuk menyedarkan masyarakat tentang keperluan hadir ke perhimpunan BERSIH 4.
Selepas itu, peserta 'Bersih4Challenge' juga perlu mencabar rakan-rakan mereka untuk melakukan perkara sama atau harus membayar RM26 untuk tabung BERSIH.
BERSIH merancang berhimpun dan berkhemah di tiga kota, termasuk Kuala Lumpur, bermula jam 2 petang 29 Ogos sehingga jam 11.59 malam 30 Ogos.
Mereka menuntut supaya pilihan raya bersih, kerajaan bersih, hak membantah, pengukuhan demokrasi berparlimen serta gesaan supaya ekonomi Malaysia diselamatkan.
Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment