PEGAWAI 'JPAM' ROGOL WANITA KETIKA TEMUDUGA
'KEMAMAN – Dengan taktik menyamar sebagai pegawai JPAM dan menawarkan peluang pekerjaan sebagai anggota jabatan itu, seorang remaja lelaki bukan sahaja menipu duit orang kampung, malah lebih kejam suspek turut merogol seorang wanita ketika sesi temu duga.
Suspek, 18, memperkosa mangsa yang berumur 20 tahun selepas meminta wanita dari Kijal itu menghadiri temu duga di sebuah hotel di Chukai dalam kejadian lebih kurang jam 8 pagi pada 24 Ogos lalu.
Bagaimanapun mangsa yang hadir ke hotel itu seorang diri tanpa ditemani sesiapa akhirnya terperangkap selepas sesi temu duga berkenaan bertukar menjadi sesi memuaskan nafsu suspek.
Ketua Polis Kemaman, Pemangku Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, lebih kurang jam 6 petang pada hari sama juga, suspek turut memperdaya beberapa penduduk Kampung Meraga Beris setelah menawarkan pekerjaan sama dengan menetapkan yuran kemasukan ahli sebanyak RM50 seorang.
Katanya, bagi menarik minat penduduk kampung, suspek menjanjikan setiap anggota JPAM berkenaan akan menerima gaji bulanan sebanyak RM1,500.
“Beberapa penduduk berminat dan bayar RM50 untuk menjadi ahli seterusnya dapat bekerja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kemaman, semalam.
Suspek yang menumpang sementara di rumah kenalannya di Kijal akhirnya berjaya ditangkap polis dengan bantuan orang kampung lebih kurang jam 1 pagi pada Rabu lalu selepas beberapa minit mangsa rogol membuat laporan di balai polis. Bagi kes tipu pula, dua laporan dibuat pada hari sama, masing-masing pada jam 3 dan 9 pagi.
Mohd Said berkata, suspek berasal dari luar Kemaman dipercayai tinggal sementara di rumah kenalannya sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, suspek ditahan direman sehingga 1 September depan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 420 kanun sama kerana menipu.
Oleh itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai untuk tampil membuat laporan jika turut menjadi mangsa dengan modus operandi melibatkan penawaran kerja sama ada JPAM, Rela atau mana-mana jabatan lain agar polis dapat mengekang kegiatan penipuan.
PEGAWAI 'JPAM' ROGOL WANITA KETIKA TEMUDUGASINAR HARIAN - 29 OGOS 2015
No comments:
Post a Comment