Pages

Sunday, 27 September 2015

Pakatan HARAPAN - Apabila Umno puji Pas...Ehem!

Isnin, 28 September 2015

Apabila Umno puji PAS sebab tolak untuk bersama Pakatan Harapan

Puji Pas tolak Pakatan Harapan

ALOR SETAR - Pendirian Pas tidak menyertai Pakatan Harapan dipuji kerana berpegang pada prinsip dan perjuangan parti itu, berbanding parti dalam gabungan itu yang dilihat lebih memperjuangkan kepentingan peribadi serta legasi keluarga masing-masing.

Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, tindakan Pas disifatkan bijak dalam mempertahankan kepentingan parti dan ahlinya.

“Saya puji pemimpin Pas dalam hal ini. Ini menunjukkan pihak luar tidak boleh mempermainkan parti itu yang sudah begitu lama bertapak.

"Keputusan dibuat pemimpin Pas itu membuktikan ketegasan terhadap pendirian mereka, tidak seperti DAP atau PKR,” katanya, pada majlis Korban Perdana anjuran Umno Bahagian Alor Setar bersama syarikat Usima Group, di Taman Wira Mergong, semalam.

Menurutnya, Pakatan Harapan tanpa penglibatan Pas merugikan pakatan baharu itu berikutan Pas sudah lama memperoleh sokongan rakyat mahupun orang Melayu.

“Rakyat negara ini lebih mengenali Pas atau BN (Umno), berbanding parti baharu. Saya percaya pakatan itu tidak mampu bertahan lama tanpa Pas,” katanya.

Ahmad Bashah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, PR sebelum ini dilihat berjaya kerana mendapat sokongan Pas, namun tanpa sokongan parti itu, tidak mustahil pakatan baharu itu ‘longgar’.

“Saya percaya apabila Pas tidak bersama DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), pakatan baharu ini tidak mampu bertahan. Pas tetap dengan pendiriannya, jika tak bersetuju dengan perjuangan pakatan, parti itu rela keluar dari pakatan sebab tiada kepentingan peribadi,” katanya.

Mengulas tindak-tanduk PKR dan DAP sebelum ini yang banyak membuat keputusan berlandaskan kepentingan peribadi, Ahmad Bashah berkata, kedua-dua parti itu sudah lama ‘menggula-gulakan’ Pas.

“Dari awal lagi, PKR dan DAP bertindak demi kepentingan peribadi dan keluarga mereka, bukan kepentingan ramai atau ahli.

"Contohnya, DAP mahu kekalkan legasi keluarga Lim Kit Siang manakala PKR mahu legasi Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berkuasa, yang lain digula-gulakan sahaja,” katanya.

Menurutnya, Amanah pula sekadar parti serpihan Pas ditubuhkan atas kepentingan peribadi pemimpin tertentu.

“Pada mulanya memang dapat sambutan, selepas beberapa lama, akan nampaklah bibit-bibit kepentingan individu tertentu dalam parti itu.
"Mereka tubuhkan parti ini pun ada kepentingan sendiri, bukan mahu perjuangkan kepentingan orang Melayu atau Islam,” katanya.

KedahLanie.

No comments:

Post a Comment