Pages

Wednesday, 16 September 2015

[Video] Jln Petaling: Suasana kecoh, 500 peserta mahu rempuh..."Muhasabah lah bangsa Melayu"

Rabu, 16 September 2015


Muhasabah bangsa Melayu demi Malaysia

Saya seorang Melayu dan saya bangga dengannya. Saya mahu bangsa saya berjaya agar tidak merempat di negara ini. Dan saya mahu bangsa saya dihormati dan pantang jika dihina. Saya juga mahu budaya dan bahasa bangsa saya terus dipelihara.
Namun, jika saya berbangsa Cina atau India atau mana-mana bangsa sekalipun, tentu sekali saya mahukan perkara yang sama. Hakikatnya setiap bangsa mahukan yang terbaik untuk memelihara identiti masing-masing. Ini adalah normal dan tiada yang pelik dan jelik untuk sesebuah bangsa berjuang demi survivalnya.
Kepelbagaian bangsa di Malaysia tentu sahaja akan mewujudkan pelbagai tuntutan. Acap kali tuntutan-tuntutan ini bertembung di antara satu sama lain. Kepelbagaian pastinya akan melahirkan perbezaan.
Perbezaan akan mencipta konflik yang akhirnya menjadi krisis sekiranya tidak ditangani dengan segera dan bijaksana. Cabaran utama bukanlah untuk mencari dan meraikan persamaan, tetapi adalah untuk memahami dan menghadapi hakikat perbezaan.
Malaysia masih belum menjumpai formula yang ampuh untuk menangani kemajmukan rakyatnya. Hubungan antara kaum di Malaysia masih diselubungi prejudis yang tebal. Ini berlaku sekalipun Malaysia telah menginjak usia lebih separuh abad.
Sejarah menyaksikan, proses kemerdekaan dan penubuhan Malaysia tidak hanya melibatkan bangsa Melayu tetapi turut disertai oleh wakil sah daripada bangsa lain. Pemimpin bangsa Melayu pada ketika itu sedar dan insaf bahawa kehidupan pascamerdeka dan penubuhan Malaysia, tidak akan rukun sekiranya bangsa lain tidak dilibatkan bersama.
Kewujudan mereka adalah terlalu signifikan untuk dikecualikan. Sekiranya bangsa bukan Melayu dikecualikan, ia akan mengakibatkan masalah yang mungkin lebih dahsyat daripada peristiwa 13 Mei 1969.
Kegagalan tangani isu perbezaan kaum
Kekecohan di pusat membeli-belah Plaza Low Yat beberapa bulan yang lalu dan provokasi perkauman oleh kumpulan himpunan Baju Merah merupakan di antara contoh kegagalan menangani isu perbezaan kaum di Malaysia.
Ia menunjukkan betapa sesetengah golongan lebih senang menyelesaikan perbezaan dengan cara kekerasan dipandu sentimen perkauman sehingga sanggup menghamburkan gelaran seperti “pendatang‟ dan “penumpang” terhadap bangsa lain.
Ingatlah sabda Rasulullah: “Sesiapa yang berperang di bawah rayah immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada asabiyyah atau marah kerana asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah.” (Riwayat Muslim)
Dalam konteks hari ini, gelaran “pendatang” atau “penumpang” kepada bangsa lain adalah salah. Kewarganegaraan mereka telah diiktiraf dan hak mereka dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang induk negara ini.
Anak-cucu keturunan mereka telah pun lahir, hidup dan mati di tanah air ini. Malaysia menjadi sebahagian daripada mereka sebagaimana mereka menjadi sebahagian daripada Malaysia, Ini terbukti melalui kesetiaan dan sumbangan mereka kepada negara. Mereka bukan lagi pendatang dan tentu sekali bukan penumpang di negara ini.
Hakikatnya pada suatu masa, kita semua adalah pendatang di tanah air ini. Yang membezakan bangsa Melayu dengan bangsa lain yang datang terkemudian adalah sumbangan sejarah dan akhlak yang membentuk jati diri dan identiti kemelayuan di tanah air ini.
Tangani dengan beradab
Inilah yang menjadi asas kepada hak dan keistimewaan bangsa Melayu sebagaimana yang diiktiraf oleh perlembagaan negara ini. Namun pengiktirafan hak dan keistimewaan bangsa Melayu tidak seharusnya menzalimi hak bangsa lain.
Rasulullah bersabda: “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya).” (Riwayat Ahmad)
Setiap warganegara Malaysia seharusnya berpegang teguh dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ia merupakan sebuah perjanjian, manifestasi daripada toleransi antara kaum di negara ini. Proses menderafnya mengambil masa yang panjang melibatkan wakil sah yang membawa kepentingan majoriti bangsa masing-masing.
Sebagaimana toleransi yang ditunjukkan oleh para pimpinan kita terdahulu, semangat ini harus diteruskan oleh pewaris mereka pada hari ini.
Sekiranya bangsa hak dan keistimewaan orang Melayu terancam, ia harus ditangani dengan beradab. Ancaman melalui hamburan penghinaan dan kekerasan fizikal adalah suatu yang dikeji.
Kebiadaban orang lain bukan lesen untuk Melayu menjadi bangsa biadab. Melayu dan mana-mana bangsa sekalipun bukan maksum, pasti ada ruang untuk penambahbaikan.
Daripada menuding jari tuduh menuduh dan cabar mencabar bangsa lain, adalah lebih baik jika orang Melayu memperbaiki diri mereka sendiri terlebih dahulu.
Datuk Onn Jaafar dalam perhimpunan agung Umno pada tahun 1948 pernah menyatakan: "Melawan Malayan Union itu perkara kecil dan yang berat ialah melawan Melayu sendiri. Melawan Melayu itu ialah melawan perangai, tabiat dan kelakuan Melayu sendiri."
Krisis perkauman di Malaysia mutakhir ini ibarat sebuah bom jangka. Ia berlanjutan tanpa usaha jelas di pihak berwajib untuk menyelesaikannya. Dasar-dasar kerajaan untuk membentuk perpaduan dirumuskan oleh kementerian secara berasingan dan dilaksanakan secara berpisah tanpa naungan sebuah gagasan besar.
Amatlah rugi, gagasan Bangsa Malaysia yang diutarakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pimpinannya tidak dimanfaatkan sebaiknya. Natijahnya, sehingga kini usaha-usaha yang dibuat kerajaan seumpama tikus membaiki labu.
Mengapa terus dimomokkan?
Keadilan sosial yang digembar-gembur untuk merapatkan jurang ekonomi bangsa Melayu dengan bangsa lain tidak berlaku. Tidakkah kita hairan, kenapa bangsa Melayu masih dimomokkan dengan kemunduran di sudut ekonomi sekalipun menikmati hak dan keistimewaan yang tiada pada bangsa lain?
Apa yang lebih jelas kelihatan, hanya segolongan yang berada di kedudukan penting dan kekuasaan politik sedang menikmati hasil-mahsul negara. Rakyat pula dibiarkan berantakan dengan sentimen perkauman melalui prejudis yang mungkin sengaja ditanam.
Dalam mendepani kemelesetan ekonomi dan ketidaktentuan politik pada hari ini, kesatuan dan perpaduan rakyat yang sedia retak akan menjadi lebih rapuh.
Sentimen perkauman akan menjadi lebih tebal menatijahkan kebencian dan persengketaan akibat tindakan pihak yang suka menangguk di air yang keruh.
Tambah memburukkan keadaan, krisis keyakinan terhadap perdana menteri menjadikan sebahagian kita mungkin hilang pengharapan terhadap kerajaan.
Ketika semua harapan nampak menghilang, rakyat perlu menjadi kuasa pembaharuan. Institusi rakyat adalah harapan yang sentiasa hidup demi masa depan Malaysia yang lebih baik untuk semua. Tidakkah kita mengambil iktibar daripada perjuangan kemerdekaan Malaysia?
Ketika kekuasan berada di tangan penjajah, institusi rakyat lah yang bangkit menyelamatkan maruah dan kedaulatan bangsa dan negara.
Jika dahulu, bangsa Melayu boleh bangkit mengetuai perjuangan kemerdekaan, kenapa tidak sekarang? Krisis perkauman bukan isu terpencil. Ia adalah masalah negara dan masalah kita bersama. Berikanlah percontohan yang baik kepada bangsa lain.
Jangan semarakkan nyalaan api perkauman, hulurkanlah tangan dan selesaikan dengan bijaksana.
Rakyat daripada apa bangsa sekalipun tidak boleh membiarkan Malaysia terjerumus lebih jauh ke dalam krisis perkauman. Pokoknya setiap seorang daripada kita harus berpegang teguh dengan nilai-nilai mulia yang menjadi pegangan setiap agama dan bangsa.
Dengan persetujuan majority rakyat, sebuah formula untuk hidup rukun sebagai sebuah Bangsa Malaysia harus dirumuskan segera.
Sekalipun berbeza kaum, kita tetap Bangsa Malaysia yang sayangkan negara ini. Menjadi Bangsa Malaysia tidak bermakna kita mengorbankan identiti asal bangsa masing-masing. Kita berkongsi persamaan dan bertoleransi di dalam perbezaan yang wujud.
Setiap pembaharuan wajib bermula daripada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara. Perjuangan untuk beroleh kehidupan yang lebih baik di Malaysia adalah perjuangan kita bersama.
Bak kata penyair Jalaluddin al-Rumi: “Semalam, diriku seorang yang pandai dan aku berhasrat mengubah dunia. Hari ini pula, diriku seorang yang bijaksana dan aku mahu mengubah diriku sendiri.”

KHAIRUL ANWAR SHAZALI seorang peguam syarie di Sarawak.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment