Pages

Sunday, 4 October 2015

Aku pun hairan! Tiba-tiba saja MELAYU disuruh bertenang...!!

Isnin, 5 Oktober 2015

Tiba-tiba saja MELAYU disuruh bertenang...!!


Aku pun hairan bagaimana dengan tiba-tiba saja orang Melayu disuruh bertenang. Setahu aku apabila disuruh ‘bertenang’ maknanya sudah wujud suatu keadaan yang ‘tidak tenang’. dan sepanjang pemerhatian dan penglihatan aku juga tidak timbul langsung suasana yang tidak tenang dikalangan kaum-kaum di Malaysia kini. Kelihatan semuanya ‘tenang’ dari segi hubungan kaum-kaum di negara ini. Semuanya ‘bergumbira’.

Maknanya tidak kelihatan langsung suasana ‘tidak tenang’ dalam pergaulan Melayu-Cina-India di negara ini. Semuanya kelihatan riang dan gembira dalam menjalankan tugas harian mereka. Jikalau ada pun keadaan yang ‘tidak tenang’ ialah apabila rakyat Malaysia dari semua kaum memikirkan tentang kerenah pemimpin di negara kita yang kelihatan seperti ‘cacing kepanasan’ ataupun ‘seperti kera kena belacan. Maknanya entah apa sebabnya kelihatan para pemimpin di negara kita kini semacam tidak tenang menghadapi suasana yang wujud kini.

Rakyat Malaysia sememangnya ‘tidak tenang’ apabila mengenangkan tentang wang RM 2.6 billion yang berada dalam akaun peribadi DS Najib. Rakyat Malaysia memang tidak tenang mengenangkan derita yang terpaksa ditanggung ekoran daripada cukai GST yang dikenakan oleh kerajaan. Rakyat sememangnya tidak tenang mengenangkan yang Ringgit Malaysia sudah hampir setaraf dengan ‘duit Jepun’ bergambarkan pokok pisang yang pernah dimiliki oleh datuk nenek kita zaman dulu ketika berada dibawah pemerintahan Jepun.

Dan yang paling merunsingkan rakyat Malaysia dari semua kaum ialah tentang para pemimpin negara yang semacam tidak kisah langsung tentang nasib rakyat yang terpaksa ‘bertarung’ siang malam memikirkan bagaimana untuk meneruskan kehidupan dalam suasana negara yang dihimpit dengan berbagai masalah ini. Keluhan rakyat Malaysia yang terdiri dari kaum Melayu, Cina, India akan kedengaran di mana-mana tentang kenaikan harga barang keperluan harian. Dan entah bagaimanalah mereka ( termasuk aku juga) menghadapi keadaan kehidupan untuk menampung perbelanjaan anak-anak ke sekolah.

Para pemimpin negara semacam tidak peduli dan tidak peka dengan keadaan kehidupan yang dialami oleh rakyat miskin luar bandar. Dan yang anihnya juga rakyat berketurunan Melayu yang miskin di luar bandar seolah-olah dapat melupakan penderitaan yang mereka alami hanya dengan menerima wang BRIM. Mereka akan terus melupakan derita hidup yang dialami oleh mereka. Dan mereka seolah-olah terus ‘memaafkan’ pemimpin mereka yang menyebabkan keadaan kemiskinan yang terus mencengkam kehidupan mereka untuk beberapa generasi akan datang.

Dan para pemimpin negara terus menggunakan ‘fear paradigm’ dengan menakut-nakutkan orang Melayu yang kononnya orang Melayu sedang terancam dan diancam oleh orang Cina. Inilah cara yang digunakan oleh pihak tertentu semenjak zaman berzaman semata-mata untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada memikir dan membincangkan isu-isu tertentu. Dan isu perkauman sering digunakan untuk mendapatkan sokongan orang Melayu bagi menyokong sesuatu isu.

Kini isu IMDB dan isu RM 2.6 billion milik akaun DS Najib menjadi isu hangat dibincangkan bukan sahaja dikalangan golongan bijak pandai di bandar tetapi juga dikalangan penduduk kampung. Bukan sahaja diperkatakan oleh golongan dewasa tetapi kini sedang diperkatakan oleh anak-anak sekolah rendah. Seolah-olah mereka sedang diasuh oleh ibu bapa mereka tentang keadaan ‘malapetaka’ yang menimpa negara kini.

Dan para pemimpin negara terus menerus mengatakan bahawa orang Melayu sedang terancam. Dikerah ‘kumpulan Baju Merah’ dari seluruh negara untuk berkumpul di Padang Merbuk semata-mata untuk memberitahu bahawa orang Melayu sedang terancam dan diancam. Di pamerkan sepanduk-sepanduk untuk cuba meyakinkan orang Melayu bahawa sebenarnya Melayu sedang terancam.Dikatakan juga bahawa sudah ada kumpulan di negara ini yang berusaha untuk menggulingkan kerajaan. Dan yang menjadi sasaran mereka adalah kumpulan ‘Bersih’ yang menganjurkan perhimpunan yang telah dapat menarik ratusan ribu peserta untuk berarak, tanpa dijanjikan apa-apa bayaran.

Rakyat Malaysia dari berbagai keturunan amat hairan apabila dikatakan bahawa orang Melayu sedang diancam oleh orang Cina. Mereka hairan disebabkan bahawa tidak kelihatan langsung wujud suasana yang sedemikian samada di kawasan-kawasan perumahan ataupun di tempat-tempat kerja sebagaimana yang digambarkan oleh pihak-pihak yang sengaja menimbulkan suasana sedemikian. Malah tidak kelihatan langsung tindakan parti politik pembangkang untuk menggulingkan kerajaan. Tak nampak langsung. Maknanya tidak ada langsung bibit-bibit yang menunjukkan adanya suasana tegang dikalangan kaum-kaum di Malaysia kini.

Mungkin yang menimbulkan suasana tidak tenang ini hanya wujud dikalangan setengah pemimpin negara. Dan hanya pemimpin yang berperangai sedemikian saja yang sengaja mewujudkan suasana sedemikian untuk mengalihkan pandangan masyarakat Malaysia terhadap isu rasuah dan penyelewengan yang berleluasa di negara ini yang berlaku dimana-mana di negara kita kini.

Rupa-rupanya ‘hasutan’ setengah pemimpin yang mengatakan telah wujud suasana tegang dan tidak tenang dikalangan kaum-kaum di Malaysia kini hanya merupakan omong kosong dan tidak langsung merunsingkan fikiran rakyat Malaysia kini. Hasrat setengah pihak agar berulang Peristiwa 13 Mei 1969 pastinya mengecewakan kerana pastinya tidak akan berulangnya peristiwa sedemikian memandangkan tentang eratnya perpaduan dan hubungan kaum-kaum di Malaysia kini.

Golongan bukan Melayu amat faham bahawa orang Melayu adalah bangsa dan kaum yang sememangnya sukakan perdamaian. Sejarah telah membuktikan hakikat sedemikian. Hanya segelintir orang Melayu yang menyimpang jauh dari perangai orang Melayu sebenarnya. Golongan orang Melayu yang sebeginilah yang sentiasa menimbulkan suasana tegang dan tidak tenang di negara Malaysia yang aman damai ini.

Rakyat Malaysia dari semua kaum (Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dll) akan terus memerangi golongan yang bersikap demikian.

abuhassanadam

5 Oktober 2015

Kedah Lanie

No comments:

Post a Comment